JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Ogos 2011

ISU KENEGARAAN : PATRIOTISME BUKAN SEKADAR KIBAR JALUR GEMILANG SAHAJA


Oleh Lee Lam Thye
bhnews@bharian.com.my


Kita masih berada dalam bulan kemerdekaan dan pada 31 Ogos ini, negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54. Inilah masa rakyat Malaysia terutama generasi muda berbilang kaum mempamerkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara. Bukan dengan paksaan, tetapi secara sukarela menyambut kelahiran Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat. Tiada yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat kemerdekaan ini dalam keadaan aman dan sejahtera. Tidak semua bangsa dapat mengecapi nikmat ini walaupun mereka mungkin sudah bebas daripada cengkaman penjajah. Kita perlu memelihara dan melindungi apa yang sudah kita capai setakat ini dengan persefahaman dan tolak ansur. Janganlah kita membenarkan fahaman ekstrem dalam bentuk apa pun, memecahbelahkan negara yang kita cintai kerana ini tempat kita dilahirkan, tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat kita disemadikan. Justeru, kita harus bersyukur atas nikmat kemerdekaan yang sudah membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada bangsa dan negara Malaysia.

Ketika kita menyambut kemerdekaan ke-54 pada 31 Ogos ini, kita perlu bersama menilai erti kemerdekaan dan patriotisme supaya dapat menghayati nilai sebenar kebebasan yang dikecapi pada hari ini. Patriotisme bererti perasaan dan sifat menyintai dan bersedia mempertahankan tanah air. Patriotisme bukan sekadar mengibar bendera ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan atau beruniform kemas serta aksi berkawad dengan gaya segak dan wajah serius. Ia suatu komitmen, perasaan mendalam, semangat yang dihayati, menyerlah serta berkobar-kobar apabila dituntut keadaan. Dalam konteks masa kini, patriotisme boleh ditafsirkan sebagai sikap, semangat dan tindak-tanduk yang menjurus kepada gagasan dan usaha mengawal kepentingan, maruah dan kedaulatan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang kehidupan - ekonomi, politik, sosial, hubungan antarabangsa, kedaulatan, kebudayaan, agama, keselamatan, undang-undang dan sebagainya. Sifat patriotik juga harus merangkumi usaha meningkatkan martabat bangsa dan negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia, keadilan sosial, keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Patriotisme digalakkan kerana ia menjamin ketahanan nasional. Ia juga dilihat sebagai satu-satunya tenaga yang mampu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman (dari dalam dan luar negeri) dan dengan itu memastikan kestabilan, keutuhan dan kelangsungan sesebuah negara-bangsa.  Sejarah masa lampau adalah cermin masa depan kita. Kita banyak belajar daripada apa yang sudah berlaku pada masa lampau. Bangsa yang tidak mengetahui sejarahnya tidak mampu membangunkan masa depannya. Justeru, kita wajar menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan yang dikemudi oleh pejuang terdahulu supaya dapat menyumbang demi mencapai kejayaan pada masa depan. Bagi memastikan semua warga dapat hidup aman dan sejahtera, kita semua mempunyai peranan masing-masing. Tidak kira sama ada sebagai pelajar, pendidik, mahupun pekerja biasa, kita ialah individu dan organisasi yang boleh memainkan peranan membangunkan negara.  31 Ogos adalah tarikh bersejarah yang harus diingati oleh setiap lapisan masyarakat kerana tarikh inilah negara kita mencapai kemerdekaan, bebas daripada belenggu dan cengkaman penjajah British.

Ini membawa makna bahawa negara kita adalah negara merdeka dan berdaulat yang dapat berdiri atas kaki sendiri dan menjalankan pemerintahannya sendiri tanpa pengaruh pihak penjajah. Kemerdekaan sewajarnya menyedarkan rakyat bahawa negara kita bebas daripada penjajahan tanpa membabitkan tumpah darah. Rakyat Malaysia harus bersyukur dengan kemerdekaan yang dicapai kerana melalui kemerdekaan rakyat dapat mencapai kegemilangan dalam semua aspek kehidupan. Sambutan hari ulang tahun kemerdekaan mempunyai makna mendalam dan hanya mereka yang mengerti dan mempunyai rasa cinta kepada tanah air dapat mentafsirkan maksud ulang tahun kemerdekaan ini dengan tepat. Sesungguhnya 31 Ogos tarikh begitu bermakna yang tidak ada tandingannya. Kemerdekaan harus diambil berat dan dihayati dengan sebaik-baiknya supaya penghayatan itu tidak lari daripada landasan sebenarnya. Sambutan ulang tahun hari kebangsaan ke-54 pada tahun ini diharap dapat memantap dan memperkukuhkan lagi semangat patriotisme dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia, selaras dengan konsep 1Malaysia.

Kita perlu memelihara dan melindungi apa yang sudah kita capai setakat ini dengan persefahaman dan tolak ansur. Janganlah kita membenarkan fahaman ekstrem dalam bentuk apa pun, memecahbelahkan negara yang kita cintai kerana ini tempat kita dilahirkan, tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat kita disemadikan. Ramai mengambil mudah soal perpaduan. Ini adalah perkembangan yang tidak sihat kerana dalam masyarakat majmuk, negara pelbagai kaum, agama dan budaya seperti Malaysia, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memelihara dan mengukuhkan perpaduan. Menyemai kebanggaan pada bendera antara ciri penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia harus berbangga dengan bendera kebangsaan mereka kerana lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara yang dapat membantu usaha ke arah mempromosikan dan mengukuhkan lagi proses pembinaan negara kita yang berbilang kaum, agama dan budaya ini. Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai nasionalisme dan patriotisme ini dalam kalangan generasi muda.

Antara cara menjadikan generasi muda patriotik ialah mendidik mereka menghormati dan menyintai bendera. Menganjurkan kempen Cintakan Bendera Kita di sekolah, mustahak memberikan anak muda kefahaman mengenai kepentingan Jalur Gemilang dan maksud di sebaliknya dan adakan sepanjang tahun. Lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka peka serta menghayati erti sebenar hari kemerdekaan. Rakyat boleh memaparkan semangat patriotik dalam kehidupan seharian seumpamanya, dalam pemikiran, percakapan dan tindakan mereka dalam membela dan mempertahankan kepentingan negara. Umpamanya, pelajar boleh menunjukkan semangat patriotik dan kasih sayang kepada negara dengan memastikan mereka melindungi alam sekitar dan tidak terbabit dalam gejala dan tabiat negatif seperti melakukan vandalisme atau membuang sampah di merata tempat. Rakyat juga boleh menyumbangkan pandangan dan pendapat dalam apa yang mereka rasakan baik dan sihat untuk negara. Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul adalah hak yang harus diamalkan semua rakyat yang patriotik, cintakan negara dan inginkan yang terbaik untuk negara.

Dalam pada memperingati 54 tahun kemerdekaan, kita hendaklah mengimbas segala usaha dalam pembinaan negara pada zaman silam dan bersedia untuk mengharungi cabaran yang datang. Rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang bangsa dan agama yang berlainan seharusnya memperbaharui azam mereka untuk membina negara yang harmoni, bersatu padu dan progresif selaras dengan semangat kemerdekaan. Sambutan Hari Kemerdekaan sepatutnya menjadi tenaga perpaduan yang boleh membawa rakyat yang berbilang kaum bersatu padu ke arah satu matlamat dan bagi merealisasikan 1Malaysia sebenar. 1Malaysia seharusnya mempunyai elemen utama seperti persefahaman, saling menghormati serta kepercayaan antara satu sama lain dalam masyarakat majmuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Penulis ialah Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
26 OGOS 2011