JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Julai 2011

ISU UMUM : MENGAPA PERLEKEH BAKAT TEMPATAN

Oleh Rejal Arbee

Rakyat patut fikir 
kenapa Barat sering memburukkan 
negara kita


Kenapa rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, bukan saja suka merendahkan diri, tetapi lebih menghairankan suka pula memperlekehkan kebolehan atau pencapaian sendiri. Ada kalanya tidak pun mengetahui ada insan dalam kalangan kita yang disanjungi dan diberi pengiktirafan di luar negara. Itulah agaknya kenapa kadang-kadang institusi pengajian tinggi tempatan dipandang rendah hanya kerana menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantarnya. Inilah yang dialami Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat beberapa tahun pada awal penubuhannya hinggalah berpuluh-puluh tahun kemudian baru mendapat pengiktirafan sebagai sebuah universiti ulung yang mampu mengeluarkan graduan yang diiktiraf dunia. Misalnya, lulusan doktor perubatannya dipandang tinggi hanya selepas Kerajaan Singapura mula ‘menyambar’ graduannya sebaik saja mereka tamat pengajian. Maka itulah juga ada antara kita yang memandang rendah terhadap barisan profesor kita.

Ada yang menganggap mereka sebagai profesor ‘kangkung’ pada hal kebanyakan mereka diberi pengiktirafan antarabangsa. Malah ada yang pernah bertugas di pelbagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu pun melakukan penyelidikan di universiti ulung dunia seperti Harvard dan mendapat tempat di Oxford.  Orang yang memandang serong terhadap profesor kita ini hanya kerana dia tidak senang dengan tulisan profesor itu dalam ‘e-group’ mereka yang terhad memuji Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap kepada Majlis Profesor Negara baru-baru ini yang katanya sudah diberikan tepukan gemuruh (standing ovation) oleh peserta.  Teringat lagi pandangan seorang rakan yang kesal bagaimana seorang pemikir ulung kita, Prof Syed Naquib Alatas tidak mendapat sanjungan seperti mana sepatutnya dalam negara sendiri, sedangkan beliau amat disanjungi di luar negara khususnya negara Islam di Asia Barat yang kagum dengan tahap pemikiran dan penulisan serta karyanya.

Demikian juga kita sudah banyak mengeluarkan bakat baru di bidang seni seperti lukisan dan perfileman hingga ada yang dianggap mempunyai bakat berkelas dunia, tetapi tidak pun diketahui, jauh sekali mendapat pengiktirafan dalam negara.  Pengumpul lukisan, Farouk Khan dan isterinya Aliya menyebut beberapa pelukis tanah air yang tidak pun diketahui ramai di sini, tetapi mendapat pengiktirafan sebagai pelukis bertaraf antarabangsa. Mereka menamakan pelukis seperti Ahmad Shukri, Yusof Ghani, Tan Chin Kuan, Muthalib Musa dan Shooshie Sulaiman yang dianggap sebagai pelukis bertaraf dunia, malah mendapat sanjungan apabila mempamerkan karya lukisan mereka di luar negara seperti di New York atau London.  Pelukis itu, antaranya tidak diketahui langsung dalam negara, tetapi sudah menggegarkan pelukis antarabangsa dengan pemikiran, kemahiran dan karya mereka. Farouk pula menyebut bagaimana bakat pelukis dan artis kita yang menceburi diri dalam dunia kreatif sungguh mengagumkan, tetapi tidak mendapat perhatian media atau rakyat negara ini.

Ini berbeza sekali dengan apa yang berlaku di Barat yang mana warga mereka yang mempunyai bakat demikian disanjungi.  Apakah keadaan demikian ini bersangkutan dengan budaya Barat yang mudah menyanjungi orang berbakat pada hal kita di Malaysia mengamalkan budaya mahu menjatuhkan seseorang?  Kita juga harus faham peranan yang boleh dimainkan bakat kita itu untuk kedudukan negara dalam sejarahnya kelak. Apakah kita tidak ketahui era Renaissance di Eropah yang lebih terkenal hingga sekarang kerana barisan pelukisnya dari Itali seperti Michelangelo dan Donatello dan bukan saja kerana pemikiran hingga membawa kepada era penemuan berteraskan pengetahuan sains.  Demikian juga pada era pemerintahan Moghul di India yang lebih terkenal bukan kerana luasnya pemerintahan dinasti itu, tetapi bertumpu kepada keindahan bangunan Taj Mahal yang didirikan oleh seorang rajanya, Shah Jahan.

Kita sepatutnya berfikir apakah tidak cukup negara ini mendapat liputan buruk saja dalam rangkaian berita dunia seperti CNN yang biasanya memuatkan berita buruk saja mengenai negara ini. Kita juga seharusnya faham kenapa rangkaian berita dunia sering saja memburuk-burukkan negara membangun seperti Malaysia. Kita juga harus bertanya kenapa orang lain berterusan memperlekehkan kita? Kenapa pula kita sendiri pun mahu menyokong pandangan serong mereka itu? Apakah yang mereka lakukan itu bukan usaha mahu memberi gambaran negatif kepada dunia bagaimana tidak stabilnya negara ini atau pun negara membangun? Apakah ini bukannya kerana mahu menghalang keyakinan pelabur mereka terhadap kita? Apakah ini juga bukan kerana mereka tidak mahu menggalakkan syarikat mereka melabur keluar supaya berterusan melabur dalam negara mereka, membeli saham syarikat mereka di bursa saham mereka untuk kepentingan ekonomi sendiri?  Tidak cukupkah pertubuhan demikian memperlekehkan kita tanpa kita sendiri pula mahu menjatuhkan kedudukan negara sendiri? Inilah satu persoalan yang harus kita fikirkan dengan matang.

Penulis ialah Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 JULAI 2011

ISU PENDIDIKAN : KES BULI DI SEKOLAH MENURUN


Kes buli di sekolah mencatat penurunan sebanyak 9.42 peratus tahun lepas hasil pelbagai usaha pencegahan yang dilakukan banyak pihak antaranya sekolah, ibu bapa dan Kementerian Pelajaran. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, kementeriannya menerima sebanyak 2,617 laporan kes buli di sekolah sepanjang tahun lepas berbanding 2,889 kes pada tahun 2009 dan 3,107 kes pada tahun 2008. Penurunan itu suatu petanda baik dalam usaha kita memerangi gejala buli di sekolah. Beliau berkara demikian selepas melancarkan Portal E-Buli di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 14 Julai 2011. Pelancaran portal itu turut dihadiri Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob dan wakil persatuan ibu bapa, guru dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta. Portal yang bertujuan membantu mangsa buli dan menangani penularan gejala tidak sihat itu boleh dilayari menerusi laman web http://ebuli.upsi.edu.my.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 JULAI 2011