23 Februari 2012

ISU ANTARABANGSA : RETORIK KEBANGKITAN CHINA MEMUDARATKAN ASIA PASIFIK

Oleh Azmi Hassan
PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM 
dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.


Gesaan Menteri Luar Singapura, K. Shanmugam supaya Amerika Syarikat (AS) kurangkan retorik mengenai kegusaran terhadap kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dan tentera begitu menarik sekali bukan kerana teguran yang kena pada masanya tetapi kerana Singapura dianggap sebagai antara sekutu kuat AS di rantau Asia Pasifik. Lebih menarik lagi adalah kerana teguran tersebut dilakukan ketika beliau melakukan lawatan rasmi pertama ke Washington setelah menjawat jawatan tersebut tahun lepas. ‘‘Sebarang kenyataan mengenai strategi untuk membendung China, sebuah negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk, sukar untuk dipertahankan dan tidak masuk akal,” kata Shanmugam dengan begitu terus terang sekali. Nasihat sedemikian rupa tidak akan terfikir akan timbul dari Menteri Luar Filipina, Jepun atau Korea Selatan kerana keakraban ketiga-tiga negara tersebut dengan AS adalah begitu intim sekali sama juga seperti Singapura. Tetapi nampak gayanya Menteri Luar Singapura itu amat berterus terang.

Tetapi ada juga yang mengandaikan teguran Shanmugam itu lebih menjerumus kepada kepentingan ekonomi kerana China dan Singapura mempunyai hubungan dagang yang begitu sihat di antara satu sama lain. Singapura sudah pasti tidak mahu memberi isyarat kepada Beijing bahawa republik itu menyimpan syak wasangka yang tidak baik sehingga boleh menjejaskan jumlah dagangan antara dua negara. Sebenarnya kerjasama ketenteraan di antara Singapura dan AS terjalin seperti biasa malah terdapat beberapa petunjuk bahawa kehadiran tentera AS di rantau Asia Pasifik akan menjadi lebih terserlah kerana perkembangan terbaru yang berlaku bukan sahaja di Singapura tetapi Filipina. Isu tuntutan bertindih Kepulauan Spratly dan Paracel di antara Filipina dan China adalah sebab utama mengapa Manila pada ketika ini menjalin kerjasama erat dengan Washington. Terdapat desas-desus yang mengandaikan keakraban seperti ini bakal menyaksikan kewujudan semula pangkalan tentera AS setelah perjanjian Pengkalan Laut Teluk Subic dan Pengkalan Udara Clark dibatalkan dua dekad lepas.

Begitu juga dengan Singapura kerjasama tentera dengan AS tidak pernah pudar seperti yang berlaku terhadap Manila yang ada turun naiknya. Jika Manila ditakrifkan oleh Washington sebagai sekutu bukan NATO yang mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri seperti pembelian senjata tidak perlu mendapat kelulusan Kongres AS, tetapi Singapura mempunyai persefahaman ketenteraan dengan AS yang dianggap unik sekali. Perjanjian Rangka Kerja Strategik (SFA) umpamanya yang dimeterai pada 2005 adalah landasan kukuh kerjasama tentera di antara kedua-dua negara. SFA adalah lebih efektif dan hebat jika hendak dibandingkan dengan keistimewaan yang terdapat dalam kerjasama sekutu bukan NATO yang dimiliki oleh Manila. SFA di antara Singapura dan AS menggabungkan dua perjanjian sedia ada iaitu Perjanjian Kerjasama Pertahanan (DCA) dan Memorandum Persefahaman (MOU) 1990 yang antara lain membenarkan AS mengguna kemudahan tentera yang terdapat di Singapura seperti Pangkalan Udara Paya Lebar dan Pangkalan Laut Changi yang serba moden. Malah Pangkalan Laut Changi yang menjadi nadi logistik Armada Ketujuh Tentera Laut AS direka khas mengikut spesifikasi USS Kitty Hawk.

Sebab itu ramai penganalisis agak berbelah bahagi dengan teguran Shanmugam yang pada asasnya keras dan telus tetapi sebenarnya agak berlapik-lapik dan mempunyai maksud tersirat yang berbagai-bagai. Pangkalan Laut Changi dikatakan bakal menerima kehadiran kapal tempur pesisir (LCS) AS sebagai salah satu usaha AS mengekang pengaruh China di Laut China Selatan dan Lautan India. Memang benar kewujudan SFA telah memudahkan kehadiran LCS tetapi tidak dapat dinafikan pemangkinnya adalah retorik kebangkitan China. Tetapi perlu diungkitkan kembali kehadiran LCS AS tidak kira sama ada di Laut China Selatan, Lautan India atau Selat Melaka adalah satu isu yang agak sensitif. Pada 2004 umpamanya AS mahu memperkenalkan Inisiatif Serantau Keselamatan Maritim (RMSI) yang antara lain membenarkan penggunaan LCS tentera Marin AS sebagai usaha untuk menghapuskan kegiatan lanun di Selat Melaka. RMSI gagal dilaksanakan ekoran bantahan dari negara pesisir iaitu Malaysia dan Indonesia walaupun disokong kuat oleh Singapura.

Tetapi nampak gayanya dengan menggunakan retorik kebangkitan China dan usaha AS untuk memberi tumpuan kepada rantau Asia Pasifik, kehadiran tentera AS bermula dari Filipina dan seterusnya merentasi Singapura sehingga ke Jepun dan Korea Selatan bakal menjadi lebih rancak. Ditambah pula dengan berita bahawa bajet pertahanan China dijangka akan meningkat dengan mendadak dan jauh melampaui gabungkan bajet pertahanan semua negara Asia Pasifik, maka sudah pasti retorik kebangkitan China tidak akan terhenti dengan begitu sahaja. Kadar pertambahan bajet pertahanan China dianggarkan akan meningkat sehingga 19 peratus setiap tahun sehingga 2015 adalah satu jumlah pertambahan yang agak besar. Berita mengenai bajet pertahanan China sememangnya agak menggerunkan dan ditokok tambah pula dengan retorik AS, maka saranan Shanmugam sebenarnya tidak selari dengan apa yang sedang berlaku. Memang ada kebenaran apabila beliau akur keperluan retorik AS ada kaitannya dengan keadaan politik tempatan AS yang sedang melalui proses pemilihan calon Presiden. Tetapi hakikatnya adalah yang akan merasa bahang dan merana akibat retorik tersebut adalah rantau Asia Pasifik dan bukannya pengundi di AS.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Februari 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails