JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Januari 2012

ISU IPT : GUNALAH PELUANG KEEMASAN SEBAGAI MAHASISWA

Oleh SHAHABUDEEN JALIL


Gerakan  Mahasiswa kini diperkatakan kembali. Terdapat kumpulan Pro-Mahasiswa dan Pro-Aspirasi yang berdemonstrasi kononnya untuk menuntut hak mereka. Keadaan seperti ini mungkin pernah wujud dahulu pada tahun 1970-an. Kini kebebasan yang diberikan oleh kerajaan disalahgunakan semula untuk menjadi alat kepada ahli politik. Adakah wajar mahasiswa ini aktif dalam berpolitik? Ataupun terdapat perkara lain yang lebih baik dilakukan oleh mahasiswa. Mahasiswa mungkin akan marah jika dikatakan tidak matang. Namun apa yang keluar dari mulut pemimpin mereka membuktikannya. (Sila baca mahasiswa bodoh atau tidak matang?) Anda juga tidak perlu hairan apabila Adam Adli sampai di alam pekerjaan, beliau mungkin akan bekerja dengan mana-mana menteri sebagai pembantu khas atau diam seribu bahasa menjaga anak bini. Sudah banyak kes seperti ini berlaku di kalangan mahasiswa. Sewaktu di universiti bukan main hebat. Setelah sampai ke alam pekerjaan, mulalah alasan seperti "Aku rasa lebih baik aku cari makan untuk anak bini", "Berpolitik bukan dapat duit pun", "Bila aku susah, takda pula geng politik datang nak tolong", "Menyesal tak mulakan perniagaan dari awal". Sudah banyak yang kita dengar. Lebih baik kita bincangkan mengenai apa kelebihan mahasiswa memulakan perniagaan lebih awal dan tidak menunggu sehingga habis waktu pembelajaran.

Inilah Masa Terbaik

Dunia yang kita hidup hari ini adalah masa terbaik untuk mahasiswa memulakan perniagaan sejak dari bangku universiti lagi. Kita mempunyai internet untuk membeli dan menjual barang, wi-fi ada di mana-mana untuk mengakses internet, ada Youtube untuk mempelajari mengenai perniagaan dari mereka yang berjaya, ada Paypal dan Maybank2u untuk menerima bayaran secara dalam talian. Tidak pernah ada waktu dalam sejarah dunia, di mana mahasiswa mempunyai peluang yang sama rata berbanding dengan mereka di luar ataupun syarikat besar untuk mencapai pelanggan.

Peluang Bermula Awal

Ramai yang mula memikirkan untuk menceburkan diri selepas mendapat ijazah daripada universiti. Mereka ini akan bermula dengan perniagaan kecil dan kemudiannya gagal. Pada waktu itu mereka berfikir, "Aku ada Ijazah, kawan-kawan aku dapat gaji besar, kenapa aku masih terkial-kial nak berniaga ". Akhirnya ramai yang tewas dan kembali untuk mencari peluang pekerjaan dan tidak kembali lagi menjadi usahawan. Ini realiti yang berlaku. Namun jika mahasiswa bermula dengan perniagaan kecil sewaktu di universiti, mereka tidak akan menghadapi dilema ini. Mereka sudah bermula awal dan tidak ada apa yang hendak disesali jika gagal. Segalanya adalah satu pelajaran bagi mereka.

Rangkaian Perniagaan

Dalam perniagaan, apa yang paling penting adalah rangkaian perniagaan. Namun dalam umur selepas zaman universiti, semua rakan mula sibuk hendak kahwin dan mula mendiamkan diri kerana mempunyai isteri, anak dan keluarga untuk meluangkan masa mereka. Mahasiswa pula hidup dalam satu kelompok manusia yang ramai. Mereka mungkin mempunyai 50-100 orang kawan yang mereka jumpa setiap hari. Anda boleh menyertai mana-mana aktiviti, menghadiri seminar dan aktif dalam persatuan untuk membina rangkaian anda. Tidakkah mereka adalah prospek pelanggan masa depan anda? Anda dengan mudah boleh menjual barang atau menawarkan perkhidmatan kepada mereka, jika bukan sekarang, mungkin lima tahun akan datang. Jika pada waktu ini anda sedar kepentingan membuat rangkaian, anda tidak akan gagal dalam perniagaan sewaktu memasuki alam selepas universiti nanti. Tanyalah kepada mana-mana usahawan, pasti mereka akan menyesal waktu zaman di universiti tidak digunakan sepenuhnya untuk membentuk rangkaian.

Peluang Mendapatkan Mentor

Universiti bukan saja tempat untuk pelajar belajar. Ia juga adalah khemah bagi pakar-pakar dan bijak pandai. Mereka adalah profesor dan pensyarah anda. Mereka mungkin tidak menjalankan perniagaan, namun mereka sangat arif mengenai teori perniagaan dan ekonomi. Mereka tentu akan gembira jika ada pelajar mereka yang menagih ilmu yang mereka ada. Sebagai orang luar, anda tidak mungkin dapat akses kepada pensyarah dan profesor di universiti, jika ada pun ia sangat minimum. Namun sebagai seorang mahasiswa, anda mempunyai peluang terbuka luas. Gunalah sebaik-baik yang mungkin, kerana anda tidak akan mendapat peluang ini lagi apabila anda di dunia luar.

Membina Pasukan Kuat

Budaya berkumpulan di universiti adalah satu peluang bagi mahasiswa membina satu pasukan yang kuat. Sewaktu di universiti kita tentu akan ada kumpulan rakan yang kita sering pergi makan bersama, pergi kuliah bersama dan bersukan bersama. Usahawan muda di luar, yang baru hendak membentuk pasukan di kalangan orang yang tidak dikenali, ia memakan masa bertahun lamanya. Ini adalah peluang bagi mahasiswa untuk membentuk kumpulan yang kuat untuk berniaga. Pasukan yang kuat adalah satu kemestian untuk berjaya dalam bidang perniagaan. Pasukan ini juga tidak semestinya berakhir sewaktu tamat pembelajaran. Ia akan menjadi semakin mantap dan ini adalah satu kelebihan membentuk sebuah syarikat yang kuat. Cuba anda lihat orang yang berjaya di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Semua billionaire muda yang ada pada hari ini adalah mereka yang memulakan perniagaan sejak di bangku universiti. Mark Zuckerberg mencipta Facebook di universiti, Bill Gates membina pasukan di universiti. Malah Larry Page dan Sergey Brin yang mengasaskan Google juga bertemu di universiti sewaktu belajar. Janganlah hanya menghabiskan wang kerajaan dan ibu bapa anda sewaktu anda di universiti. Gunakanlah peluang keemasan yang anda ada ini untuk membangunkan ekonomi diri, keluarga dan masyarakat dengan mencebur diri dalam perniagaan kecil dan bukan dengan menjadi perkakas orang berkepentingan dengan berdemonstrasi.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JANUARI 2012

Tiada ulasan: