JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Ogos 2011

ISU KESIHATAN : PROGRAM SEKOLAH DALAM HOSPITAL MERUPAKAN SINAR MASA DEPAN UNTUK PESAKIT CILIK



Antara perkara yang saya anggap paling sukar dalam tugas ialah melihat penderitaan yang dilalui kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik. Saya amat tersentuh apabila melihat lemahnya keadaan mereka, manakala kita pula sebagai orang dewasa tidak mampu berbuat apa-apa untuk melindungi mereka daripada ancaman penyakit itu.  Sejak beberapa tahun saya menziarahi ramai kanak-kanak di hospital atau di rumah mereka, tubuh mereka lemah tidak bermaya untuk melawan kanser, penyakit kongenital atau kronik yang menyebabkan mereka terlantar di atas katil berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya. Saya masih ingat wajah dan kisah sedih mereka. Ada seorang kanak-kanak perempuan dari Santubong, Sarawak, yang terlantar di Institut Jantung Negara selama empat bulan sementara menunggu giliran dibedah akibat menghidap sakit jantung sejak lahir. Seterusnya ada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dari Johor yang memerlukan sumbangan sel stem untuk merawat penyakit lukemia yang dihidapinya dan adik perempuannya yang berani secara sukarela menawarkan diri mendermakan sel stem untuk si abang.  

Selain itu, pernah seorang budak lelaki di wad pediatrik Hospital Kuala Lumpur bertanya kepada saya: “Tuan, bila agaknya saya boleh kembali ke sekolah? Di sini membosankan.”  Pada saat itu, jawapan saya sekadar mengusap tangannya sambil berjanji, “Sabarlah, tidak lama lagi.” Tetapi sekarang, jika dia bertanyakan kembali soalan itu, saya akan beritahu kepadanya yang dia boleh meneruskan persekolahannya di wad itu, hasil daripada projek Hati Nurani melalui program Sekolah Dalam Hospital.  Program itu diilhamkan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, isteri Timbalan Perdana Menteri. Beliau menyaksikan bagaimana kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital untuk tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang tercicir dalam pembelajaran kerana mereka tidak dapat hadir ke sekolah.  Beliau amat prihatin dan memandang berat nasib kanak-kanak yang terlantar di hospital dan berputus asa kerana harapan masa depan semakin pudar.  Di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur daripada 17,135 pesakit tahun lalu ada 300 kanak-kanak yang menduduki peperiksaan di hospital. Saya percaya anda pernah membaca laporan akhbar mengenai kegigihan mereka belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya, walaupun dalam keadaan sakit.

Saya masih ingat menunjukkan laporan itu kepada anak saya, dan sejak itu mereka tidak pernah merungut lagi apabila disuruh belajar.  Program Sekolah Dalam Hospital amat penting kerana ia menawarkan dua perkhidmatan yang sangat berharga yang dapat kita berikan kepada kanak-kanak – rawatan kesihatan dan pendidikan. Satu daripadanya menjamin kesejahteraan mereka, manakala satu lagi menjamin masa depan mereka, tanpa mengambil kira tentang latar belakang atau keadaan mereka. Kementerian Kesihatan menyokong penuh pelancaran program ini, dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Yayasan Nurul Yaqeen, iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan melaksanakan inisiatif ini.  Bagi kanak-kanak, kesinambungan dan rutin amat penting untuk memupuk disiplin dan motivasi kepada mereka untuk belajar. Kanak-kanak yang keluar masuk dalam sistem persekolahan akan tercicir dalam pembelajaran mereka, tidak mendapat inspirasi mengasah potensi mereka.  Untuk memastikan pendidikan mereka terima berkesan, mereka perlukan pendekatan sistematik, dengan segala kemudahan, prasarana dan kepakaran mendidik yang betul.

Secara tradisi, semua ini ada di sekolah, bukan di hospital. Namun, mengapakah hospital tidak boleh menyediakan persekitaran yang diperlukan itu?  Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang adalah tiga hospital perintis di bawah fasa pertama program ini. Lapan guru ditempatkan di HKL, setiap empat orang di Hospital Ampang dan Hospital Serdang.  Ketika melawat hospital berkenaan selepas program itu dilancarkan, saya kagum melihat kanak-kanak terbabit begitu bersemangat untuk ‘pergi sekolah’. Mereka bukan saja sangat gigih belajar, malah datang ke kelas dua jam lebih awal! Guru yang dilantik mengajar di hospital ini turut bersemangat untuk melaksanakan tugas. Bagi mereka tugas ini sangat bererti kerana mampu memberi kesedaran kepada kanak-kanak terbabit bahawa keadaan kesihatan mereka tidak harus dijadikan halangan untuk mencapai kejayaan dalam bidang pelajaran.  Ketika berbual-bual dengan guru terbabit, jelas kepada saya bahawa mereka serius melaksanakan tanggungjawab bagi membantu kanak-kanak berkenaan memenuhi masa persekolahan yang ‘hilang’ supaya mereka boleh bergaul dengan rakan sebaya apabila kembali ke sekolah kelak.  Sekiranya kita semua sama-sama berusaha, kita boleh memastikan program ini berjaya dan melaksanakannya di hospital seluruh negara.  Dengan kemajuan canggih yang dicapai dalam bidang penjagaan kesihatan hari ini, kita mampu memberikan prognosis lebih baik terhadap penyakit dialami kanak-kanak. Alangkah malangnya jika selepas kesihatan mereka pulih, mereka dapati terlepas peluang dalam bidang pendidikan.

Penulis ialah Menteri Kesihatan www.liowtionglai.com/blog atau twitter@liowtionglai

SUMBER
BERITA HARIAN
24 OGOS 2011

ISU UMUM : SYARIKAT DI MALAYSIA DIGESA BELI KEPENTINGAN ESSO MALAYSIA DEMI MARUAH DAN KEPENTINGAN NEGARA


Oleh AZMAN ANUAR


Belum pun reda isu AirAsia dan MAS, tiba -tiba satu lagi kejutan apabila isu penjualan 65 peratus pegangan ExxonMobil International Inc. kepada San Miguel Corp. (SMC) sebuah syarikat pengilangan arak yang berpusat di Filipina yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai amat merugikan kerana ia melibatkan industri minyak dan gas negara. Keputusan ExxonMobil mahu melupuskan pegangannya di dalam Esso Malaysia sekali gus menutup operasi runcitnya di negara ini dikatakan berpunca daripada margin keuntungan yang rendah. Cadangan pengambilan alihan pegangan itu akan menyediakan San Miguel dengan peluang unik untuk meluaskan portfolio peniagaan penapisan dan pemasaran minyak di luar Filipina. Hebat cadangan itu. Tetapi jika syarikat Malaysia tidak bertindak segera, ia boleh menggambarkan syarikat tempatan tidak layak untuk mengambil alih Esso. Bahkan, tidak perlu pihak badan bukan kerajaan (NGO) membuat 'bising' tentang isu penjualan pegangan saham ini.

NGO berkenaan mahu kerajaan atau syarikat gergasi Malaysia masuk urus niaga itu untuk menyelamatkan Esso Malaysia daripada jatuh ke tangan individu dan syarikat asing. Ini kerana, kita ada banyak syarikat yang berpengalaman luas dalam bidang penapisan dan pemasaran minyak, namun tidak diberi perhatian sewajarnya. Esso Malaysia mempunyai prospek pertumbuhan yang baik. Ia memiliki syarikat penapisan minyak di Port Dickson, Negeri Sembilan serta 560 stesen minyak Esso dan Mobil di seluruh negara. Apa pun, pastinya ExxonMobil mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian dan sudah tentu menguntungkan kedua-dua pihak, namun Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Mohammad Ismail percaya semua pihak di Malaysia mengecam dan tidak bersetuju kerana banyak persoalan yang memerlukan jawapan. "Esso Malaysia perlu peka kepada sensitiviti negara kita, saya percaya pasti ada syarat-syarat atau terma yang memerlukan syarikat itu memberi tawaran kepada syarikat tempatan terlebih dahulu. 

Kita mempunyai beberapa individu yang tersenarai sebagai individu terkaya di Malaysia. Apakah mereka ini tidak berminat? Atau tidak ditawarkan. "Begitu juga kita mempunyai syarikat tempatan atau syarikat milik kerajaan (GLC) yang mampu untuk membeli dengan harga RM3.50 yang ditawarkan. Mustahil syarikat kita tidak mampu melainkan tidak berminat atau tidak ditawarkan? Atau mereka terlepas pandang?," komen Mohammad. Beliau hairan mengapa harga yang ditawarkan kepada San Miguel adalah lebih rendah darpadai harga pasaran. "Saya difahamkan pihak Boustead Holdings Bhd. yang dimiliki oleh LTAT ada membuat tawaran yang sekitar RM5.20 berbanding harga pasaran RM4.07 sesaham. "Persoalannya kenapa syarikat asing yang ditawarkan dengan harga yang begitu rendah iaitu RM3.50 sesaham atau jumlah keseluruhannya RM614.25 juta, sedangkan LTAT menyatakan hasrat untuk membeli ekuiti Esso Malaysia dengan tawaran keseluruhan RM1 bilion?" tanya beliau. 

Dalam soal ini, Mohammad berpendapat kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan agar syarikat tersebut tidak jatuh ke tangan syarikat asing apatah lagi syarikat tersebut melibatkan arak. "Jika tidak ditangani dengan baik, isu ini akan menjadi modal Pilihan Raya Umum Ke-13 dan ia akan menjadi 'bola tanggung' di mana akan menjadi pukulan smash yang amat sukar untuk dikembalikan. "Penjualan tersebut juga boleh menjatuhkan imej Malaysia kerana San Miguel merupakan syarikat pengilangan arak dan ini sudah tentu melibatkan kepentingan dan sensitiviti rakyat Malaysia kerana ramai pekerja Esso Malaysia ialah rakyat tempatan," kata Mohammad. Kerajaan juga perlu berfikiran jauh ke hadapan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Sekuriti serta agensi kerajaan yang berkaitan perlu berwaspada agar perkara seumpama ini tidak berulang. Bagi Mohammad, syarikat tempatan perlu diberi keutamaan berbanding syarikat asing. Syarikat tempatan perlu diberi tawaran terlebih dulu, malah jika perlu satu akta diwujudkan bagi mengatasi masalah tersebut. 

Kini, pelbagai pihak mendesak kerajaan campur tangan agar ExxonMobil tidak terlepas ke dalam tangan syarikat asing. Apa pun terima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berusaha menghubungi pihak Esso di Amerika Syarikat bagi menyuarakan hasrat LTAT untuk membeli 65 peratus ekuiti dalam Esso Malaysia. Walaupun pihak kementerian tidak boleh terlalu mencampuri urusan tersebut kerana dibimbangi ia akan memberi gambaran buruk kepada pelabur dari luar. Namun sokongan itu selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan dipilih menguasai Esso yang mahu mengundur diri daripada perniagaan runcit petroleum di negara ini. Esso Malaysia sebelum ini dilaporkan akan melepaskan kepentingannya di negara ini dan menumpukan pasaran baru, selain gagal muncul sebagai syarikat peruncitan minyak utama dan ketinggalan jauh di belakang dua pesaing utamanya iaitu Petronas dan Shell. 

Industri membabitkan petroleum di negara ini adalah sensitif kerana ia disubsidikan oleh kerajaan untuk rakyat Malaysia. Sebarang tindakan yang dilihat boleh menyebabkan industri itu dimiliki oleh orang asing adalah amat sensitif dan mampu menjejaskan reputasi negara terutama yang membabitkan dasar-dasar kerajaan. Sebab itu tugas membeli kepentingan dalam Esso Malaysia mungkin boleh dilakukan oleh syarikat berpengalaman seperti Kencana, Sapura dan Sime Darby. Jika tidak mampu bersendirian, lakukan melalui usaha sama. Syarikat-syarikat ini mempunyai modal dan reputasi dalam bidang perniagaan petroleum. Kerjasama ini penting agar kepentingan pengguna serta industri minyak di negara ini terjaga.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 OGOS 2011

ISU UMUM : RAKYAT MALAYSIA MENJADI TUAN DI KELAB BOLA SEPAK QUEENS PARK RANGER

Oleh AZNAN BAKAR



Ketibaan 31 Ogos ini menandakan sudah 54 tahun negara kita merdeka. Ini bermakna sudah 54 tahun juga kita bebas daripada cengkaman penjajah. Bukan Inggeris sahaja yang pernah menjajah negara ini. Portugis, Belanda dan Jepun juga pernah merasa menjadi tuan kepada kita. Tetapi yang paling lama ialah Inggeris. Tentunya, masih ada generasi yang tidak dapat melupakan bagaimana semua yang berhidung tinggi dan berkulit putih di panggil tuan. Sana sini mereka dipanggil tuan, yang perempuannya pula 'mem'. Tidak kira sama ada mereka orang Melayu atau Cina dan India yang baru berhijrah ke bumi bertuah ini. Semuanya mempertuankan bangsa Inggeris. Boleh dikatakan setiap rakyat bekerja untuk Inggeris ketika itu. Orang India bekerja untuk Inggeris di ladang, orang Cina di lombong. Melayu pula orang suruhan seperti menjadi budak pejabat atau pegawai kerajaan yang bertuankan orang putih. Tetapi selepas 54 tahun merdeka, rakyat Malaysia sudah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa yang menjadi tuan. Jika dulu Inggeris menguasai kerajaan, syarikat, ladang dan lombong, tetapi sekarang semua itu dilakukan sendiri oleh rakyat Malaysia.

Mereka menjadi tuan di bumi sendiri selepas negara mencapai kemerdekaan. Sempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 ini ada beberapa peristiwa penting yang membuktikan rakyat Malaysia kini benar-benar bangkit selepas merdeka. Jika dulu Inggeris menjadi tuan kini rakyat Malaysia menjadi tuan dan majikan kepada orang Inggeris. Itu yang boleh dilihat di sebalik urus niaga Tan Sri Tony Fernandes bersama dua lagi rakannya - Datuk Kamarudin Meranum dan Ruben Gnanalingam - yang mengambil alih kelab bola sepak dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Ranger (QPR). Mereka kini adalah tuan baru kepada kelab tersebut dan tuan kepada para pemain, pengurus, pekerja malah penyokong kelab itu. Mungkin ada yang mengkritik. Ada yang melihat pembelian kelab itu oleh Tony dan rakan-rakan sebagai membazir. Atau bagi tujuan menunjuk-nunjuk. Tetapi dengan mengambil semangat merdeka, pembelian dan pengambilalihan itu boleh dilihat sebagai masa untuk orang Malaysia yang dulu dijajah kini menjadi tuan kepada bangsa kolonial. Rakyat Malaysia yang dulu terpaksa tunduk dan akur atas apa sahaja kehendak penjajah kini bangkit hanya selepas 54 tahun merdeka.

Malah mereka bangkit menguasai kepentingan bangsa yang satu ketika dahulu pernah menjadi 'tuan' kepada penduduk negara ini. Untuk mengusai negara tidak mungkin akan berlaku dalam dunia moden ini. Tetapi dengan menguasai entiti perniagaan dan ekonomi sudah cukup untuk menaikkan imej rakyat negara ini yang satu ketika dahulu hanya dipandang sebagai hamba oleh Inggeris. QPR mungkin tidak segah Manchester United, Chelsea, Manchester City, Arsenal atau Liverpool. Tetapi kelab yang berpangkalan di Loftus Road, barat London itu bukan calang-calang. Walaupun baru dinaikkan ke EPL, tetapi kelab itu mempunyai sejarah yang cukup panjang dalam EPL. Usianya kini mencecah 125 tahun. Ia ditubuhkan pada 1882, iaitu zaman kegemilangan empayar Inggeris. Zaman di mana para penjelajah Inggeris merantau ke seluruh pelosok dunia untuk mencari tanah jajahan dan kekayaan baru. Zaman di mana Inggeris ghairah untuk menjarah dan menjajah negara-negara yang lemah. Selain QPR seorang lagi rakyat Malaysia, Tan Sri Vincent Tan turut menguasai sebuah lagi kelab bola sepak di bumi Inggeris iaitu Cardiff yang beraksi di League One.

Semua ini membuktikan keupayaan bekas penduduk bumi yang pernah dijajah oleh Inggeris untuk menguasai dunia. Apa yang lebih penting, pengambilalihan kepentingan di bumi Inggeris sama ada kelab bola sepak atau entiti perniagaan lain memberi gambaran keupayaan Malaysia bangkit. Ia memberi semangat dan dorongan kepada rakan-rakan yang lain untuk tampil bersaing di pentas antarabangsa. Jika dilihat kepada senario hari ini, kelab-kelab bola sepak EPL yang merupakan antara liga yang paling popular di dunia banyak dikuasai oleh entiti luar.Pemilik-pemilik kelab itu sama ada daripada keluarga di raja Arab yang kaya raya ataupun bilionaire Rusia selain tokoh perniagaan Amerika Syarikat. Jadi, penampilan Tony bersama Kamarudin dan Ruben di persaingan EPL turut meletakkan nama Malaysia dalam radar sukan dunia. Tetapi yang penting, sempena dengan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 yang tinggal tidak berapa hari ini, itu tanda kejayaan Malaysia untuk bangkit selepas sekian lama menjadi hamba kepada Inggeris. Diharapkan Tony dan rakan-rakan menjadi tuan yang baik dan seterusnya menjadikan QPR sebuah pasukan yang disegani dalam EPL. Tanggungjawab kini ialah memastikan QPR di bawah kendalian usahawan Malaysia mampu cemerlang sebagaimana Malaysia bangkit selepas bebas daripada pengaruh penjajahan Inggeris 54 tahun lalu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 OGOS 2011