28 Disember 2011

ISU UMUM : HADIAH MALAYSIA UNTUK DUNIA

Penulis ialah Profesor Ulung di UKM dan Timbalan Pengerusi, Majlis Profesor Negara (MPN).


Dalam ucapan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata "Melampaui batasan semua agama, tanpa disedari kita telah membenarkan suara-suara sumbang golongan serpihan menenggelamkan banyak suara rasional dan munasabah." Perdana Menteri mengagaskan Gerakan Kesederhanaan Global (Global Movement of the Moderates - GMM) merentasi semua kepercayaan "untuk melawan dan menyisihkan pelampau yang telah menjadikan dunia sebagai tawanan mereka melalui sifat prasangka dan berat sebelah." Beliau menyebut 'keseimbangan' yang dicapai di Malaysia sebagai satu contoh yang membawa kepada kesederhanaan atau wasatiyyah dalam tradisi keadilan bersama dalam Islam. Di East-West Centre, Hawaii bulan lalu, beliau mengumumkan sebuah persidangan antarabangsa mengenai Gerakan Kesederhanaan Global akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 sehingga 19 Januari, tahun hadapan.

Apa yang membimbangkan masyarakat dan kerajaan di seluruh dunia adalah apabila perilaku ganas pelampau diangkat ke taraf gerakan sosial yang lebih besar atas justifikasi sejarah, agama, ekonomi dan politik, yang akhirnya telah mengorbankan ratusan ribu nyawa mereka yang tidak berdosa. Untuk kembali kepada kesederhanaan adalah sesuatu yang rasional dan logik malah sangat mustahak dari moral, perilaku dan peradaban. Persoalannya siapakah yang bakal menjuarai "kesederhanaan" di pentas global. Perdana Menteri kita dan juga Malaysia sekarang merupakan juara dan peneraju inisiatif bermakna ini dalam politik global. Jika diterima pakai secara global, Malaysia mampu mentakrif semula dan mentransformasi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), dan memimpinnya dalam bentuk baru dengan nama baru, iaitu, GMM. Seimbas pandang, usaha ini kelihatan seperti mudah, rasional dan suatu agenda yang munasabah untuk sebuah gerakan besar. Namun begitu, menyempurnakan tugas ini melibatkan perancangan diplomatik yang kompleks dan realpolitik yang halus.

Saranan mengenai GMM ini telah disokong di Mesyuarat Asia-Eropah (ASEF) kali ke-8 di Brussels pada tahun lalu dan Communique Akhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2011 pada tahun ini, yang menyatakan komitmen untuk menambah baik keadaan keselamatan dunia dengan mengambil beberapa langkah, salah satunya adalah "menghayati kesederhanaan sebagai nilai penting untuk mengatasi segala bentuk ekstremisme, sebagaimana disarankan oleh "Gerakan Kesederhanaan Global". Sesuailah untuk istilah wasatiyyah digugurkan daripada digunakan. Biarpun betapa penting istilah ini, khususnya dari segi politik domestik, namun adalah tidak bijak untuk kita terus menggunakannya sebagai saingan kepada istilah "moderate', yang sudah diterima pakai di pentas antarabangsa. Diharapkan Seminar Kebangsaan Mengenai Pemahaman Wassatiyyah dan 1Malaysia, pembuka tirai Perhimpunan Agung UMNO bulan lalu, harus menjadi acara terakhir bagi istilah wasatiyyah digunakan dan dikaitkan dengan dengan promosi GMM.

Kehadiran istilah wasatiyyah sebagai tandingan kepada moderate akan mencairkan impka GMM kerana orang akan tertanya-tanya, apakah ini GMM atau GWM (Global Wasatiyyah Movement). Yang jauh lebih penting lagi untuk segera dilaksanakan ialah pengisian konseptual GMM yang boleh difahami dan dihayati oleh rakya Malaysia dari semua lapisan dan juga rakyat serta pemimpin seantero dunia. Perdana Menteri percaya bahawa keseimbangan wujud dalam masyarakat Malaysia "yang membawa kepada kesederhanaan bukan wasatiyyah". Para 'pemikir' yang mendampingi Perdana Menteri tentunya telah bersedia untuk menghurai perkara-perkara yang berikut yang pokok kepada GMM. Pertamanya, konsep keseimbangan itu perlu diperjelas. Kedua, kaedah yang digunakan oleh kerajaan Malaysia selama ini untuk mencapainya juga perlu digariskan satu-persatu. Ketiga, langkah praktikal yang telah dilaksanakan untuk membina dan mengekalkan keseimbangan tersebut perlu diperturunkan.

Keempat, penjelasan bagaimana pemantauan dilakukan terhadap impak setiap amalan praktikal telah menghasilkan keseimbangan itu. Kelima, cara menilai kejayaan, kegagalan dan akibat yang tidak dijangka daripada kegiatan untuk mencipta kestabilan tersebut. Keenam, menyediakan suatu pakej komprehensif yang bermanfaat mengenai cara keseimbangan ini akhirnya tercapai, contohnya, yang boleh diguna dan mudah difahami dari peringkat pra-sekolah ke universiti, sebagai prosedur untuk digunapakai oleh masyarakat, secara global. Yang paling utama sebenarnya adalah untuk kita menjelaskan asal-usul dan prasyarat kewujudan keseimbangan sosial yang terdapat hari ini di Malaysia yang pula berjaya membuahkan kesederhanaan yang telah diperagakan oleh Perdana Menteri kita ke seluruh dunia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
26 DISEMBER 2011

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails