JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : MELESTARI PERANAN PROFESOR SEBAGAI PEMIKIR NEGARA


Sumbangan golongan cendekiawan atau intelektual akademik khususnya golongan profesor dalam pembangunan negara tidak boleh dinafi atau di kesampingkan. Buktinya, sejak kebelakangan ini pelbagai anugerah dimenangi kumpulan-kumpulan penyelidik dari universiti tempatan dalam persaingan penyelidikan atau pertandingan inovasi di luar negara. Karya-karya akademik mereka juga diiktiraf di peringkat antarabangsa. Namun, banyak pihak menganggap peranan profesor masih tertumpu dalam lingkungan akademik atau persekitaran universiti dan tidak banyak saranan atau cetusan idea mereka yang menjadi panduan kepada kerajaan khususnya dalam menggubal dasar pembangunan negara. Tanpa menafikan peranan besar profesor tertentu misalnya Profesor Diraja Ungku Aziz yang mencadangkan penubuhan Tabung Haji, buah fikiran profesor lainnya seolah-olah tidak mendapat tempat, atau mungkin sememangnya tidak diketengahkan.

Sebab itu Kongres Profesor Negara (KPN) anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang berlangsung Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula 6 Julai hingga 7 Julai 2011, diharapkan dapat menjanjikan cahaya baru kepada peranan profesor di negara ini. Sebagai badan pemikir intelektual yang ditubuhkan tahun lalu, MPN mengumpulkan kira-kira 1,700 profesor dari universiti awam dan mereka dibahagikan kepada 14 kluster atau kelompok mengikut disiplin kepakaran masing-masing. Sejurus pelancaran MPN di Putrajaya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 April 2010, rakyat menaruh harapan tinggi agar kemajuan negara bukan hanya dipacu oleh ahli-ahli politik, pegawai dan kakitangan awam, teknokrat serta swasta malah memberi ruang dan peranan lebih besar kepada sumbangan profesor-profesor. Paling utama, dalam pelan dan agenda transformasi kerajaan yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini, seharusnya melibatkan sama golongan profesor supaya mereka membahaskannya melalui pandangan ilmu sejagat.

Melalui 14 kluster yang ditetapkan di bawah MPN, sudah pasti setiap kumpulan kluster dengan disiplin ilmu dan kepakaran berbeza, dapat melontarkan saranan ke arah memastikan agenda transformasi yang dicita-citakan Perdana Menteri, dilaksanakan mengikut acuan yang betul. Ini bermaksud, bukan sekadar membahaskan transformasi pentadbiran awam, sains dan teknologi serta ekonomi, malah buah fikiran golongan profesor sangat diperlukan untuk memastikan transformasi politik, sosial dan keselamatan awam direalisasikan. Kerajaan dan rakyat sudah pun memberi lampu hijau kepada profesor-profesor untuk melibatkan diri secara serius dan aktif dalam input pembentukan dasar dan pengoperasian pentadbiran awam. Kini, dengan keyakinan bahawa semua profesor mempunyai semangat kecintaan yang tinggi terhadap negara, rakyat menantikan sumbangan mereka yang lebih besar seterusnya melestarikan peranan golongan ini dalam rencana pembangunan negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JULAI 2011

ISU UMUM : KESEDERHANAAN TUN ABDUL RAZAK


Berbekalkan sebuah basikal dan tanpa mengira panas serta mendung, Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengorak langkah menyelami kehidupan penduduk luar bandar. Sedikit pun beliau tidak rasa kekok mahupun malu untuk mengayuh basikal melintasi kawasan sawah padi, pertanian dan perumahan orang kampung. Malah, dijadikan pula sebagai alternatif bagi anak sulung kepada Orang Kaya Indera Shahbandar Datuk Hussein Mohd. Taib dan Teh Fatimah Daud ini untuk mendekati rakyat. Biarpun dilahirkan dalam keluarga bangsawan kerana bapanya adalah seorang daripada empat orang besar Diraja Pahang yang mempunyai hubungan erat dengan Istana Pahang, namun apa yang pasti tiada jurang atau unsur elitisme dalam keperibadian Tun Abdul Razak. Justeru, tidak menghairankan apabila beliau yang juga digelar sebagai Bapa Pembangunan amat terkenal dengan sikap kesederhanaan biarpun telah menceburi bidang politik sehingga menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri. Keperibadian sederhananya itu turut terserlah apabila beliau sanggup menginap di hotel murah serta tidak akan menukar sesuatu perabot di kediaman rasminya, Sri Taman sekiranya masih boleh digunakan lagi.

Begitulah uniknya sikap Tun Abdul Razak yang tidak ada pada pemimpin lain ketika itu dan ini diakui sendiri Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Ghapa Harun. "Pengalaman sosialisasi beliau membesar di kampung selama 10 hingga 12 tahun membentuk sifat kesederhanaan dalam dirinya," kata Abdul Ghapa. Dibesarkan di sebuah kawasan perkampungan kecil, Pulau Keladi, Pekan, bersama-sama anak penduduk kampung, akhirnya membentuk sahsiah 'kesederhanaan' yang kuat dalam diri beliau. Malah, status 'anak bangsawan' tidak menghalang beliau bermain dan berkawan dengan anak miskin kampung. Apatah lagi, asas persekolahan Tun Abdul Razak bukanlah digilap di sebuah sekolah berstatus elit, tetapi hanya di Kampung Jambu Langgar yang agak jauh dari rumah datuknya sehingga terpaksa menapak sejauh empat kilometer setiap hari. Melihat kesengsaraan dan kesempitan hidup rakan-rakannya, menyebabkan beliau turut sama tidak memakai kasut dan hanya berkaki ayam ke sekolah seperti mereka kerana tidak mahu adanya perbezaan miskin atau kaya.

"Percakapan, pakaian, pergaulan, pergi mengaji al-Quran dan bermain sawah, langsung tiada perbezaan dengan rakan-rakan sebayanya. Walaupun selepas Tun melanjutkan pelajaran ke MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak), Raffles College, Singapura sekejap sahaja kerana Perang Dunia Kedua kemudian England, sikap kesederhanaannya masih utuh dan tidak berubah biarpun sudah bergaul dengan golongan elit. "Jadi apabila Tun menjawat jawatan sebagai Pegawai Tadbir dan kemudian terbabit dalam politik, beliau tidak berasa kekok dan boleh makan sekali serta bergaul dengan orang kampung. Pengalaman Tun ini berbeza dengan pemimpin lain kerana kebanyakan pemimpin ketika itu yang asal daripada golongan elit atau bangsawan membesar dengan ibu bapa, jadi unsur elitisme itu sudah ada. "Berbanding dengan Tun yang membesar di kampung, elemen dan sikap elitisme tidak tumbuh bersama-sama dalam keperibadian beliau," katanya. Pengalaman membesar di kampung, bukan sahaja membentuk sifat kesederhanaan dalam diri beliau, malah mewujudkan sikap prihatin tatkala melihat kesukaran dan kesempitan hidup masyarakat kampung terutama orang Melayu.

Tidak sekadar memandang atau merenung tanpa melakukan apa-apa, Abdul Ghapa berkata, pengalaman itu akhirnya mendorong Tun Abdul Razak komited mengubah kehidupan masyarakat luar bandar sekali gus bermatlamat memodenkan serta meningkatkan pendapatan mereka. "Untuk membolehkan masyarakat luar bandar terbabit secara aktif dalam ekonomi moden, mereka mestilah dihubungkan dengan orang bandar melalui pembangunan infrastruktur. Bagi merealisasikan perkara ini, pemikiran orang kampung mesti diubah sehingga terbinanya 'scientific frame of mind'. Menurut Tun, kalau pemikiran orang kampung tidak diubah, apa pun program yang kerajaan laksanakan tidak akan berjaya. "Semasa tahun 60-an bukan sahaja banyak projek pembangunan tetapi juga program berbentuk pentingnya kesedaran mengubah sikap telah digiatkan untuk mengubah cara-cara mereka berfikir. Menurut Tun Razak, usaha mengintegrasikan sains ke dalam kebudayaan kita semestinya menjadi tugas dan tanggungjawab baru bagi orang Melayu," katanya. Ini kerana Tun Abdul Razak berpendapat hanya menerusi pengintegrasian sains, orang Melayu dapat berubah menjadi 'a new kind of economic man' dan mampu menyusun kegiatan ekonomi mereka secara besar-besaran dan berkesan.

Kesungguhan dan keprihatinan Tun Abdul Razak membantu masyarakat kampung menjana pendapatan lebih baik dapat dilihat sebaik sahaja beliau menggalas jawatan sebagai Menteri Pelajaran dalam barisan kabinet pertama, yang ketika itu Perdana Menteri adalah Tunku Abdul Rahman Putra. Menurut Abdul Ghapa, MCKK yang diketahui umum ketika itu sebagai sebuah platform pengajian untuk golongan bangsawan dan elit, telah direformasikan oleh Tun Abdul Razak dengan membuka lembaran pintunya kepada orang Melayu bukan dari golongan tersebut untuk mendapat pendidikan di situ bagi mengubah kehidupan mereka. Perjuangan beliau mengubah nasib masyarakat kampung semakin dekat apabila memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan seterusnya Perdana Menteri kedua pada tahun 1970. Sikap kesederhanaan Tun Abdul Razak semasa pentadbirannya dari tahun 1970 sehingga 1976, tidak hanya tertumpu membantu masyarakat orang Melayu luar bandar, malah turut merangkumi pelbagai kaum. Ini merujuk kepada segala keputusan dasar yang dibuat, beliau turut menekankan kepentingan kaum lain sehingga digelar sebagai 'Symphatetic Father of Nation' dalam sebuah majalah, 'Asia Yearbook' pada tahun 1974.

"Walaupun beliau membesar di kampung, Tun bukan ekstremis Melayu. Pendidikan di MCKK, luar negara, mempengaruhinya dalam membuat keputusan supaya tidak mementingkan sebelah pihak sahaja. "Beliau juga bukanlah seorang pemimpin yang suka dominate. Ini kerana, beliau amat terkenal dengan kesediaan mendengar pelbagai pandangan daripada semua pihak dan ini dapat dilihat ketika memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). "Ketika itu, sarjana ekonomi daripada pelbagai aliran pemikiran telah dipanggil memberikan pandangan dan beliau membuat keputusan berdasarkan mana lebih praktikal. "Semasa membuat keputusan, beliau menekankan matlamat DEB bukan sahaja membantu orang Melayu memperoleh peluang dalam pembangunan ekonomi tetapi juga memastikan kepentingan kaum bukan Melayu juga turut dilindungi dan ini menyebabkan pemimpin bukan Melayu boleh rapat dengan beliau," katanya. Kesederhanaan Tun Abdul Razak bukan setakat dalam skop negara sahaja, malah merangkumi jalinan hubungan diplomatik dengan negara luar. Tanpa mengira berlainan ideologi, Perdana Menteri kedua menerusi sikap pragmatiknya melihat faedah, sumbangan mahupun hasil yang boleh diperoleh daripada hubungan diplomatik terjalin khususnya dari sudut ekonomi negara untuk dimanfaatkan kepada masyarakat.

Abdul Ghapa berkata, kesederhanaan Tun Abdul Razak menjalinkan hubungan diplomatik, akhirnya mengeratkan hubungan dengan negara komunis di Eropah Timur, Soviet Union dan kemuncaknya dengan China pada tahun 1974 selepas beliau mengadakan lawatan ke China dan disambut mesra oleh Perdana Menteri China, Chou En-Lai. "Sikap pragmatiknya membolehkan Malaysia mendapat manfaat daripada negara komunis dari sudut perdagangan, sains teknologi serta menjamin kedaulatan negara. Ini kerana, China memberi jaminan tidak akan mengganggu urusan dalam negara Malaysia khususnya berhubung dengan kegiatan pengganas komunis. "Macam konfrontasi Indonesia yang berlaku ekoran daripada penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, sikap pragmatik beliau sedikit sebanyak telah membantu kepada usaha pembaikan hubungan persahabatan antara dua negara," katanya. Biarpun negara selepas merdeka mewarisi sebuah jentera pentadbiran yang mantap dan ekonomi memberangsangkan daripada penjajah, namun terdapat dua masalah ketara iaitu agihan kekayaan tidak sama dan kelemahan kerajaan membina satu identiti kebangsaan di kalangan rakyat sehingga berlakunya peristiwa hitam, tragedi 13 Mei.

Ia ditambah menerusi pilihan raya yang diadakan pada 10 Mei 1969 di mana telah memberi satu tamparan kepada rakyat Malaysia khususnya masyarakat Cina apabila MCA yang adalah anggota parti Perikatan kalah teruk dan UMNO meletakkan punca kekalahan Perikatan kepada MCA.Bertitik-tolak dari situ, ada desakan daripada UMNO supaya menubuhkan kerajaan Melayu sahaja. "Perikatan hilang sokongan. Orang Melayu makin ramai tidak menyokong, begitu juga dengan sokongan terhadap parti bukan Melayu, kerajaan hilang majoriti dua pertiga. Biarpun begitu, Tun tidak tunduk kepada desakan menubuhkan kerajaan Melayu sahaja dan ini sudah dilihat kesederhanaan beliau menjaga hubungan antara kaum. "Proses memulihkan sokongan rakyat serta menjadikan Malaysia sebuah negara stabil telah bermula ketika beliau memegang jawatan sebagai pengarah Mageran (Majlis Gerakan Negara) yang ditubuhkan untuk memulihara keamanan selepas tragedi 13 Mei. Kemudian usaha menarik sokongan dilakukan secara berterusan sehinggalah beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dan telah cuba menggabungkan parti politik pembangkang dengan Perikatan.

"Apabila dapat menggabungkan beberapa parti politik ketika itu, beliau menukarkan nama Perikatan kepada Barisan Nasional untuk mewujudkan kerajaan kuat dan stabil," katanya. Menurut Abdul Ghapa, Perdana Menteri kedua itu percaya bahawa pembangunan ekonomi dan kestabilan politik di Malaysia hanya dapat diwujudkan melalui sebuah kerajaan yang kuat. Bagi memastikan agihan kekayaan dapat diseimbangkan semua kaum, Tun Abdul Razak berpendapat sudah tiba masanya campur tangan kerajaan diperlukan dalam menangani permasalahan tersebut. "Sebelum tahun 1969, kerajaan tidak banyak campur tangan dalam ekonomi dan ketika itu golongan swasta memainkan peranan utama dalam ekonomi negara. Mereka hanya melihat keuntungan dan tidak memberikan perhatian kepada soal pengagihan kekayaan secara adil. "Atas sebab itu, beliau memperkenalkan DEB yang melibatkan penyertaan kerajaan bagi memastikan proses agihan kekayaan secara lebih adil berlaku. Lebih penting lagi, campur tangan kerajaan akan memberi peluang kepada bumiputera dan kaum lain dari sudut meningkatkan penguasaan ekonomi," katanya.

Berkaitan masalah kedua, membina identiti kebangsaan, Abdul Ghapa berkata Tun Abdul Razak telah mengambil langkah tegas menterjemahkan peruntukan dalam perlembagaan ke dalam dasar-dasar yang bersifat kebangsaan seperti membentuk dasar budaya kebangsaan, rukun negara dan dasar pendidikan sebagai teras kepada identiti kebangsaan Malaysia. Melalui langkah itu, Tun Abdul Razak telah membina satu 'baseline' yang jelas dari sudut identiti negara yang terasnya adalah Melayu, seperti mana dimaktubkan dalam perlembagaan. 'Marker of identity' yang sudah ada dalam beberapa fasa Perlembagaan Negara seperti kedudukan Bahasa Melayu, kedudukan orang Melayu dan Raja-raja Melayu telah dimanfaatkan sepenuhnya sebagai unsur penyatu kepada perpaduan rakyat negara ini. "Tun Abdul Razak menegaskan sebagai sebuah negara pelbagai kaum, Malaysia selepas tragedi hitam itu (13 Mei 1969) amat memerlukan dasar yang jelas dan tegas dalam soal identiti," katanya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JULAI 2011

ISU SOSIAL : REMAJA MASIH PERLEKEH UNDANG-UNDANG JALAN RAYA

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)


Baru-baru ini seorang wanita dari Terengganu didenda dan dipenjara kerana memanggil anggota polis "bodoh". Ini adalah kes yang membabitkan seorang wanita yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis semasa ditahan kerana menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. Pada hakikatnya masih ada penunggang motosikal menunggang tanpa memakai topi keledar walaupun telah berulang kali diberi peringatan dan teguran oleh pihak berkuasa. Sikap tidak menghormati undang-undang ini amat menyedihkan. Selain menunggang tanpa topi keledar, wujud masalah mereka yang suka melanggar lampu merah bahkan ada ketika semasa polis sedang menjalankan tugas di tempat berhampiran. Sebagai penguna jalan raya, membuat saya tertanya-tanya mengapa begitu banyak penunggang motosikal sanggup memperjudikan nyawa mereka ketika menyeberangi persimpangan jalan dengan melanggar lampu merah.

Ia bukan hanya isu penunggang motosikal individu tetapi juga pasangan ibu bapa yang kadang-kadang meletakkan anak kecil mereka tersepit di antara penunggang dan pembonceng. Berdasarkan pemerhatian saya lebih daripada 50 peratus penunggang melanggar lampu isyarat di persimpangan jalan. Kalau kita menempatkan pegawai penguat kuasa di persimpangan lalu lintas, sudah pasti ramai akan tertangkap. Tetapi itu bukanlah persoalannya, isu di sini mengapa penunggang motosikal tidak menunjukkan rasa hormat terhadap undang-undang bahkan sanggup mempertaruhkan nyawa mereka dan nyawa orang yang mereka sayangi. Apa yang lebih merunsingkan adalah peningkatan trend remaja dan belia yang tidak menghormati undang-undang. Nilai-nilai murni tidak lagi mencorak perilaku mereka dan perasaan hormat kepada undang-undang dan ketenteraman awam nampaknya semakin pudar.

Remaja semuda 15 tahun terlibat dalam aktiviti lagak ngeri mat rempit, malah mengejek dan mencabar pihak polis di jalan raya. Sindrom perilaku negatif seperti samseng jalanan, buli di sekolah, bertindak ganas, bersikap biadap dan kurang ajar jelas membuktikan bahawa kempen kesopanan kita belum berkesan. Persoalan ketidakpatuhan terhadap undang-undang perlu dikaji dan penyebab dikenal pasti sebelum ia menjadi lebih parah. Adakah pihak sekolah dan ibu bapa telah melakukan secukupnya untuk menerapkan rasa hormat kepada undang-undang di kalangan generasi muda? Adakah tekanan negatif rakan sebaya yang telah membawa remaja kepada situasi yang tidak diingini ini? Adakah perilaku sebilangan pemimpin kita yang tidak menunjukkan teladan yang baik dalam menghormati undang-undang mengakibatkan masalah ini timbul. Semua persoalan ini adalah sangat relevan dan saya ingin mencadangkan supaya satu badan bebas ditubuhkan untuk mengkaji sejauh mana seriusnya trend remaja yang tidak menghormati undang-undang.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 JULAI 2011