JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Mei 2011

ISU ANTARABANGSA : WASATIYYAH SELAMATKAN DUNIA

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim)


Najib Tun Razak ketika memberi syarahan bertajuk Coalition of Moderates and Inter-Civilisational Understanding di Sheldonian Theatre Universiti Oxford pada 19 Mei 2011. Persekitaran alur perbezaan pandangan terhadap perkara-perkara yang membawa kepada amalan dan budaya turut melahirkan kelompok yang pelbagai. Ada kelompok yang dilihat sebagai fundamentalis apabila tidak membenarkan sebarang percubaan mengubah suai ajaran dalam konteks yang lebih moden, mereka tetap mahu mempertahankannya. Kelompok lain yang bertentangan pula akan melihatnya sebagai sesuatu yang bersifat ortodoks, maka mereka perlu lakukan pentafsiran semula maksudnya agar lebih sesuai dengan keperluan semasa. Di antara dua kelompok berbeza ini, hadir sekumpulan yang cuba berada di persimpangan antara kontinum pemikiran dan mereka ini dikenali sebagai golongan sederhana.

Mereka yang memegang kuat kepada prinsip kesederhanaan ini yakin, keselesaan hidup dan ketenteraman hati akan muncul apabila tiadanya konflik di mana antara penganut intraagama dan antara agama tidak mengamalkan sikap buruk sangka. Atas dasar itu jugalah telah memberikan perspektif yang jernih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan gagasan kesederhanaan kepada masyarakat antarabangsa. Pada tahun lalu, beliau memperkenalkan kepada kelompok elit kuasa di Eropah dan Amerika Syarikat sehingga diberikan kepercayaan oleh masyarakat global untuk dikembangkan secara meluas. Tiga hari lalu, semasa menyampaikan syarahan di hadapan 600 orang ahli akademik, politik dan pemikir di Pusat Kajian Agama di Universiti Oxford mengingatkan sekali lagi betapa pentingnya sikap sederhana dalam menyelesaikan masalah dunia.

Dengan melatari pengalaman sejarah, Perdana Menteri memberikan beberapa pandangan mengenai sikap kesederhanaan yang pernah dilakarkan oleh Nabi Muhammad SAW, Mahatma Ghandi, Nelson Mandela dan Martin Luther King. Nabi Muhammad SAW telah berjaya menunjukkan teladan terbaik dan kesederhanaan baginda turut menjadi inspirasi kepada Ghandi. Prinsip kesederhanaan Ghandi mempengaruhi pula peribadi Mandela. Dan, tokoh-tokoh tersebut sehingga kini terus menjadi objek kajian bagaimana prinsip kesederhanaan berupaya melahirkan idealisme perjuangan yang agung dan besar. Teladan Nabi Muhammad SAW yang diancam oleh kaum Quraisy pada peringkat awal dakwahnya telah menjadikan baginda semakin kental dan mengambil langkah berhijrah ke Madinah. Penghijrahan tersebut menjadi titik kemenangan yang besar kepada Islam, bukan sahaja menambahkan bilangan penganut tetapi berjaya membentuk struktur masyarakat madani yang terangkum di dalamnya kepelbagaian kaum, keturunan dan kepercayaan agama.

Mereka hidup dengan aman dan saling memerlukan. Golongan minoriti tidak merasakan dirinya ditekan oleh majoriti, kehidupan mereka tidak mengalami ancaman dan terus diberikan kebebasan mengekalkan agama dan kepercayaan masing-masing. Kelainan ini membuktikan bahawa Islam tidak "memaksa orang lain menukarkan agama yang dipegang oleh seseorang" tetapi antara pelbagai penganut saling hormat menghormati. Tidak timbul rasa cemburu kelompok minoriti ke atas majoriti manakala majoriti tidak pula mengkhianati minoriti. Perubahan sikap telah menebalkan semangat permusuhan apabila lingkungan agama tercabar dengan pandangan anti-establishment yang hadir dalam bentuk sekularisme, liberalisme, globalisasi yang ikut menghadirkan keinginan membentuk hegemoni. Keinginan untuk menguasai telah menjadikan kumpulan pelampau agama semakin bersemangat melancarkan serangan dalam bentuk fizikal ataupun psikologi.

Serangan dalam bentuk fizikal ialah campur tangan di negara-negara tertentu manakala yang sedia berpihak kepadanya dibiarkan melakukan tindakan kekejaman secara meluas. Serangan dalam bentuk psikologi dilancarkan dengan menggunakan peralatan moden, antaranya media dengan menguasai dan menapis jenis-jenis maklumat. Maklumat yang menggambarkan keburukan tingkah laku segelintir penganut agama yang diandaikan sebagai musuh diperbesar-besarkan dalam konteks falsafah agama. Ia tidak dilihat dalam konteks sebenar, bahawa setiap agama mempunyai kumpulan ekstremis sedangkan prinsip sebenar agama-agama ialah menyemai budaya berbudi pekerti dan menjamin ketertiban individu sebagai lambang kehidupan bermasyarakat, bernegara dan berhubung antara satu sama lain. Secara literalnya, kesederhanaan itu dikaitkan dengan perlakuan tidak melampau, terlalu mendesak atau menekan dan tegar dengan pendirian peribadi.

Berdasarkan konsep itu, secara jelasnya wasatiyyah menolak sikap melampau tetapi bukan dalam konteks penerokaan ilmu, mencari rezeki dan beribadat. Dalam konteks penerokaan ilmu, Islam mengharapkan setiap penganutnya tidak berhenti belajar dan menggunakan akal fikiran untuk membentuk pengetahuan dan penemuan baru. Budaya menyelidik dan memerhati menjadi sesuatu yang teramat besar keperluannya, kerana dengan ilmu Islam dibangunkan, dari situasi jahiliyah kepada pemodenan. Bagi Perdana Menteri, konsep kesederhanaan akan membolehkan kita membangunkan masa depan yang lebih tenteram, aman dan adil. Untuk menzahirkan cita-cita itu, Malaysia telah meletakkan gagasan 1Malaysia sebagai acuan penyatuan antara kaum tanpa melihat perbezaan etnik, agama dan kepercayaan sebagai faktor permusuhan dan konflik. Dengan mempromosikan prinsip wasatiyyah, maka unsur-unsur fanatisme dan fundamentalis dalam beragama tidak dilihat dalam konteks negatif.

Keyakinan yang amat (fanatisme) adalah atas kedudukan Allah SWT sebagai penguasa seluruh kehidupan manakala fundamentalis ialah kembali kepada kejernihan sumber dan ajaran Islam. Konsep-konsep yang diperkenalkan dalam tradisi pemikiran rasional Barat melebarkan perbezaan dan membangkitkan kebencian terhadap Islam. Inilah yang harus diperbetulkan dan ia dapat dilaksanakan secara berkesan melalui aplikasi prinsip kesederhanaan. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 77 yang bermaksud: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah di kurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia". Pendekatan kesederhanaan membolehkan kita melihat sesuatu dalam konteks yang lebih luas dan objektif. Keluasan perspektif itu akan memberikan kita sumber dan semangat yang kuat untuk membangunkan peradaban di mana ketertiban perilaku mengawal keserakahan nafsu. Dari situlah peradaban yang bakal muncul akan menjadi lebih tenteram, mapan dan mampu kekal berpanjangan.

UTUSAN MALAYSIA
20 MEI 2011

ISU GURU : MASIH RAMAI GURU TIDAK SEDAR MANFAAT KOPERASI


Masih ramai di kalangan guru tidak menyertai koperasi dan sesetengahnya berpendapat, menganggotai koperasi adalah semata-mata bagi mendapat pinjaman untuk membeli barang keperluan rumah.  Keadaan itu menyebabkan Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat Berhad (KGMMB) hanya dianggotai 16,000 ahli di seluruh negara, sedangkan jumlah guru jauh lebih ramai. Sebab itulah, KGMMB mengharapkan lebih ramai guru terutama tenaga pengajar baru menyertai koperasi yang pastinya menawarkan pelbagai kemudahan antaranya bantuan kewangan. Kesedaran awal penting kerana selain menjaga kebajikan anggota, guru perlu didedahkan mengenai kepentingan sikap menabung terutama bagi mereka yang baru memulakan tugas. Guru baru kurang tanggungjawab dan ramai di kalangan mereka masih belum mendirikan rumah tangga dan sewajarnya jika wang lebihan dapat dikumpul, bolehlah disimpan menerusi skim tabungan di koperasi.

Menyedari pentingnya usaha menerapkan semangat menabung di kalangan guru, Pengerusi KGMMB, Dr Raheem Mohd Yusof, berkata kebanyakan guru muda kurang sedar mengenai kepentingan menganggotai koperasi.  “Setakat ini, ada 78 koperasi guru di seluruh negara. Kami sasarkan menarik lebih 4,000 ahli baru. Bagi menjayakan usaha ini, KGMMB lebih agresif mengadakan promosi menarik lebih ramai di kalangan mereka menganggotai koperasi,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Raheem berkata, pihaknya menggalakkan ahli meneruskan keanggotaan masing-masing walaupun selepas menamatkan perkhidmatan kerana masing-masing akan menikmati segala kemudahan serta pelbagai manfaat sepanjang hayat. Beliau berkata, jika ahli meninggal dunia sekali pun, koperasi akan menyerahkan manfaat berkenaan kepada waris.

Tahun lalu, KGMMB menyerahkan sejumlah RM770,000 kepada keluarga 67 anggota koperasi yang sudah meninggal dunia. Dalam perkembangan lain, Raheem berkata, selain faedah untuk guru, pihaknya turut menghulurkan bantuan untuk dimanfaatkan pelbagai pihak antaranya sumbangan berjumlah RM50,000 untuk membina surau di sebuah sekolah di Terengganu.  Beliau berkata, pihaknya juga menyumbang sejumlah RM50,000 menerusi Tabung Program Destini Anak Bangsa anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM). “Kami melihat pemberian ini dapat dimanfaatkan mereka yang begitu memerlukan dalam meneruskan perjuangan di institusi pengajian tinggi,” katanya. Dalam usaha meningkatkan dana sedia ada pula, Raheem berkata pihaknya mempelbagaikan aktiviti yang dapat menjana ekonomi untuk diagihkan kepada anggota koperasi.  “Antara usaha itu ialah membangunkan projek hartanah di Teluk Intan, Perak yang dilihat sebagai aktiviti paling berdaya saing.

Perolehan daripadanya akan diagihkan kepada ahli melalui pemberian dividen tahunan,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, banyak strategi penambahbaikan dibincangkan sempena mesyuarat agung tahunannya semalam. Strategi itu termasuk penjenamaan semula KGMMB bagi memenuhi kehendak pelanggan terutama di kalangan guru baru. Mengulas projek usaha sama Anugerah Pengajaran dan Pembelajaran (PNP) bersama Berita Harian yang dijadual September ini, Raheem berkata, diharapkan aktiviti ini menjadi pemangkin dalam usaha menarik lebih ramai guru menyertai koperasi.  Beliau berkata, anugerah yang bertujuan antara lain mengiktiraf kreativiti dan inisiatif guru menggunakan akhbar sebagai alat bantuan mengajar dengan menjadikan maklumat dan pengetahuan di dalamnya meningkatkan pengetahuan am pelajar. “Akhbar menawarkan sumber maklumat terkini.

Kebijaksanaan guru menggunakan sumber ini membolehkan mereka menjadikan proses mengajar lebih menyeronokkan selain membantu meningkatkan semangat membaca di kalangan generasi muda. “Penggunaan akhbar dalam bilik darjah sudah dilaksanakan sejak sekian lama. Usaha ini perlu dipertingkatkan supaya guru dapat keluar daripada proses mengajar secara konvensional dengan menjadikan akhbar sebagai saluran menyebarkan ilmu,” katanya.

BERITA HARIAN, 21 MEI 2011

ISU ALAM SEKITAR : PANTAI DI SABAH DAN SARAWAK LESAP PADA TAHUN 2100


Aras laut sepanjang pantai Sabah dan Sarawak dijangka mengalami kenaikan purata antara 0.43 meter (m) dan 1.06m pada 2100, dengan beberapa kawasan sepanjang garis pantai Sarawak akan ditenggelami air laut menjelang tempoh itu.  Berdasarkan kajian, kenaikan aras laut maksimum berlaku di bahagian utara dan timur pesisir pantai Sabah, manakala banjir dijangka di kawasan rendah serta muara sungai di barat daya Sarawak meliputi Meradong yang terletak antara Batang Igan dan Batang Rajang. Kawasan berisiko dinaiki air di Sabah pula ialah yang bertopografi rendah dan muara sungai meliputi Tawau, Semporna, Lahad Datu, Sandakan serta Kudat. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam kenyataan, semalam berkata kajian mendapati corak kenaikan aras laut sejak lima tahun lalu menunjukkan peningkatan signifikan berbanding trend bagi tempoh 20 tahun terdahulu. Kadar kenaikan aras laut purata di sepanjang garis pantai Malaysia yang dikira daripada data satelit altimeter (1993-2010) ialah 2.73 hingga 7.00 milimeter (mm) setahun.

Unjuran kenaikan aras laut di Semenanjung antara 0.25m dan 0.52m menjelang 2100. Beberapa banjir kecil dijangka berlaku di sepanjang kawasan pantai Semenanjung menjelang 2100 dengan kenaikan aras laut maksimum berlaku di barat laut dan timur laut Semenanjung iaitu Kedah dan Kelantan. Pakar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), sebelum ini mendakwa menemui kemungkinan beberapa bandar di kawasan rendah terutama berhampiran pantai, ditenggelami air laut dalam tempoh sembilan tahun akan datang berikutan fenomena aras air laut yang semakin meningkat akibat pemanasan global. Akhbar ini kelmarin memetik Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Samad, sebagai berkata hasil analisis data paras air laut yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak 2004 sehingga awal tahun ini mendapati paras air laut negara meningkat secara purata 10 sentimeter (sm) setiap tahun.

Menurut kenyataan itu, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) iaitu agensi penyelidikan di bawah kementerian, pada dasarnya bersetuju kesan pemanasan global akan menyebabkan fenomena peningkatan paras air laut di pesisiran pantai Malaysia.  Selain itu, NAHRIM tidak menolak pendapat profesional dan pakar universiti mengenai fenomena berkenaan, namun ketepatan unjuran yang dibuat dipengaruhi banyak faktor seperti ketepatan data digunakan, tempoh data serta kaedah analisis.  NAHRIM sudah menjalankan kajian menggunakan kaedah analisis statistik data pasang surut untuk menentukan aras 95 peratus daripada data pasang surut yang direkodkan selama 25 tahun (1984-2010), di sebanyak 20 stesen pasang surut Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta data satelit altimeter selama 17 tahun (1993-2010) di sebanyak 30 stesen, semuanya di sepanjang pesisiran pantai Malaysia.

“Keputusan analisis mendapati corak graf kenaikan aras laut di Malaysia menggunakan data satelit altimeter lebih tinggi berbanding data tolok pasang surut” katanya.  “Ada banyak ketidakpastian terhadap data tolok pasang surut seperti kehilangan data dan kesilapan alat pengukur, berbanding data satelit altimeter yang boleh dibuat pembetulan menggunakan pelbagai kaedah yang sudah diperakui. “Justeru, kajian memutuskan untuk menggunakan data daripada satelit altimeter sebagai unjuran simulasi `Atmospheric-Oceanic coupled Global Climate Models’ menjelang abad ke-21 bagi kawasan pesisir pantai Malaysia,” katanya.  Dalam konteks itu, berdasarkan kajian, kenaikan paras air laut di Malaysia menunjukkan purata peningkatan aras air laut bagi tahun 2000 hingga 2050 ialah 0.25m iaitu 5mm setahun. Kajian JPS itu selaras dengan kenyataan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim, iaitu aras air laut naik sebanyak 28sm hingga 43sm menjelang akhir abad ini.

Justeru, katanya, kenyataan pihak UTHM bahawa `kenaikan aras laut 10sm setahun kurang tepat, malah JPS tidak melaksanakan kerja merekodkan paras air laut seperti didakwa universiti itu. “Jadual pasang surut disediakan JUPEM dan diterbitkan setiap tahun. Pihak UTHM juga tidak pernah menghubungi dan memaklumkan JPS dalam menjalankan kajian kenaikan aras air laut itu. namun, JPS komited memantau rapi dan berterusan kenaikan paras air laut akibat pemanasan global serta mengkaji keupayaan infrastruktur di negara ini untuk menangani kesan fenomena itu,” katanya.

BERITA HARIAN, 20 MEI 2011

ISU KENEGARAAN : USAHA MENCARIK IDENTITI KEBANGSAAN

Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org
BERITA HARIAN 19 MEI 2011


Rakyat seharusnya memandang berat nasihat Felo Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tuanku Raja Zarith Sofiah minggu lalu bagaimana sesetengah orang menyalahgunakan media sosial dan internet untuk meluahkan kemarahan mereka kononnya keadilan tidak wujud di negara ini. Baginda menyatakan tuduhan demikian adalah jauh tersimpang daripada kebenaran hingga boleh menimbulkan konflik yang tidak diasaskan kepada fakta sebenar. Pandangannya itu diberikan ketika menyampaikan Syarahan Diraja selepas menerima Watikah Pelantikan sebagai Felo Diraja UKM daripada Naib Canselor, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin seperti dilaporkan oleh Portal Berita UKM pada 11 Mei lalu. Raja Zarith berkata, apa yang amat diperlukan ialah mengadakan interaksi timbal balik untuk memupuk persefahaman agar tidak akan berlaku salah faham yang boleh mencetuskan kebimbangan dan persengketaan.

Sememangnya akhir-akhir ini terlalu banyak tulisan melampau mendapat tempat khususnya dalam pelbagai blog ekstrem serta portal berita. Ada di antara pihak terbabit dengan begitu angkuhnya mempertahankan kedudukan mereka sebagai rakyat di negara ini, tetapi tidak menghormati kehendak kebangsaan seperti penggunaan bahasa rasmi negara dan sebagainya. Malah mereka berhasrat untuk menghakiskan ciri kebangsaan yang sudah lama diterima rakyat di negara ini seperti budaya kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi negara dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Mereka seolah-olah tidak senang selagi ciri sukuan dan budaya pinggiran tidak diterima sebagai sebahagian daripada ciri kebangsaan. Bagi mereka slogan 1Malaysia disamakan dengan konsep kepelbagaian dan mahukan semua bahasa, agama dan budaya diterima sebagai sebahagian daripada ciri kebangsaan sehingga mengabaikan kedudukan kebangsaan yang sudah pun diterima dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ada di kalangan mereka, termasuk sebilangan pemaju perumahan, kopitiam dan beberapa pertubuhan sukuan lain dengan sengaja tidak mahu menggunakan bahasa kebangsaan, tetapi terus menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin dalam menu dan risalah serta iklan mereka. Pihak berkuasa tempatan juga tidak prihatin, malah tidak mengambil kisah langsung terhadap sikap sedemikian, dengan itu memberi gambaran mereka merestui apa yang dilakukan golongan berkenaan. Jadi hairankah kita kenapa sehingga 26 peratus daripada rakyat negara ini boleh diandaikan tidak langsung faham bahasa kebangsaan? Angka ini adalah berdasarkan unjuran kaji selidik yang dilakukan sebuah portal berita di kalangan 107 rakyat negara ini di Sepang yang mana wujud rakyat berbilang bangsa dan di Jinjang Utara yang mana ada ramai masyarakat bukan Melayu. 

Malah ada antara mereka yang mengambil bahagian dan memahami bahasa Melayu berpendapat mereka tidak menganggap bahawa kemampuan berbahasa Melayu adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan mereka. Jelas mereka tidak faham bahawa sebagai rakyat negara ini, mereka juga perlu bangga dengan bahasa negara mereka sendiri seperti mana orang Perancis memahami bahasa Perancis atau sikap orang Thai terhadap bahasanya.  Kaji selidik berkenaan juga turut menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada rakyat negara ini bergaul sesama mereka saja tanpa perlu bergaul dengan bangsa lain. Apa yang boleh disimpulkan orang Melayu begitu terbuka dan liberal hingga boleh menerima kewujudan berbagai-bagai bahasa dan budaya di negara ini tanpa memaksa mereka menganuti kehendak kebangsaan untuk mewujudkan ‘melting pot’ seperti mana di Amerika Syarikat.  

Walaupun cogan kata kita ‘Bersatu Teguh Bercerai Roboh,’ kita tidak pula memaksa kewujudan satu aliran persekolahan, satu budaya, satu agama dan sebagainya. Kita menghormati bahasa dan budaya sukuan, tetapi pihak minoriti tidak pula seharusnya mendesak agar bahasa dan budaya sukuan mereka diterima sebagai bahasa dan budaya kebangsaan.  Malangnya, ada usaha puak tertentu yang cuba menghakis kehendak kebangsaan ini. Bagi mereka ini tidak wujud keadilan kiranya kehendak sukuan demikian tidak dimaktubkan sebagai ciri kebangsaan.  Mereka seolah-olah tidak senang dengan kedudukan kebangsaan yang sudah pun diterima pakai sejak sekian lama di negara ini. Maka rakyat yang cintakan perpaduan tidak harus mudah menerima usaha yang boleh memecah-belahkan rakyat ini.

Penulis ialah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

ISU PENGGUNA : PENGGUNA KITA TIDAK TAHU HARGAI TENAGA ELEKTRIK


Pembaziran tenaga elektrik yang ketara di kalangan masyarakat Malaysia ketika ini boleh dibendung sekiranya pengguna lebih menghargai tenaga elektrik dan menerima hakikat subsidi elektrik sedang dikurangkan secara berperingkat. Pengerusi Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia (CETDEM), Gurmit Singh, berkata kebanyakan pengguna selesa dengan kadar elektrik yang begitu murah di negara ini sehingga menyebabkan mereka berpendapat penggunaan elektrik adalah satu kemudahan dan bukan keperluan. "Contohnya, anda berasa mudah memasak air menggunakan elektrik tetapi tahukah anda kos bagi memasak air dengan cara ini adalah sekali ganda mahalnya berbanding memasak air menggunakan dapur gas," katanya ketika ditanya usaha membudayakan penjimatan dalam penggunaan tenaga elektrik. Merujuk kepada kajian kecekapan tenaga yang dikendalikan CETDEM pada 2006, Gurmit berkata penggunaan gas di kalangan pengguna masih rendah.

Kajian itu mendapati bahan api adalah penggunaan tenaga terbesar isi rumah iaitu 75 peratus, diikuti elektrik (20 peratus) dan gas hanya pada 5.0 peratus.  Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman mengakui pembaziran sedang berlaku dan langkah penjimatan elektrik harus membabitkan semua pihak, tidak hanya diserahkan kepada pengguna domestik semata-mata. Katanya, pihak berkuasa tempatan harus mengadakan program menggalakkan orang ramai menanam pokok bagi mengurangkan kepanasan, sekali gus mengurangkan penggunaan pendingin hawa dan kipas. Pemaju perumahan juga boleh memainkan peranan dengan menitikberatkan reka bentuk rumah yang ‘menyejukkan’ seperti siling yang tinggi selain mengambil kira penggunaan bahan binaan yang tidak ‘memanaskan’ dan penyediaan kemudahan penggunaan tenaga solar.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N Marimuthu, berkata sejak Jun 2008 persatuan itu sudah menjalankan kempen penjimatan elektrik yang menjadi satu daripada komponen penting dalam Kempen Konsumer Kebangsaan (KKK).  "Perubahan kecil dalam rumah kita boleh menukar masa depan dunia. Penjimatan elektrik bukan saja menjanjikan bil elektrik yang rendah tetapi penggunaan sumber itu dengan cekap. Kecekapan tenaga adalah cara yang paling mudah untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di rumah kita,” katanya.  Gurmit menggesa agar rakyat Malaysia membudayakan penggunaan tenaga elektrik sebagai keperluan bukan sebagai kemudahan. Malah beliau tidak membantah sekiranya kerajaan menghapuskan subsidi tenaga sama sekali bagi bagi meningkatkan kesedaran rakyat agar lebih menghargai tenaga elektrik yang digunakan.  

Antara subsidi berkaitan ialah harga gas kepada sektor elektrik yang berada jauh di bawah harga pasaran. Terdapat 7.2 juta pelanggan Tenaga Nasional Bhd (TNB) ketika ini dengan 3.3 juta atau 55.6 peratus adalah pelanggan domestik yang menggunakan elektrik kurang daripada 200 kilowatt (kWh) sebulan atau kira-kira RM40. Daripada kumpulan ini, kira-kira 1.1 juta pelanggan domestik menggunakan elektrik kurang daripada 100 kilowatt (kWh) sebulan. Kumpulan ini menikmati kira-kira RM12 juta subsidi elektrik setiap bulan bagi bil bulanan mereka yang tidak melebihi RM20. "Kebanyakan kita hanya tahu bekalan elektrik sampai ke rumah tanpa menyedari kerajaan membayar sebahagiannya dan itu tidak termasuk kos penjanaan tenaga elektrik itu sendiri yang amat mahal kerana berasaskan komoditi yang harganya terdedah di pasaran terbuka seperti minyak, gas, dan arang batu,” katanya. Untuk tahun ini saja kerajaan dijangka menambah RM4 bilion lagi untuk subsidi minyak sekiranya harga pasaran minyak mentah global kekal tinggi melepasi paras A$100 (RM302) setong.

"Anda perlu menyedarinya dari sekarang dan harus menerima hakikat subsidi sedang dikurangkan dari semasa ke semasa. Lakukan sesuatu untuk lebih menghargai tenaga elektrik supaya bila tiba waktu itu nanti anda tidak akan berasa terjejas. “Janganlah apabila anda terpaksa membayar pada harga pasaran, ketika itu barulah anda mula mahu menghargainya,” kata Gurmit sambil merujuk kepada pengguna di negara lain yang terpaksa membayar harga pasaran untuk bil elektrik mereka. Bagi Dr Maamor pengguna domestik harus lebih kreatif dalam mengoptimumkan penggunaan tenaga elektrik dengan kos yang lebih rendah.  “Permulaan yang kecil harus dimulakan seperti menggunakan termos bagi mengelakkan air dimasak berulang kali. Kita mungkin tidak sedar memasak air hanya untuk mematikan bakteria. Kita juga boleh menggunakan penapis air bagi mendapatkan air sejuk yang bersih,” katanya.  Beliau berkata, pengguna juga boleh menggunakan cat yang terang bagi mendapatkan penataan cahaya yang lebih bagi mengurangkan penggunaan elektrik selain penggunaan ‘timer’ agar lampu tidak terpasang sepanjang masa. – BERNAMA

BERITA HARIAN, 18 MEI 2011