JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : SEKOLAH DALAM HOSPITAL INOVASI ADIL UNTUK PELAJAR "SAKIT"


Satu inovasi dalam dunia pendidikan tanah air diperkenalkan kerajaan untuk mengatasi masalah keciciran di kalangan pelajar yang mendapat rawatan jangka panjang di hospital kerajaan. Akhirnya mereka yang bermasalah kesihatan kronik mendapat peluang mengikuti pelajaran seiring dengan rakan mereka yang lebih sihat. Kerap kali berlaku, apabila seseorang pelajar dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan lanjut, mereka akan ketinggalan dalam pelajaran dan peperiksaan penting, meskipun bukan itu yang mereka pinta. Oleh itu, keputusan pelaksanaan program Sekolah Dalam Hospital (SDFH) oleh Kementerian Pelajaran ini juga memberi peluang kepada pelajar yang terlantar di atas katil untuk memperolehi pelajaran secukupnya biarpun berada di hospital. Tidak dinafikan program SDH yang mula dilaksanakan ini memberi harapan baru kepada murid dan pelajar yang menghidapi penyakit kritikal di hospital.

Hakikatnya walaupun tidak lagi ke sekolah seperti biasa, mereka patut diberi pendidikan. Lihat bagaimana sebilangan besar pesakit berusia antara lima hingga 18 tahun ketinggalan pelajaran mereka ekoran terpaksa menjalani rawatan di wad dalam tempoh yang sangat lama. Pada tahun lepas, daripada 5,650 murid sekolah rendah yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur, 812 murid terpaksa menduduki peperiksaan di hospital manakala daripada 516 pelajar sekolah menengah, 120 juga menghadapi peperiksaan di bilik hospital. Ada kalangan pelajar yang tinggal di hospital mempunyai tahap akademik yang baik dan cemerlang. Adalah merugikan tahap pemikiran mereka disia-siakan tanpa mendalami dan menyambung pelajaran semata-mata mereka dikategori sebagai 'pesakit'. Bukan selama-lama mereka akan tinggal di hospital, dan tempoh masa yang ada itu patut diisi dengan pelajaran.

Jangan biar hidup mereka dipenuhi kebosanan hingga mengikis motivasi untuk meneruskan pembelajaran apabila kembali ke sekolah. Melalui program SDH, eloklah pesakit yang tidak mampu bergerak didatangi guru yang mengajar di bilik pelajar berkenaan. Tidak perlu mereka dihantar ke bilik darjah hospital. Program SDH diilhamkan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang dirintis melalui projek Hati Nurani kelolaan Yayasan Nurul Yaqeen. Seramai 50 pelajar telah memulakan sesi pertama pembelajaran SDH di tiga hospital kerajaan iaitu Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang. Eloklah gabungan NGO, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan diteruskan di hospital lain. Ramai murid dan pelajar yang berada di atas katil hospital seluruh negara menantikan kedatangan program ini di tempat mereka. Semua pihak mengharapkan pendekatan inovasi dalam pendidikan ini dapat memastikan murid dan pelajar yang terpaksa menerima rawatan di hospital tidak ketinggalan dalam pelajaran. Inovasi ini akhirnya memberi keadilan kepada pelajar 'sakit'.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
19 JULAI 2011