JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Januari 2012

ISU PENDIDIKAN : HABIS BELAJAR PUN MASIH TAK TAHU MEMBACA DAN MENULIS


PUNCA PELAJAR SEKOLAH MENENGAH GAGAL MEMBACA DAN MENULIS
  
Saya ingin merujuk kepada tulisan Hassan Salleh bertajuk 'Di Manakah Silap Guru' di ruangan ini yang menyentuh soal wujudnya pelatih-pelatih PLKN lepasan sekolah menengah yang masih tidak boleh membaca dan menulis. Jawapan saya sebagai seorang guru yang telah lima tahun mengajar di sekolah menengah ialah: Di maktab perguruan, kami diajar bahawa murid yang tidak mengikut peraturan perlu dihukum. Tapi hakikatnya di sekolah, semua jenis hukuman ditangguhkan. Hukuman terbesar seperti buang sekolah pun boleh dibangkang oleh murid kerana kita ada dasar pendidikan wajib 11 tahun. Jadi semua murid boleh melanggar semua peraturan sekolah, seperti ponteng kelas dan tidak perlu menyiapkan kerja sekolah kerana tidak ada satu peraturan yang boleh menyentuh mereka. Murid boleh berjalan keluar dari kelas ketika guru sedang mengajar dan tidak ada siapa boleh menghalang mereka.

Di maktab perguruan, kami diajar supaya mendahulukan kepentingan murid berbanding sekolah. Tapi hakikatnya di sekolah, guru disuruh bertungkus-lumus membuat kerja perkeranian sehingga tidak ada masa untuk mengajar. Terbaru di negeri Johor, pertandingan dibuat di antara sekolah-sekolah untuk mencari siapakah guru yang paling cekap membuat kerja perkeranian dan mengurus fail. Tentunya guru yang menang itu akan diberi anugerah dan dapat mengharumkan nama pengetua. Tapi kebanyakan guru yang menang itu tidak pernah memenangkan murid dalam apa-apa pertandingan pun. Di maktab perguruan, kami diajar supaya memikirkan cara bagaimana hendak mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya murid yang pelbagai kerenah boleh dibantu. Tapi hakikatnya di sekolah, yang dipelbagaikan ialah jenis jawatankuasa, borang dan fail, bukan teknik pengajaran. Akhirnya setiap guru akan memegang 10 hingga 15 jawatan dalam pelbagai jawatankuasa, dan murid kadang-kadang satu buku pun tidak ada.

Di maktab perguruan, kami diajar supaya 'buat apa yang betul untuk murid'. Tapi hakikatnya di sekolah, pengetua hanya mahu mencari nama dan hendak cepat naik pangkat dan naik gaji. Oleh itu semua guru mesti berhempas pulas mengurus hal-ehwal sekolah. Kadang-kadang guru terpaksa meninggalkan kelas untuk hadir mesyuarat kerana pengetua mahu semua fail lengkap dan terkini. Di maktab perguruan, kami diajar supaya mengajar mengikut tahap murid. Untuk itu, murid diasingkan mengikut kelas. Murid yang pandai dan cekap akan diletak di kelas pandai, supaya guru boleh mengajar dengan pantas. Jika kurang cekap dan lemah, akan diletak di kelas kurang pandai supaya guru boleh mengajar perlahan-lahan dan murid boleh dibantu. Tapi hakikatnya, ibu bapa menuduh guru menganggap anaknya bodoh jika diletak di kelas hujung, jadi ibu bapa akan bawa wartawan, bawa ahli politik dan bawa ketua kampung untuk serang guru di sekolah. 

Oleh kerana sekolah tidak suka orang politik mencari populariti dalam sekolah, sekolah pun beralah dan murid kurang pandai ini pun diletakkanlah di kelas pandai. Ibu bapa pun baliklah dengan bangga dan berceritalah kepada jiran-jiran, kononnya anaknya di kelas pandai. Tapi akhirnya anaknya ketinggalan kerana tak mampu mengejar murid pandai yang lain dan guru akan diserang lagi kerana tak paDi maktab perguruan, kami diajar supaya mendahulukan kepentingan klien. Tapi pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran tidak pernah anggap guru sebagai klien mereka. Guru sekolah hanya 'kuli' pihak PPD dan jabatan semata-mata. Jika PPD dan jabatan minta data, guru mesti sediakan secepat mungkin. Kalau boleh dua saat selepas diminta, data mesti sudah sampai ke pejabat. Dua hari selepas data dihantar, PPD dan jabatan akan telefon sekolah untuk memarahi pengetua kerana guru tidak hantar data. Pengetua pun marahlah kepada guru dan guru pun terpaksalah meninggalkan kelas untuk menghantar lagi data buat kesekian kalinya kerana PPD dan jabatan memang tidak pernah simpan apa-apa data pun. Setiap kali mahu apa-apa mereka akan minta dari sekolah, sehingga data yang sama boleh dihantar hampir sepuluh kali ke pejabat. Tanyalah kepada Guru Penolong Kanan Hal-Ehwal Murid, berapa kali agaknya data enrolmen murid dihantar ke pejabat dalam setahun. Saya fikir kesilapan pihak guru ialah, lain yang diajar di maktab, lain yang perlu dbuat. Pengetua, PPD, jabatan dan ibu bapa, semua membuli guru sekolah. Kalau maktab perguruan mahu membantu hapuskan buta huruf, ajarlah guru pelatih bagaimana hendak 'mengajar' orang atasan.

Akhmal Fairuz
Lembah Pantai, Kuala Lumpur

DI MANAKAH SILAP GURU?

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan lapan peratus daripada 6,667 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) didapati tidak boleh membaca dan menulis. Ini menyedarkan kita bahawa masalah kegagalan pelajar sekolah menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi masih lagi menghantui dunia pendidikan negara. Pelbagai kaedah dan program khas telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Dulu dikenali sebagai KIA 2M (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis) dan terbaru ialah LINUS (program Saringan Literasi dan Numerasi) yang dilancarkan pada tahun 2010, tetapi masalah ini masih terus berlaku. Dari aspek psikologi perkembangan, manusia normal, berkeupayaan menguasai kemahiran asas membaca menulis dan mengira ini di peringkat kanak-kanak lagi, iaitu seawal usia 6 tahun.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat pra sekolah, semua pelajar sepatutnya boleh membaca dan menulis perkataan-perkataan dan membuat ayat-ayat mudah dengan baik. Adalah terlalu malang buat pelajar setelah menamatkan pelajaran di tingkatan lima dan berumur 17 tahun tapi masih belum boleh membaca dan menulis dengan baik. Isu ini perlu mendapat perhatian serius kepada guru-guru di sekolah. Guru-guru yang telah mendapat latihan secukupnya dalam bidang psikologi pendidikan, pedagogi dan profesionalisme keguruan (Diploma 3 tahun dan Ijazah 5 setengah tahun - merujuk kepada jangkamasa latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia) apakah tidak mampu menyelesaikan isu ini?

Adalah sangat memalukan, dengan ijazah/kepakaran dalam bidang psikologi, pedagogi dan profesionalisme yang dimiliki, dengan skim perkhidmatan yang menarik, umur yang masih muda, masalah buta huruf tidak menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) masih lagi berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini. Pertengahan bulan Januari ini, generasi kedua guru-guru lulusan IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Syabas kepada semua guru ini kerana telah berjaya menjadi seorang guru. Di samping kegembiraan kerana menamatkan pengajian dan latihan dengan jayanya dan telah ditempatkan di sekolah-sekolah untuk bertugas, sehinggalah kepada pengumuman skim perkhidmatan yang sentiasa ditambah baik oleh kerajaan, anda pada hakikatnya telah diberi satu tanggungjawab besar.

Tanggungjawab itu ialah memastikan semua pelajar sekurang-kurangnya dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi sebelum mereka meninggalkan sekolah rendah. Tiada apa-apa alasan lagi di pihak guru untuk gagal melaksanakan tanggungjawab ini. Anggaplah dengan penempatan anda di sekolah sebagai guru permulaan, merupakan langkah permulaan memikul tanggungjawab besar ini. Justeru para guru perlu mengambil serius terhadap fenomena ini dan berusaha mengatasinya sehingga berjaya supaya profesyen perguruan akan dihormati disanjung sebagai arkitek pembangunan akal budi manusia dan pencorak kemajuan rakyat dalam sesebuah negara.

HASSAN SALLEH
Kuala Terengganu

CETUSAN IDEA PERIBADI CIKGU ZUL

Semakin awal pendidikan bermula, semakin banyak pelajar tidak tahu membaca. Bermula dengan taska, diikuti tadika, seterusnya memasuki alam sekolah rendah dan menengah, tetapi anak tersayang masih juga buta huruf. Siapakah yang bersalah? Mungkin ibu bapa dengan mudah menyalahkan guru. Guru pula menyalahkan ibu bapa. Pada persepsi saya, kita harus melihat waktu pendidikan tersebut harus bermula. Sebaik sahaja si ibu didapati mengandung, maka bermulalah pendidikan bagi anak yang dikandungkan. Si ibu hendaklah meluangkan masa mengajar anak dalam kandungan membaca, mengira dan menulis. Jika amalan ini diteruskan selama sembilan bulan bayi dalam kandungan, insyallah, mudahlah dia menerima ajaran dan ilmu pengetahuan kelak. Dengan kata lain, saya tetap menganggap ibu bapa merupakan pendidik utama bagi anak-anak. Budaya membaca hendaklah disemai dan dipupuk di rumah. Apabila dihantar ke sekolah, mudahlah bagi guru memantapkan budaya tersebut melalui pelbagai program formal yang sejajar dengan matlamat pendidikan kebangsaan.

Ibu bapa tidak boleh menyalahkan guru jika anak tidak tahu membaca kerana guru bukanlah pendidik yang boleh memandaikan semua orang. Jika si anak malas dan tidak mahu berusaha, guru mengajar sampai sakit hingga terlantar di hospital pun tidak akan berjaya, andai sikap malas itu memang diwarisi dan ditumbuhkan di rumah oleh ibu bapa. Ibu bapa tidak boleh bertoleransi dengan hal-hal pendidikan anak-anak. Jika tersilap langkah, pasti akan mengundang padah. Ibu bapa haruslah meluangkan masa mengajar anak-anak membaca pada setiap hari sewaktu mereka masih kecil kerana pada usia itu anak-anak mudah menerima pendidikan dan mengingat segala perkara yang diajar.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Tiada ulasan: