JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Julai 2011

ISU SOSIAL : KES DERA SEKSUAL SERUIS

Sebanyak 60 peratus daripada 1,823 kes penderaan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak yang dilaporkan sepanjang lima tahun lalu, dilakukan oleh ahli keluarga terdekat termasuk bapa kandung, bapa tiri dan saudara mara. Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2006 hingga 2010 itu juga menunjukkan kes penderaan seksual di negara ini berada pada tahap serius termasuk peningkatan kes dilaporkan setiap tahun, namun pada masa sama ia membuktikan kesedaran masyarakat terhadap perlakuan itu semakin meningkat. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata ahli keluarga terdekat sepatutnya berperanan melindungi keselamatan kanak-kanak, namun ia berlaku sebaliknya.  Walaupun perangkaan kes membabitkan kanak-kanak khususnya penderaan seksual meningkat, ia sebenarnya menunjukkan kesedaran masyarakat untuk melaporkan perlakuan sedemikian semakin meningkat, katanya semasa berucap pada pelancaran program ‘Menyatukan Keluarga – Keselamatan Kanak-Kanak’ anjuran RHB Bank Berhad di sini, semalam.  Khalid berkata, perangkaan sepanjang 2006 hingga 2010 juga menunjukkan lebih 70 peratus mangsa rogol di negara ini adalah kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun daripada keseluruhan 16,158 kes yang dilaporkan.  

Selain itu, katanya, sebanyak 1,017 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan sepanjang lima tahun lalu atau purata 200 kes setiap tahun, dengan 57 peratus atau 579 kes membabitkan kanak-kanak lelaki.  Sehubungan itu, beliau berkata, bagi menangani pelbagai kes membabitkan kanak-kanak, PDRM mewujudkan Pusat Temu Duga Kanak-Kanak (CIC) yang bertujuan mendapatkan maklumat daripada mangsa untuk mengukuhkan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan.  PDRM menyediakan persekitaran selesa dan bersesuaian dengan kanak-kanak di pusat berkenaan yang diwujudkan di Bukit Aman kerana kita mahu mendapatkan seberapa banyak maklumat berhubung kes yang menimpa mereka untuk pendakwaan.  Khalid berkata, sepanjang tempoh sama, 5,270 kanak-kanak dilaporkan hilang dengan 43 peratus atau 2,982 belum ditemui.  Ia termasuk kes lari dari rumah atas pelbagai alasan termasuk mencari kebebasan, perselisihan faham dengan ahli keluarga atau termakan pujuk rayu teman lelaki. Sementara itu, Azlan berkata, RHB Bank menerusi program berkenaan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak khususnya PDRM dan MCPF, dalam meningkatkan kesedaran ibu bapa sebagai pelindung anak masing-masing bagi mengelak menjadi mangsa penjenayah.

SUMBER
BERITA HARIAN
4 JULAI 2011

ISU ALAM SEKITAR : TRAFIK PUNCA GAS OZON

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan kualiti udara di empat kawasan iaitu Putrajaya, Shah Alam, Nilai dan Tanjung Malim yang didakwa mengandungi gas ozon permukaan tinggi, masih terkawal kerana bahan itu hanya terhasil pada waktu puncak, bukan sepanjang masa. Ketua Pengarahnya, Datuk Rosnani Ibarahim, berkata gas ozon adalah bahan kimia yang terhasil daripada beberapa faktor seperti asap kenderaan, kesesakan dan perubahan cuaca di sesuatu kawasan. Kandungan gas ozon kadang kala tinggi, namun ia hanya berlaku pada waktu puncak iaitu selepas tempoh kesesakan kenderaan di kawasan berkenaan berkurangan.  Ketika awal pagi dan lewat petang iaitu tempoh orang ramai pergi serta pulang dari pejabat, jumlah kenderaan berganda dan asapnya memenuhi udara, menyebabkan cuaca menjadi panas, seterusnya menghasilkan gas ozon.  

Namun, selepas satu atau dua jam kesesakan beransur baik atau suhu kembali stabil, gas ozon semakin berkurangan, jadi keadaan ini tidak terlalu menjejaskan kesihatan penduduk di sekitar kawasan berkenaan. Beliau mengulas laporan akhbar semalam berhubung kenyataan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hasil kajian universiti itu mendapati kualiti udara di empat kawasan terbabit mengandungi gas ozon permukaan berlebihan sehingga boleh menjejaskan kesihatan penduduk dan pertumbuhan pokok di kawasan berkenaan.  Rosnani berkata, JAS sentiasa memantau serta memperbaiki tahap piawaian kualiti udara yang ditetapkan jabatan itu selain berusaha menggalakkan kempen pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Orang ramai juga dinasihatkan supaya menjaga kualiti petrol kenderaan dan lebih prihatin untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan pelepasan asap kenderaan berbahaya di udara.

SUMBER
BERITA HARIAN
4 JULAI 2011

ISU KENEGARAAN : MAJLIS PROFESOR NEGARA MENJADI PENASIHAT KEPADA DASAR KERAJAAN

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com

Dalam  banyak perkara, pandangan ahli akademik atau Profesor jarang sealiran dengan ahli politik. Ahli akademik yang hujahnya bersandarkan penyelidikan dan fakta, tidak digemari ahli politik yang lebih banyak bererotik. Di Malaysia yang suasana politiknya lebih mencabar terutama selepas 2008, ruang untuk ahli akademik bersuara juga menjadi semakin terhad. Banyak tindakan yang bersifat populis dan bertentangan dengan pendirian ahli akademik terpaksa diambil ahli politik semata-mata kerana kelangsungan kuasa. Kerana itu apabila kerajaan menubuhkan Majlis Profesor Negara (MPN) pada April 2010, ramai yang skeptikal mengenainya terutama dari sudut sejauh mana majlis ini mampu berperanan sebagai sebuah badan penasihat kepada kerajaan. Tidak pernah dalam sejarah negara sejak merdeka, ahli akademik diangkat martabatnya sebegitu tinggi. Jika ada sekali pun hubungan antara kerajaan dan ahli akademik sebelum ini, ia banyak berlaku atas platform individu, persatuan atau universiti.

Bukannya atas tiket sebagai sebuah majlis atau organisasi dengan struktur yang lengkap serta menyeluruh seperti MPN. Justeru agak menarik untuk melihat sejauh mana perkembangan MPN sejak ditubuhkan kira-kira setahun lalu atau lebih tepat pada April 2010. Pada hakikatnya, dalam usia yang setahun jagung, tidak banyak kejayaan atau output yang boleh dikongsi MPN ketika ini. Begitu pun, kata Timbalan Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin perkembangan MPN ketika ini boleh dilihat dari tiga tahap yang penting. Tahap pertama adalah dari sudut menstrukturkan majlis tersebut termasuk meyakinkan seramai lebih 1,700 profesor di seluruh negara bahawa mereka merupakan ahli automatik kepada majlis itu. Sebagai ahli akademik, langkah mempromosikan MPN sepatutnya mudah kerana ahli akademik sepatutnya sudah terbiasa dengan persekitaran pengurusan di universiti.

Namun, rupa-rupanya kata Shamsul Amri, menguruskan kumpulan ahli akademik yang bijak adalah satu tanggungjawab yang sukar. Ini kerana mereka merupakan kumpulan yang bebas pemikirannya serta tidak takut menyampaikan pandangan. Begitu pun inilah sebenarnya yang dituntut dalam persekitaran ilmu yang mana ahli akademik perlu bersedia mempertahankan pandangan dan hasil kajian mereka. Tahap kedua dalam perkembangan MPN ketika ini pula adalah mempromosikannya kepada umum. Ini merupakan satu peringkat yang penting kerana kewujudan MPN perlu disedari tidak hanya oleh sektor awam dan swasta, malah dalam kalangan komuniti. Perlu difahami walaupun tugas MPN adalah menasihat kerajaan, namun ia tidak dibuat dalam konteks kepakaran mereka semata-mata. Sebaliknya, berdasarkan apa yang berlaku di peringkat akar umbi atau khalayak masyarakat umumnya sebelum dipanjangkan kepada kerajaan. Tahap ketiga dan yang paling penting kata Shamsul Amri, ialah untuk membuktikan sejauh mana relevan MPN kepada kerajaan yang telah memberi kepercayaan. Dalam soal ini, kata beliau, antara pendekatan yang diambil MPN adalah dengan membuat penerangan polisi berkaitan isu-isu tertentu.

Inilah juga mengapa MPN dibahagikan kepada 14 kluster iaitu supaya penerangan polisi itu boleh dilakukan dengan lebih spesifik dan khusus. Sebagai contoh, kata beliau, sekiranya kerajaan berdepan dengan masalah berkaitan makanan, maka Kluster Pertanian Makanan akan menjadi rujukan. Kluster ini yang dibarisi oleh pakar dalam bidang itu akan mengenal pasti punca permasalahan, mencadangkan jalan penyelesaian seterusnya memastikan apakah langkah yang terbaik untuk masa depan. Sejak setahun penubuhannya, MPN sudah terlibat dalam soal penerangan polisi ini dalam hampir keseluruhan dasar dan agenda negara seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan banyak lagi. Malah, dalam isu kilang nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang juga beberapa Profesor MPN turut dirujuk oleh kerajaan. Bagi Shamsul Amri, dalam proses penerangan polisi ini, MPN memainkan dua peranan penting iaitu secara 'mengisi dan menilai'. Maksudnya, MPN mengisi polisi kerajaan itu dengan ilmu dan kepakaran mereka secara akademik dan menilai pula pelaksanaannya juga daripada ukuran yang sama.

Pada kita, apa yang dilihat tidak kena dalam pelaksanaan dasar kerajaan itu, maka kita akan menegur. Di sini orang ramai perlu faham bahawa kerajaan tidak sepanjang masa mengharapkan pujian. Tetapi jika mahu mengkritik pula, biarlah ia dibuat dengan beradab dan rasa hormat. Kena gaya serta bahasanya dan bukannya secara tidak bertanggungjawab. Begitu pun, kata Shamsul Amri, ada sesuatu yang lebih penting untuk dilihat daripada kewujudan MPN selepas setahun penubuhannya. Yang dimaksudkan beliau adalah ke mana hala tuju dan harapan masa depan MPN selepas ini? Adakah ia hanya akan menjadi sebagai sebuah persatuan, kesatuan atau benar-benar sebagai sebuah badan yang menghimpunkan ahli pemikir? Bagi beliau, sekiranya kerajaan mahu berterusan mendapatkan pandangan yang berkualiti daripada kalangan pemikir, maka MPN perlu diwujudkan dengan struktur tetap. Dalam erti kata lain, MPN perlu menjadi sebuah lagi entiti elit yang memberi pandangan ikhlas secara menjarakkan diri dengan kerajaan dan proses pemerintahan. Dalam perkembangan lain, bersempena setahun penubuhan MPN juga, satu program yang dikenali sebagai Kongres Profesor Negara akan diadakan selama tiga hari bermula pada 6 hingga 8 Julai ini.

Kongres di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bakal menghimpunkan seramai lebih 1,000 orang Profesor, sekali gus menjadi satu perhimpunan terbesar ahli akademik yang pernah dianjurkan di negara ini. Selain Profesor, kongres itu juga jelas Setiausaha MPN, Prof. Dr. Raduan Che Rose, kongres itu juga dijangka disertai oleh kira-kira 400 penggiat dalam pelbagai sektor korporat. Antara pengisian penting kongres itu yang perlu diberi perhatian adalah ucaptama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Julai yang dijangka menyentuh mengenai transformasi negara. Ucaptama beliau itu kemudiannya akan dirumus oleh Profesor dari Sekolah Perniagaan Harvard, Prof. Dr. Michael E. Porter dengan Datuk Dr. Mahani Zainal Abidin bertindak sebagai moderator. Ucaptama itu dijayakan dengan kerjasama Yayasan Wangsa Perdana. Agenda lain pada Kongres itu adalah Syarahan Perdana oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 Julai. Dr. Mahathir akan mengupas mengenai transformasi negara melangkaui 2020. Ini adalah sesuatu yang sangat istimewa dan penting kerana Dr. Mahathir tidak pernah menyentuh mengenai topik ini sebelum ini.

Ucaptama Najib serta Syarahan Perdana Dr. Mahathir itu juga akan menjadi input kepada sebuah resolusi yang akan diserahkan kepada kerajaan sebagai produk daripada kongres tersebut. Resolusi itu disumbangkan hasil daripada perbincangan tujuh buah kumpulan iaitu kluster-kluster yang digabungkan mengikut kepakaran dan disiplin ilmu masing-masing. Ia akhirnya akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari akhir kongres serentak dengan majlis perasmian penutup program tersebut. Tidak berakhir di situ, MPN kemudiannya akan melihat sejauh mana resolusi itu mampu membantu kerajaan dalam merangka polisi atau dasar kerajaan. Adalah satu kejayaan yang sangat membanggakan, kata Raduan, sekiranya keseluruhan atau sebahagian daripada resolusi itu berjaya dibawa sehingga ke peringkat pelaksanaan. Ini kerana, ia secara tidak langsung telah membuktikan bahawa objektif penubuhan MPN sebagai badan pemikir kepada kerajaan berjaya dicapai. Resolusi itu nanti akan menjadi pandangan yang sangat bernilai kepada kerajaan. Meskipun kerajaan mempunyai kerangka yang tersendiri dalam membentuk polisi atau dasar, namun pandangan ahli akademik yang berjumlah lebih 1,000 orang yang menyumbang kepada resolusi itu sudah semestinya mempunyai pengaruh dan kepentingan yang sangat berguna kepada kerajaan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JULAI 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : MALAYSIA MASUKI FASA KOMERSIAL S&T

Oleh Marhaini Kamaruddin

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menamatkan lawatan kerja selama empat hari ke Washington D.C. dari 27 hingga 30 Jun lalu yang dirumuskannya sebagai satu manifestasi tentang perhatian utama yang diberikan oleh kerajaan Malaysia terhadap bidang sains dan teknologi (S&T). Walaupun tumpuan banyak diberikan kepada kehadirannya ke Konvensyen Antarabangsa BIO 2011, beliau bangga kerana kemajuan dalam hubungan dua hala Amerika Syarikat (AS)-Malaysia dapat dicapai dalam beberapa siri pertemuan yang diatur sepanjang lawatannya kali ini. “Kita bukan saja dapat menekankan pentingnya hubungan dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pertahanan dan keselamatan tetapi mustahaknya hubungan itu dipertingkatkan lagi,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika merumuskan hasil lawatan kerja itu sebelum berlepas pulang ke tanah air. Sidang media itu diadakan selepas acara memperkenalkan Bio-Malaysia 2011 dan Sidang Kemuncak Lingkaran Pasifik Mengenai Bioteknologi dan Biotenaga di Walter E. Convention Centre pada 30 Jun lalu. Kuala Lumpur (KL) akan menjadi tuan rumah bagi kedua-dua acara itu dari 21 hingga 23 November depan.

Menurut Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bioteknologi dan Biodiversiti, selepas meletakkan asas yang kukuh dalam pertumbuhan bioteknologi dari segi pembinaan kapasiti, Malaysia kini memasuki fasa kedua iaitu pengkomersialannya. “Saya diberitahu kita telah berhasil dan bioteknologi telah menyumbangkan 2.2 peratus kepada Keluaran Negara Kasar (GDP). Dalam tempoh lima tahun, kita jangka akan mencapai lima peratus. Ini peratusan yang besar,” katanya. Justeru pemilihan KL untuk mengacarakan sidang kemuncak itu yang juga dikenali sebagai Pac Rim buat pertama kalinya di luar AS, menunjukkan keyakinan anggota Pertubuhan Industri Bioteknologi (BIO) terhadap komitmen dan potensi Malaysia sebagai peneraju industri itu. Ia seiring dengan misi menjadikan negara pangkalan bioteknologi di rantau Asia Tenggara. “Ini satu perkembangan yang positif. Kita akan dapat memperluaskan jaringan kerjasama dengan syarikat AS dan dari negara lain kerana banyak perkara boleh dibincangkan untuk meningkatkan bidang ini di Malaysia,” katanya.

Majlis Perniagaan AS-ASEAN dalam pertemuan dengan Muhyiddin telah menyampaikan rasa puas hati dengan layanan Malaysia terhadap syarikat mereka yang berpangkalan di dalam negara sehinggakan: “Tidak ada satu komplen pun disampaikan.” Selain ahli perniagaan AS itu dan para pegawai kanan pentadbiran AS semasa bersarapan dengan Timbalan Perdana Menteri menunjukkan minat mereka terhadap program transformasi kerajaan (GTP) dan pelan transformasi ekonomi (ETP) yang sedang dilaksanakan Malaysia. “Mereka merasakan program ini boleh memberikan faedah dalam kerjasama Kuala Lumpur-Washington,” kata Muhyiddin. Dalam pertemuan dengan kumpulan pemikir pula, pelbagai pandangan dan pertanyaan dikemukakan tentang dasar luar Malaysia termasuk kerjasama peringkat ASEAN, pendirian Kuala Lumpur dalam soal konflik di Asia Barat, sidang kemuncak Asia Timur, perebutan wilayah di Laut China Selatan, proses demokrasi di Myanmar serta kerjasama ekonomi pelbagai hala seperti rundingan Perkongsian Trans Pasifik (TPP). “Mereka berpuas hati dengan penjelasan saya. Pertemuan seperti ni amat baik kerana mereka sudah mula memahami Malaysia, lebih daripada masa yang lepas.

“Mereka melihat pentingnya Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh memberi sumbangan kepada Amerika dan dalam konteks antarabangsa,” katanya. Namun seperti yang dikatakan oleh Muhyiddin, ini adalah jaringan kerjasama dua hala! Kerjasama tidak membawa makna sekiranya hanya sebelah pihak menuai nikmatnya. Dalam pada negara mengalu-alukan kemasukan syarikat-syarikat asing, Malaysia juga mahu melihat syarikat-syarikat tempatan bertapak kukuh di bumi asing khususnya di AS yang merupakan antara kuasa ekonomi terbesar dunia. Sehingga kini, Malaysia mempunyai lebih 180 syarikat berasaskan bioteknologi dengan lima daripadanya telah disenaraikan di Bursa Malaysia, London dan Australia, walaupun industri itu baru berusia lima tahun. Pasarannya juga bukan untuk Malaysia sahaja sebaliknya 50 peratus pendapatan adalah daripada eksport barangan yang meliputi antaranya produk penjagaan kesihatan dan pertanian. Hubungan akrab Kuala Lumpur-Washington yang dicerminkan daripada pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Barack Obama tahun lalu, diikuti kunjungan Timbalan Perdana Menteri pada April lepas dan kali ini, membuka laluan seluas-luasnya untuk syarikat-syarikat Malaysia melebarkan sayap di sini. Inilah masanya untuk mereka merebut peluang itu tambahan pula, Duta Malaysia ke sini, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis yang mesra dipanggil ‘Ambassador JJ’ mempunyai jaringan hubungan yang baik dengan komuniti perniagaan mahupun pentadbiran AS. “Jika Malaysia boleh memperluaskan bidang bioteknologi halal, ia sudah pasti boleh menguntungkan negara kita,” ujar Muhyiddin.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JULAI 2011

ISU SERANTAU : MENCABUT "DURI" KEBUNTUAN HUBUNGAN

Oleh THOMAS CHONG

Kemelut  hubungan Malaysia dan Singapura berhubung tanah kereta api di Tanjung Pagar berakhir dengan muktamadnya perjanjian pertukaran tanah antara kedua-dua negara. Pemeteraian perjanjian tersebut menyaksikan satu halangan besar dalam hubungan dua hala telah dialihkan. Ia seterusnya membuka jalan kepada kerjasama antara sayap pelaburan dua negara iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Temasek Holdings (Temasek) untuk membangunkan tanah di Johor dan Singapura. Berbanding kebuntuan yang dialami kedua-dua negara semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatnya, Lee Kuan Yew ataupun Goh Chok Tong, perjanjian yang dimuktamadkan baru-baru ini membuktikan Malaysia dan Singapura masih ada ruang untuk meningkatkan hubungan. Malaysia dan Singapura menghormati antara satu sama lain sebagai sebuah negara yang berdaulat, tetapi masing-masing menyedari bahawa kekurangan sesuatu yang intim di sebalik hubungan diplomatik yang normal.

Keadaan ini didorong oleh pelbagai isu yang masih membelenggu hubungan dua hala kedua-dua negara di mana legasi sejarah terus menjadi batu halangan kepada hubungan yang mesra. Tidak dinafikan bahawa kemunculan dua pemimpin baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong telah meniup nafas baru dalam hubungan Malaysia dengan Singapura. Seperti Presiden Suharto yang menghidupkan semula hubungan Malaysia-Indonesia pada akhir 1960-an, kemunculan Najib dan Hsien Loong turut mewujudkan satu suasana baru kepada hubungan Malaysia-Singapura. Ramai lagi masih mengingati Najib dan Hsien Loong hadir kenduri durian di Pulau Sentosa semasa lawatan ke Singapura pada tahun lalu. Durian mungkin merupakan buah yang paling sesuai untuk menggambarkan hubungan Malaysia-Singapura. Ini kerana hubungan dua negara ini sejak 1965 sememangnya penuh dengan duri.

Jika hubungan Malaysia-Singapura diibaratkan sebagai duri dalam daging, maka Najib dan Hsien Loong berjaya mencabut salah satu duri apabila isu berkenaan tanah kereta api di Tanjung Pagar berjaya diselesaikan. Sebelum itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) cuba mencabut duri berkenaan rebutan Pulau Batu Puteh. Namun duri itu belum tercabut sepenuhnya memandangkan pelbagai isu teknikal masih belum diselesaikan sepenuhnya oleh Malaysia dan Singapura. Ditambah lagi dengan duri-duri lain berhubung pembinaan jambatan, penggunaan ruang udara dan isu-isu rumit yang lain. Hubungan kedua-dua negara memang penuh dengan cabaran. Malaysia dan Singapura sebenarnya mempunyai asas hubungan ekonomi dan sosial yang agak baik di mana rakyat kedua-dua negara saling melawat antara satu sama lain pada hujung minggu. Interaksi rakyat juga dijangka terus meningkat dengan terbinanya sistem transit pantas (RTS) pada 2018 yang merentasi Selat Johor yang memisahkan kedua-dua negara.    

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JULAI 2011                                                                                            

ISU PENDIDIKAN : SINDROM "BONCENGAN GRATIS" DALAM DUNIA AKADEMIK

Oleh PROF. DR. MUHAMMAD SYUKRI SALLEH

Pada 6 hingga 8 Julai ini, Majlis Profesor Negara buat pertama kalinya akan mengadakan Kongres bagi membincangkan kaedah mentransformasikan negara. Jika kesemua profesor di Malaysia hadir, jumlahnya adalah sekitar 1,600 orang. Sebagai intelegensia akademia yang pastinya mempunyai pemikiran yang besar-besar dalam bidang masing-masing, profesor-profesor tersebut dijangka akan membincangkan isu-isu menarik dengan analisis mendalam. Kalaulah di celah-celah pemikiran besar dan analisis yang mendalam itu dapat diselitkan perbincangan tentang masalah dalaman dunia akademik mereka sendiri dan kemudiannya sampai kepada cara penyelesaiannya, tentulah ia lebih bermakna lagi. Salah satu masalah yang jelas semakin berleluasa dalam dunia akademik di Malaysia sekarang tetapi tidak begitu menarik perhatian sebahagian besar orang akademik ialah masalah yang saya panggil boncengan gratis (free-riderism). Boncengan di sini bermaksud menumpang, manakala gratis bermaksud percuma.

Boncengan gratis oleh itu bermaksud menumpang dengan percuma. Secara lebih khusus, ia bermaksud menumpangkan nama dalam sesuatu hasil kerja akademik, terutamanya dalam penyelidikan dan penerbitan tanpa 'membayarnya' dengan apa-apa sumbangan yang sewajarnya. Misalnya seseorang akademik meletakkan namanya dalam satu hasil dokumentasi penyelidikan, atau dalam satu penulisan, atau dalam satu penerbitan, walau pun sebenarnya beliau tidak menyumbang apa-apa. Kalau pun mereka dikatakan menyumbang, sumbangannya itu hanyalah dalam bentuk routine performance, umpamanya dengan hanya sedikit sebanyak mengumpul data, atau hanya dengan memberi idea, atau hanya dengan menyunting, atau hanya dengan menguruskan pentadbiran, atau hanya dengan menguruskan hal-ehwal yang tidak melibatkan penulisan. Ringkasnya, mereka hanya menyumbang secara pasif dalam bentuk yang sememangnya telah menjadi tugas asas mereka, tetapi mereka tidak menyumbang dalam bentuk penulisan dokumentasi atau penerbitan tersebut.

Sumbangan sedemikian tidak cukup untuk melayakkan seseorang akademik meletakkan namanya dalam sesebuah hasil dokumentasi atau penerbitan akademik. Konvension kepengarangan menetapkan sekurang-kurangnya tujuh syarat bagi melayakkan seseorang itu meletakkan namanya dalam hasil dokumentasi atau penerbitan akademik tersebut. Pertama, kesemua mereka perlu terlibat secara aktif dalam menjana keaslian idea penulisan tersebut. Kedua, mereka perlu terlibat secara aktif dalam membina reka bentuk dan penulisannya. Ketiga, mereka perlu bertanggungjawab dalam pengamatan dan pengumpulan data. Keempat, mereka perlu memainkan peranan kepimpinan mengikut kapasiti masing-masing dalam pelaksanaan kajian yang dijadikan asas penulisan tersebut. Kelima, mereka perlu terlibat sepenuhnya dalam proses menulis dengan bukan sahaja menulis draf manuskrip tetapi juga mengulang kaji dan menyemak manuskrip tersebut. Keenam, mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas manuskrip akhir. Dan ketujuh, mereka perlu mampu mempertahankan penerbitan tersebut mengikut disiplin profesional masing-masing. Ketujuh-tujuh syarat ini walau bagaimanapun tidak semua dipenuhi oleh kesemua ahli akademik masa kini. Cuba lihat contoh-contoh yang benar-benar terjadi.

Pertama, seorang pelajar PhD mengadu kepada saya bahawa penyelia bersamanya tiba-tiba meminta beliau memasukkan nama penyelia bersama tersebut dalam kertas kerja yang akan dibentangkannya di satu persidangan di Langkawi. Pelajar tersebut terkejut besar kerana penyelia bersama itu sedikit pun tidak mengetahui sebelumnya tentang kertas kerja tersebut, apatah lagi menyumbang apa-apa, sedangkan penyelia utamanya walau pun banyak memberi idea dan membimbingnya, tidak pernah pula meminta beliau melakukan demikian. Apabila hal ini disuarakan, penyelia bersama itu memberi jawapan yang sangat mudah. Katanya, penyelia utamanya sudah menjadi profesor, sedangkan beliau sedang berusaha mengumpul poin untuk memohon jawatan profesor. Kedua, seorang yang berhasrat menjadi profesor menceritakan kepada saya bahawa beliau sedang merancang untuk memohon jawatan profesor apabila pelajar-pelajar siswazahnya menghasilkan beberapa penulisan lagi. Dengan gembira beliau menyatakan bahawa terdapat pelajarnya yang berkebolehan dan prolifik dalam penulisan. Dalam jangka masa terdekat, beliau yakin beliau sudah cukup bahan tulisannya untuk memohon jawatan profesor tersebut. Saya kehairanan kenapa pelajarnya yang berkebolehan dan prolifik, tetapi tanpa segan silu beliau pula yang merasakan layak memohon jawatan profesor.

Jawapannya senang. Dalam penulisan pelajar-pelajarnya itu, beliau akan menaruhkan namanya sekali dan mendapat kredit sewajarnya. Ketiga, seorang teman mengadu kepada saya bahawa kawannya yang sama-sama membuat penyelidikan dan kemudian sama-sama menulis sebuah artikel akademik, tiba-tiba meletakkan nama suaminya sebagai salah seorang daripada penulis artikel tersebut. Bila ditanya kenapa, kawan itu berterus terang mengatakan untuk menolong suaminya agar sama-sama mengumpul kelayakan untuk kenaikan pangkat. Teman saya itu akhirnya memberi dua pilihan, sama ada tidak memasukkan nama suaminya, atau memasukkan nama suaminya tetapi membuang namanya. Saya kurang pasti pilihan mana yang dipilih. Yang jelas kemudiannya, hubungan peribadi antara mereka sudah terjejas. Keempat, seorang pensyarah muda yang baru menyelesaikan PhD bertanya kepada saya dalam satu bengkel penulisan, apakah betul bahawa hak cipta tesisnya adalah hak cipta penyelianya. Pensyarah muda tersebut menceritakan bahawa penyelianyalah yang mengatakan demikian. Penyelia tersebut memberi peringatan agar mendapatkan kebenarannya terlebih dahulu apabila mahu menulis berkaitan tesis tersebut . Kemudian, dalam apa jua penulisan yang dihasilkan pensyarah muda ini, nama penyelia tersebut mestilah dicatatkan.

Kelima, para pensyarah sebuah universiti yang agak baru, dalam satu wacana penulisan menyifatkan saya sebagai mempunyai pendirian yang berbeza kerana tidak bersetuju dengan boncengan gratis, sedangkan ramai ahli akademik yang datang ke universiti tersebut menasihatkan mereka menggunakan bahan dan penulisan pelajar sebaik mungkin untuk meletakkan nama mereka bersama. Mereka cukup gusar dengan pendirian saya, sehingga memohon pendapat sama ada berdosa atau tidak jika melakukan sebagaimana saranan ahli-ahli akademik lain itu. Salah seorang daripada mereka cukup sayang dan terhutang budi kepada bekas penyelia PhDnya, hingga beliau merasakan dalam apa jua tulisannya, beliau harus meletakkan nama penyelianya bersama, walau pun tidak semestinya diketahui oleh penyelia tersebut. Keenam, pernah dalam satu persidangan antarabangsa yang kami anjurkan tahun lepas, seorang pensyarah agak gelabah kerana teman-temannya tidak datang sedangkan nama mereka tercatat sebagai ahli kumpulan yang menulis kertas kerja bersamanya. Kumpulan dengan ahli-ahlinya yang sama ini telah cuba membentangkan tiga kertas kerja, dengan hanya menukarkan nama penulis pertama sahaja.

Pensyarah tersebut gelabah kerana beliau hanya mengetahui tentang kertas kerja yang beliau menjadi penulis pertama sahaja, sedangkan kertas kerja kedua dan ketiga tidak begitu diketahuinya walau pun namanya diletakkan sebagai penulis dalam kedua-dua kertas kerja tersebut. Puncanya kerana yang benar-benar menulis kertas kerja tersebut ialah penulis pertamanya sahaja, sedangkan ahli-ahli yang lain hanyalah menumpangkan namanya, hanya kerana mereka adalah ahli-ahli kumpulan penyelidikan yang sama. Contoh-contoh boncengan gratis ini merupakan refleksi akan betapa sudah mula tidak beretikanya sesetengah orang akademik di Malaysia sekarang. Masalah etika sedemikian juga berlaku dalam persidangan-persidangan. Misalnya, dalam satu persidangan di Australia beberapa tahun yang lepas, ada seorang pensyarah Malaysia yang membentangkan kertaskerja pada hari pertama, manakala penulis bersamanya belum tiba lagi dari Malaysia. Namun begitu, walaupun penulis bersama ini tiba keesokannya, beliau tidak hadir ke persidangan tersebut.

Sepanjang persidangan itu berlangsung hingga ke hari akhirnya, beliau sememangnya tidak hadir langsung. Saya mendapat tahu dari teman-temannya bahawa ketika Persidangan berehat selama satu hari, beliau bersama teman-temannya berjalan-jalan melihat Australia. Beginilah antara senario integriti sesetengah orang akademik di Malaysia sekarang. Sebahagiannya tidak mustahil telah pun menjadi profesor. Bolehkah mereka mentransformasikan negara?

Penulis ialah Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 JULAI 2011