17 Disember 2011

ISU SBPA : TANGANI SEGERA ISU BANTAHAN

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


Di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Putrajaya di Presint Diplomatik pada 16 Disember 2011, pegawai pusat khidmat berkenaan menerima kedatangan tiga orang penjawat awam. Tidak seperti mana kebiasaannya didatangi isu-isu kecil, kali ini ia didatangkan tentang soal bantahan terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Salah seorang daripadanya berkata, jika dahulu penilaian kenaikan gaji berdasarkan prestasi, menerusi SBPA nanti, ia akan ditentukan oleh cadangan daripada bos mereka. "Kalau menerusi cadangan, dapatkah kami kenaikan gaji yang lebih baik, apa jaminan kepada kakitangan sokongan," katanya. Isu mengenai bantahan terhadap skim SBPA ini perlu diselesaikan segera. Ini memandangkan hampir 90 peratus daripada jumlah pengundi di Putrajaya terdiri daripada penjawat awam. Daripada keseluruhan 90 peratus itu pula, 90 peratus daripadanya adalah kumpulan sokongan. Kerajaan sejak kebelakangan ini telah bermula dengan baik dalam langkah-langkahnya yang cenderung memenangkan pihak rakyat dalam soal yang berupa kepentingan untuk rakyat.

Apatah lagi kepada penjawat awam. Imbuhan RM100 kepada pelajar sekolah sudah disalurkan, bantuan RM500 menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun sedang diusahakan. Kemungkinan masih ramai yang tidak memahami terma yang terkandung dalam SBPA ini. Dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga membantah skim ini kerana menurut Presidennya, Datuk Omar Osman banyak perkara yang tidak jelas dalam tawaran berkenaan. Kesatuan tersebut yang mewakili 1.4 juta penjawat awam mahukan rundingan lanjut diadakan bagi membincangkan mengenai skim berkenaan. SPBA diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan di antara RM80 dan RM300. Dalam pengamatan kerajaan, skim ini baik untuk penjawat awam tetapi di sebelah pihak ia barangkali ada terma yang tidak bersesuaian.

Sewajarnya tidak ada unsur paksaan untuk penjawat awam menandatangani surat tawaran skim SBPA yang ditutup 30 Disember ini. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Abu Bakar Abdullah ketika mengulas mengenai tawaran skim itu baru-baru ini menyatakan, hanya penjawat awam yang mempunyai alasan yang munasabah dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh berkenaan seperti sakit atau berada di luar negara. Dan mereka yang tidak menerima opsyen itu akan kekal kepada skim perkhidmatan lama sekali gus tidak akan menerima sebarang penambahbaikan terhadap skim tersebut. Apa pun, penulis berharap pertemuan Exco-exco CUEPACS dengan Perdana Menteri pada tengah hari 22 Disember ini bagi berunding mengenai bantahan skim SBPA tersebut, akan ada situasi 'menang-menang'.

Sila beri komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 DISEMBER 2011



Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails