08 Januari 2012

ISU IPT : APAKAH YANG PATUT DICARI OLEH PELAJAR IPT?

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my


Agak sukar difahami apakah sebenarnya matlamat mutlak seseorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) lebih-lebih lagi di Malaysia. Jika hasrat mereka untuk menuntut ilmu setinggi yang mungkin, mereka sudah pun berada di tempat yang diidam-idamkan. Tetapi, jika mengejar kebebasan, institusi seperti itu, bukanlah tempatnya. Mereka sepatutnya mendaftar sebagai ahli parti politik dan bolehlah naik ke pentas rakyat untuk berucap sepuas-puas hati. Isunya hari ini mereka mahu mencapai cita-cita untuk menjadi manusia yang berjaya dan pada masa sama mengejar kebebasan. Apakah makna kebebasan bagi mereka? Apakah seseorang yang boleh meluahkan apa saja yang terbuku di benak fikiran mereka atau bertindak apa saja tanpa pedulikan orang sekeliling, meliputi maksud kebebasan? Apakah kebebasan bermakna memberi hak kepada sesiapa juga untuk melakukan apa saja tanpa mengambil kira kepentingan atau sensitiviti orang lain.

Apakah dengan memperalatkan slogan kononnya mahu memperjuangkan keadilan bermakna mereka ini tidak boleh dijentik oleh undang-undang kerana mereka adalah spesies masyarakat yang memperjuangkan kebebasan? Dalam konteks yang lebih luas, kebebasan juga bermakna seseorang itu boleh pergi ke mana saja tanpa perlu bimbang terhadap keselamatan diri, tidak ada gangguan atau ugutan atau sekatan jalan raya berpunca daripada demonstrasi jalanan yang boleh mencetuskan keganasan. Di Malaysia, tidak ada orang boleh mengatakan mereka hidup terkongkong, tidak boleh melakukan apa saja kerana terlalu banyak larangan. Seseorang pelajar mewakili semua kaum perlu berfikir bagaimana mereka boleh melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sekiranya tidak wujud keadilan dan kebebasan di negara ini.  Jika seseorang itu mempunyai kelulusan dan layak memasuki universiti tetapi hak mereka dinafikan atas apa alasan sekali pun, mereka mungkin mempunyai alasan mengatakan mereka tidak dilayan dengan adil. Setiap individu di negara ini mempunyai hak membuat pilihan.

Untuk memasuki universiti awam umpamanya mereka diberi pilihan menamakan beberapa buah universiti mengikut keutamaan yang mereka inginkan berasaskan kepada keputusan peperiksaan masing-masing. Puluhan ribu pelajar yang diterima masuk ke universiti setiap tahun adalah mereka daripada latar belakang yang berbeza.  Tidak pernah kita dengar pihak universiti menolak permohonan seseorang kerana mereka anak kepada pengikut sesebuah parti politik. Sebelum memasuki universiti, mereka bermula dari sekolah rendah dan kemudian menengah. Mereka diuji menerusi peperiksaan. Membenarkan setiap rakyat bersekolah seterusnya ke universiti adalah hak paling istimewa diberi kepada setiap warga negara selain hak beragama dan sebagainya. Hari ini mereka berada di menara gading, institusi yang menjadi tempat idaman sebahagian besar rakyat. Tidak semua orang berpeluang menuntut ilmu di universiti. Jika tidak melalui proses pendidikan dari peringkat bawah secara bebas, mustahil mereka boleh menempatkan diri di universiti.

Malangnya, ada segelintir pelajar begitu mudah dipengaruhi terutama dengan klise Barat yang popular. Pelajar seperti inilah yang menimbulkan masalah. Di dalam kelas, mereka adalah pelajar yang setaraf pelajar lain, tetapi bila semangat mereka dikocakkan, mereka menjadi manusia yang kononnya mempunyai idealisme tinggi. Hakikatnya, mereka tidak tahu pun apakah sebenar yang mereka perjuangkan. Bagi rakyat, kumpulan pelajar ini menempa risiko terhadap masa depan mereka. Tidak ada markah untuk demonstrasi. Kita bersyukur kerana sebahagian besar pelajar di negara ini menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Mereka insaf dengan kegetiran hidup keluarga mereka di kampung dan berazam mengubah nasib keluarga. Sudah tentulah sikap mereka ini tidak seperti segelintir pelajar yang agresif.  Kumpulan ini menyuarakan pandangan yang radikal dan terlalu politikal, Anehnya, mereka memperjuangkan perkara yang tidak ada kaitan dengan hidup dan masa depan mereka. Mereka sanggup melakukan ugutan kerana menganggap kezaliman dilakukan oleh kerajaan. Mereka berbaring atas jalan kononnya untuk menunjukkan perjuangan mereka lebih mulia daripada segala-galanya, bila cuba disuraikan, mereka sanggup melakukan apa saja dan kemudian mencari kesalahan orang lain.

Inilah yang berlaku ke atas kira-kira 70 pelajar yang mengadakan demonstrasi dekat Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim pada 1 Januari lalu. Polis bertindak demikian selepas pelajar berkenaan bertindak kasar dan tidak mengendahkan amaran supaya bersurai. Akhirnya, polis menahan 17 mahasiswa, termasuk seorang penuntut wanita kerana menyertai demonstrasi haram itu. Apakah tujuan pelajar berkenaan membawa keranda? Keranda adalah simbol untuk mengangkat jenazah atau mayat. Keranda untuk siapa? Adalah sangat mengelirukan jika demonstrasi itu semata-mata diadakan atas alasan menuntut kebebasan akademik. Tidak pernahkah mereka mempersoalkan di mana mereka menuntut sekarang? Ia sebenarnya menjawab kepada persoalan mereka. Mereka mendesak kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan membebaskan seorang rakan mereka yang ditahan polis. Walaupun ia akan dipinda kerana terlalu banyak desakan, tapi AUKU tidak pernah membawa bala kepada negara pun.

Pelajar itu pula bukan ditahan sesuka hati, dia ditahan untuk siasatan kerana melakukan kesalahan yang melampau. Tentulah tidak munasabah jika seseorang menurun bendera yang tertera gambar pemimpin dan kemudian memijaknya, dibiarkan begitu saja. Tentulah pihak berkuasa ingin tahu bagaimana peristiwa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Disember 2011 itu berlaku dan mengapa mereka berbuat demikian. Mungkinkah mereka yang rakus itu bukan rakyat negara ini yang tidak tahu budaya dan adat resam masyarakat Malaysia. UPSI tidak boleh dipersalahkan, tetapi yang menjadi onarnya adalah segelintir pelajar yang dihasut oleh pihak tertentu supaya melakukan apa saja kononnya atas dasar memperjuangkan hak pelajar, sebenarnya mereka mengambil kesempatan untuk menghuru-harakan keadaan politik negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA MINGGU
8 JANUARI 2012

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails