09 Disember 2011

ISU IPT : PENGIKTIRAFAN KEPADA ORANG MUDA

Oleh Ruhaiza Rusmin


Akhirnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sentiasa hangat dan kontroversi di kalangan mahasiswa dipinda bagi memberi kelonggaran golongan itu berpolitik. Pindaan itu ibarat satu kemenangan peribadi kepada mahasiswa yang selama ini berjuang mendapat kebebasan berpolitik dan bersuara. Apakah pindaan ini bakal membawa dimensi baru kepada golongan itu bagi memartabatkan peningkatan minda mahasiswa terhadap perjalanan politik negara atau sebaliknya? Atau apakah pindaan AUKU mampu mengembalikan kegemilangan zaman mahasiswa era 70-an yang gah dengan pelbagai isu dan perjuangan? Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zaid Ahmad, berkata pindaan itu mencerminkan keprihatinan pihak terbabit mahu melahirkan mahasiswa alaf baru yang peka, rasional, berani dan matang dalam menilai perjalanan politik. Beliau berkata, meskipun pindaan itu bukan secara keseluruhan, ia cukup memberi kebebasan bersuara dalam menzahirkan sesuatu isu selain kepentingan memberi bimbingan secara betul.

Pindaan itu ibarat bonus kerana selama ini berada dalam situasi dikongkong dan terikat jika mahu melahirkan pendapat mengenai sesuatu isu politik. Kini, halangan itu tiada menjadikan hak bersuara semakin bebas. Meskipun aspek kepartian di kampus masih tetap dilarang, pembaharuan ini permulaan yang baik bagi golongan itu mencerminkan tahap intelektual dalam isu politik berbangkit. Ia memberi senario sebenar mengenai politik dari kaca mata mahasiswa, masyarakat dan individu. Namun, lebih penting ia memberi bimbingan kepada golongan itu dengan cara betul dan teratur, “ katanya. Pindaan itu membolehkan mahasiswa lebih terbuka dalam mengutara atau terbabit dalam perjalanan isu politik negara selain merealisasikan hasrat mereka menjadi sebahagian kelompok masyarakat sebenar. AUKU yang digubal pada 1971 dijadikan ‘senjata’ untuk mendiamkan mahasiswa daripada terus lantang mengkritik kerajaan atau dijadikan kuda tunggangan golongan berkepentingan.

Akta ini diusulkan selepas kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 bagi mengekang peranan pelajar terutamanya pembabitan mahasiswa dalam pilihan raya 1969. Ironinya, AUKU sering kali dikaitkan dengan kebangkitan mahasiswa pada era 1960 an yang ketika itu terlalu lantang mengkritik dan berdemonstrasi. Pada 1940-an, semangat berpolitik berpunca pengalaman mahasiswa dengan suasana Perang Dunia Kedua yang turut ditempuhi Tanah Melayu manakala kelantangan mahasiswa era 1950-an akibat pengalaman era kemerdekaan. Era 1960-an dan 1970-an pula menyaksikan kebangkitan mereka didasari pengalaman bekerja sebagai guru pendidik di luar bandar sebelum melanjutkan pengajian di universiti hingga menimbulkan kesedaran nasional.  Ditanya adakah pindahan itu akan menyebabkan perkara sama berlaku, beliau berkata tidak boleh membandingkan senario mahasiswa dulu dan kini kerana mereka berbeza era serta ideologi. Dulu, kemungkinan untuk menyuarakan segala pendapat atau isu sangat terhad, hanya melalui medium tertentu saja mereka mampu menyampaikan idealisme.  

Masyarakat pada waktu itu mungkin juga tidak terdedah seperti hari ini. Keadaan sekarang berbeza, masyarakat lebih terbuka manakala segala sumber maklumat bagaikan berada di hujung jari. Mahasiswa juga sudah semakin matang dan bijak menilai. Apa yang diingini mahasiswa hanyalah pengiktirafan, justifikasi yang betul serta tidak keterlaluan dikongkong kerana mereka juga manusia.  Kongkongan itu hanya menyebabkan keadaan bertambah buruk. Secara amnya, politik boleh dibahagikan kepada dua iaitu politik kuasa dan nilai yang sangat berbeza kepentingannya. Politik kuasa merujuk kepada kekuasaan manakala nilai pula tidak mementingkan kemuncak kekuasaan sebaliknya keadilan hak, kebebasan, hak bersuara, hak berkumpul, hak berpersatuan, hak untuk hidup, hak untuk menikmati pembangunan. Mahasiswa kebiasaannya lebih tertumpu pada politik nilai kerana tahu di mana tahap kemampuan mereka. Malangnya masyarakat pula tidak tahu dan menganggap, jika terbabit dalam politik bermakna mereka menyebelahi parti tertentu.

Stigma itu perlu diperbetulkan kerana bertentangan dengan definisi politik sedangkan ia mencakupi makna luas bukan hanya mementingkan kekuasaan, keistimewaan atau kekebalan, sebaliknya pembelajaran sepanjang hayat. Merujuk kepada mahasiswa yang disifatkan sebagai bangsa terpelajar, mempunyai gagasan pemikiran dan tindakan, beliau berkata, pembabitan dalam politik adalah pembelajaran paling mudah membantu golongan terbabit memahami lebih mendalam proses serta struktur pentadbiran negara. Terbabit dengan politik bukan bermakna lantang menolak kepimpinan sedia ada atau menjadi orang tengah bagi pihak tertentu, ia turut menjurus kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat dan lebih praktikal. Malah, ia lebih baik kerana mereka dapat merasai suasana sebenar. Perkongsian maklumat bersifat akademik dan tidak menggugat keamanan boleh melahirkan generasi cemerlang serta berwibawa pada masa depan. Justeru, tidak perlu disekat keterlaluan kerana ini akan ‘membunuh’ nilai kepimpinan mereka.

Paling penting, berikanlah mereka bimbingan. Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Ahmad Muzzammil Muhd Hairi, berkata pindaan itu bakal melonjakkan lagi kewibawaan dan kualiti mahasiswa. Sebagai golongan intelektual, katanya mereka mahukan kebebasan dalam melahirkan pendapat dan tidak disekat kerana boleh merencatkan pengembangan minda. Mahasiswa adalah barisan hadapan yang bakal mengemudi negara, mereka perlukan pengalaman bagaimana menjadi generasi pelapis. Jika semuanya disekat, ia sukar dicapai. Sekatan akan menjadikan mereka tambah ekstremis, bukan itu yang diperlukan negara. Pindaan dilakukan diharap mampu melahirkan mahasiswa cemerlang. “Kami hanya mahu diiktiraf secara adil sebagai pemerhati dan memperjuangkan nilai positif di kalangan masyarakat terutama generasi muda,” katanya. Bagaimanapun dia berharap pindaan itu bukan gimik semata - mata bagi mengaburi pihak tertentu. “Kami adalah aset, jika diperkotak katikkan, sama seperti memusnahkan masa depan negara,” katanya.

INFO:

AUKU yang diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan Parlimen pada 17 Mac 1971 sudah beberapa kali dipinda pada tahun berlainan seperti 1971 (Akta 80) , 1975 (Akta A295), 1983 (Akta A550), 1996 (Akta A496).  Bagaimanapun pindaan yang dibuat pada 1975 paling ketara kerana ia melarang sama sekali mahasiswa terbabit dalam politik. Kali terakhir AUKU dipinda pada 2009.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 DISEMBER 2011


Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails