08 Januari 2012

ISU PENDIDIKAN : BERIKAN SAINGAN DI PERINGKAT GLOBAL

Oleh Ruhaiza Rusmin


Meskipun masih awal untuk menjangka peristiwa yang mewarnai dunia pendidikan negara sepanjang 2012, masyarakat mengharapkan ia mampu membawa sinar lebih baik demi menjana usaha bersepadu pembangunan negara. Biarpun tahun lalu ada beberapa isu kontroversi, institusi pendidikan negara masih relevan dan positif. Pastinya, wacana dunia pendidikan berharap institusi pengajian tinggi mampu melonjakkan pencapaiannya melahirkan ahli akademik berwibawa manakala graduannya lebih cemerlang untuk mencipta nama sebaris dengan institusi ternama dunia. Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Zakaria Kasa, berkata dunia pendidikan perlu melakukan anjakan paradigma lebih positif dan konsisten untuk memasuki satu frasa baru yang mencabar. Dengan meletakkan sasaran agar institusi pengajian tinggi mampu bersaing lebih hebat dalam bentuk akademik dan penyelidikan, beliau berkata institusi perlu melipatganda­kan usaha mencapai wawasan ditetapkan. Dalam mengemudi dunia pendidikan tinggi hari ini, banyak perlu dilaksanakan bagi memastikan institusi ini terus gagah dan memberi persaingan kepada institusi di peringkat global. Ia bukan mudah, namun boleh dilakukan dengan kesung­guhan dan iltizam tinggi malah sejarah juga membuktikan institusi tempatan mampu melahirkan pakar akademik serta hasil penyelidikan berwibawa.

Institusi pengajian juga bakal berdepan cabaran sengit terutama memenuhi harapan masyarakat meng­hasilkan hasil produk berkualiti, menepati piawaian antarabangsa dan paling utama tersenarai dalam kedudukan prestij dunia. Beliau mengharapkan hasrat mewujudkan Universiti Penyelidikan Sains Sosial menjadi kenyataan bagi mengangkat taraf institusi lain setara lima universiti pe­nyelidikan sedia ada. Bagi mahasiswa, mereka pasti mengharapkan tahun baru membawa anjakan lebih dinamik selepas tahun lalu dipenuhi beberapa insiden memalukan terutama membabitkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AuKu). Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Iqbal Ismat Nordin, berkata mereka mengharapkan isu sensitif dan salah faham itu selesai bagi memberi peluang menonjolkan kewibawaan sebagai bakal pemimpin. Menurutnya, pindaan AuKu juga bakal membawa perubahan besar terhadap dunia pendidikan negara kerana universiti serta mahasiswa bakal melangkah ke frasa lebih terbuka dalam menangani isu politik. Sebelum ini, universiti menjadi tempat larangan keras berpolitik bagi mahasiswa, namun dengan pindaan itu, ia satu pembaharuan yang baik. Bagaimanapun, pindahan itu diharap tidak menjadikan mahasiswa cenderung keterlaluan terhadap politik hingga melupakan tanggungjawab sebenar.

Beliau turut menjangka kerajaan mengambil langkah proaktif sebagai jaminan institusi pengajian tinggi tidak tercemar dengan pengaruh dan budaya politik luar. “Keseluruhannya, kami mengharapkan dunia pendidikan tinggi tidak lagi tercemar dengan insiden memalukan yang bukan saja boleh meng­gugat kewibawaan jati diri serta institusi selain mengikis persepsi negatif dilemparkan,” katanya. Manakala sektor pendidikan sekolah juga menjangkakan institusi pendidikan akan menjadi lebih komprehensif dengan pelbagai pelaksanaan dasar yang menekankan peranan guru sebagai pemangkin kecemerlangan pelajar. Guru sekolah di ibu kota, Syed Khairul Azwi Syed Mokhtar, berkata pendekatan mesra pelajar yang dibangun­kan merangkumi aspek fizikal dan mental dapat mencungkil potensi pelajar dalam akademik dan kokurikulum, antara­nya melalui pengenalan ‘Satu Murid Satu Sukan’. Menurutnya, keseimbangan itu menjadi wadah terbaik membentuk peribadi dan jati diri generasi muda selain memberi peluang guru memperkasakan kemahiran mendidik. “Meskipun dunia pendidikan sering dibayangi polemik terutama isu berkaitan guru, itu bukan alasan kami tidak mampu memberikan yang terbaik kepada pelajar. “Kami berharap pengorbanan ini mendapat perhatian pihak terbabit dengan pemberian insentif tertentu bagi menaikkan lagi semangat guru dan meng­iktiraf pengorbanan mereka,” katanya

Sepanjang tahun lalu, pelbagai rentetan peristiwa mewarnai perjalanan dunia pendidikan negara dengan polemik serta kejutan tersendiri. Antara pendekatan paling ‘mengejutkan’ ialah bantuan RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah bagi meringankan bebanan ibu bapa selain pemansuhan yuran sekolah. Ini menjadikan Malaysia negara pencipta sejarah di kalangan negara Asean melaksanakan pendekatan berkenaan. Golongan mahasiswa juga memperoleh habuan sama apabila menerima bantuan baucar RM200 untuk diagih­kan kepada pelajar yang layak untuk tempoh tiga bulan dari 1 Januari sehingga 31 Mac depan. Isu percanggahan mengenai kedudukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menemui noktah akhirnya apabila kerajaan muktamad menamatkannya dengan pengumuman pada 4 November lalu. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah pada 2021.

Biarpun ada segelintir pihak beranggapan ia masih relevan terutama dalam memartabatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kala­ngan pelajar, dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) menggantikan PPSMI adalah kekal. Manakala antara catatan kontroversi yang menjadi bualan panas ialah pindaan seksyen 15 AuKu yang dianggap segelintir pihak sebagai ‘kemenangan peribadi’ kepada mahasiswa. Mahkamah Rayuan pada 31 November lalu memutuskan peruntukan dalam AuKu yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam serta luar negara, adalah tidak sah dan bercang­gah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
2 JANUARI 2012
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails