JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



06 Disember 2011

ISU KENEGARAAN : PERLEMBAGAAN IKAT SETIAP WARGA NEGARA

Shamrahayu A Aziz
Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Kebebasan patut seiring tanggungjawab 
jaga keharmonian majoriti rakyat

Adakah Perlembagaan Persekutuan terpakai dan mengikat semua rakyat Malaysia? Apa akan terjadi sekiranya saya tidak mahu diikat kerana tiada peruntukan yang menghendaki kita mengikuti semua peruntukannya? Terkejut juga saya ketika diaju soalan ini pada sesi soal jawab diskusi berkaitan Perlembagaan Persekutuan. Selepas ditanya lebih panjang kenapa persoalan sebegini diajukan, orang yang bertanya menyatakan ketidakpuasan hati terhadap beberapa peruntukan perlembagaan. Secara khusus, beliau menyebut mengenai peruntukan berkaitan sekatan yang boleh dibuat ke atas Perkara 10 dan 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu peruntukan yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman dan kebebasan beragama. Secara jujurnya persoalan sebegini tidak pernah terlintas di fikiran saya. Mungkin kerana saya mengambil mudah mengenai penerimaan dan pemakaian peruntukan perlembagaan. Saya terlepas pandang mengenai isu penting ini.

Pada anggapan saya, semua ahli masyarakat sedia maklum mengenai peranan perlembagaan dan tanggungjawab setiap individu terhadap perlembagaan. Pada anggapan saya juga, semua ahli masyarakat sedar mereka hendaklah mengikat diri dengan perlembagaan tanpa sangsi walaupun jelas perlembagaan tidak menyediakan peruntukan khusus mewajibkan setiap orang mengikatkan diri dengannya. Saya menganggap perbuatan menghormati perlembagaan bukan saja menampilkan semangat patriotisme, tetapi ia juga tanggungjawab wajib yang perlu dilaksanakan setiap warga negara. Malah, mereka yang bukan warga negara juga terikat dengan prinsip ini. Saya sediakan sedikit ulasan untuk dikongsi dengan pembaca kerana persoalan terbabit begitu penting. Secara umumnya tujuan undang-undang ialah mengawal selia kehidupan manusia. Ia juga diwujudkan untuk membetulkan atau menebus kesalahan serta menyelesaikan pertelingkahan.

Undang-undang mengikat manusia kepada satu sistem yang boleh menjamin kehidupan selesa dan juga penuh kehormatan. Undang-undang tidak boleh dikatakan sebagai penghalang aktiviti masyarakat. Ialah adalah pemangkin kepada aktiviti masyarakat. Disebabkan peranannya begitu besar, maka undang-undang mempunyai semangat dan nilai tersendiri. Sebagai contoh, undang-undang boleh menjadikan sesuatu perbuatan yang memberi kesan negatif ke atas orang lain atau masyarakat sebagai satu jenayah yang boleh dihukum. Ini bagi membolehkan setiap ahli masyarakat secara individu atau berkelompok, dihargai kewujudan dan kehormatannya. Tiada orang yang lain boleh meragutnya tanpa sebarang tindakan undang-undang. Oleh itu, setiap orang terikat dengan undang-undang. Mengenai tanggungjawab mengikat diri dengan perlembagaan, perkara pertama yang perlu kita ingat dan semat di dalam hati; perlembagaan ialah undang-undang tertinggi negara. Mengapa?

Jawapan di atas kertas seorang pelajar undang-undang perlembagaan mungkin menyatakan setiap undang-undang lain hendaklah menepati peruntukan perlembagaan. Mungkin ini agak rumit untuk pembaca umum. Bagi umum, jawapan perlembagaan sebagai simbol kemerdekaan dan kedaulatan negara lebih bermakna. Tanpa perlembagaan, kita tidak dapat menjadi negara merdeka berdaulat dalam sistem negara bangsa yang diamalkan dunia. Perlembagaan juga manifesto negara. Ia menampilkan ciri pentadbiran dan negara bangsa yang mahu dibina. Perlembagaan juga dokumen yang mencipta institusi negara, iaitu badan kehakiman, badan perundangan dan badan pelaksana. Ia mengiktiraf dan meletakkan kesinambungan kepada institusi tradisi, iaitu institusi raja.

Bukan saja mencipta dan mengiktiraf kelangsungan institusi ini, perlembagaan menggariskan kuasa dan peranan semua institusi berkenaan. Setelah itu, perlembagaan juga menyekat kuasa institusi itu supaya setiap sesuatu yang bergerak dalam orbit menghormati kedaulatan undang-undang, termasuk kebebasan rakyat. Walaupun tidak berpuas hati dengan peruntukan sedia ada, kita tidak harus mementingkan diri sendiri dan mahu meragut kewujudan dan kehormatan orang lain. Kebebasan sentiasa berkembar dengan tanggungjawab kita. Maka sekatan yang dibenarkan perlembagaan mempunyai alasan, semangat dan nilai tersendiri. Cuma, apa yang kita harapkan ialah pelaksana peruntukan perlembagaan menjalankan kuasa dan peranan dalam konteks yang diinginkan prinsip perlembagaan. Kita tidak harus mengasingkan diri daripada perlembagaan.

Perlembagaan Persekutuan menentukan kelangsungan sistem negara. Ia menjadi panduan dan piawaian kepada tindakan setiap institusi dan menjamin kehormatan individu sama ada warga negara atau bukan warga negara. Perlembagaan menjadikan kita bangsa bersatu, bukan berpecah. Perlembagaan adalah rantai kukuh yang mengikat kita. Perlembagaan juga menyinarkan konsep demokrasi yang mengekalkan kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan berkumpul dalam keadaan aman. Dalam membenarkan sekatannya, perlembagaan bukan semata-mata dokumen, ia adalah dokumen yang mempunyai nilai, kepercayaan dan agama. Ini harus diteroka sedalam mungkin oleh ahli masyarakat. Semoga masyarakat yang menjadi pengguna sebenar Perlembagaan tetap berusaha untuk memastikan kandungan dan amalannya yang terbaik berdasarkan semangat dan nilainya demi agama, bangsa dan tanah air.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: