JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 Disember 2011

ISU FILEM : LPF TUTUP KEDAI, HILANGNYA OZON HIBURAN

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS


Lembaga Penapis Filem (LP F) dikatakan tidak akan menapis lagi filem yang bakal ditayangkan di panggung wayang mulai tahun hadapan. Kemajuan dunia siber hari ini memberi cabaran yang hebat kepada lembaga ini untuk menjadi penapis yang berkualiti. Apa guna menapis di depan tetapi di belakang adegan tapisan boleh ditonton. Di panggung wayang, gambar boleh dikawal tetapi melalui pengedaran cakera video digital (DVD) semuanya boleh ditonton tanpa ditapis walau sebesar hama. Idea untuk penerbit menapis sendiri, dari satu segi boleh dijustifikasikan kerana ledakan media baru hari ini. Namun impak kepada masyarakat jangan dilupai. Penggiat filem tempatan yang selama ini memberi komen, LPF menyekat kreativiti mereka diharap menggunakan peluang tersebut. Sesungguhnya lapisan 'ozon' hiburan yang bukan sahaja menipis malah sudah lupus akan menjadikan bahang sensitiviti semakin mendekat audiens yang merupakan rakyat Malaysia - majoritinya beragama Islam dan mengamalkan adat budaya ketimuran.
Kebebasan apabila terlalu banyak ia menjadikan kreativiti tidak mempunyai sempadan, seakan-akan pintu empangan hidro dibuka menyebabkan air berlebihan melimpah. Begitulah keadaan, jika tiada garis panduan dikeluarkan maka wujudlah situasi pembuat filem bakal disaman dan diheret ke mahkamah kerana mengganggu sensitiviti sesuatu kelompok. Filem kita wajah kita, sebagaimana tema penganjuran sebuah festival filem tempatan mungkin akan menjadi 'filem kita wajah buruk kita'. Di Hollywood, kebebasan membuat filem diterjemahkan dengan pembikinan filem yang berteknologi tinggi dengan kesan-kesan khas tidak lagi bergantung kepada pelakon-pelakon stunt yang berhati kering. Kita tidak mahu penerbit filem membuat tapisan sendiri dengan mentafsir adegan seks sebagai suatu syarat filem boleh jual. Hari ini ada penerbit filem berpandangan hanya filem seram mampu mengembungkan kantung penerbit filem. Maka filem seperti aksi hebat Agent IMF Ethan Hunt dalam Mission Impossible 4-Ghost Protocol mungkin tidak akan dihasilkan oleh penerbit di negara kita.

Dengan kos jutaan dolar sudah pasti penerbit kita lebih berminat untuk menghasilkan lebih ramai hantu sebagai bintangnya. Sekurang-kurangnya mereka tidak akan perlu membeli alat solek tebal untuk 'mencantikkan', cukup dengan tiga warna asas hitam, putih dan merah untuk warna darah. Dalam tahun 1970-an di zaman penerbitan filem di Studio Merdeka Hulu Kelang sebuah filem bertajuk Terbabas telah mempamerkan adegan erotik yang menonjolkan payudara sebagai sebahagian jalan cerita. Walaupun ia ada kena mengena dengan jalan cerita bersangkut paut pelanggaran ajaran agama Islam ia memberi impak bahawa jika Hollywood boleh mengapa kita tidak boleh. Soalnya, adakah adegan ghairah mampu menjual filem atau ia menggadai moral pelakon itu sendiri. Sebaik-baiknya satu garis panduan diumumkan oleh kerajaan kerana filem bukan sahaja melibatkan Kementerian Dalam Negeri malahan melibatkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama Islam) malahan isu perfileman akan menyebabkan ia didebatkan hingga ke peringkat Dewan Rakyat.

Cukup-cukuplah isu buang bayi dan isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT), sepatutnya LPF diperkasakan bukannya dibinasakan. Filem mampu menajamkan minda dan juga merosakkan minda jika salah dihayati tanpa tapisan berkualiti. Adakah kita mahu tahun 2012 dipenuhi dengan isu perfileman semata-mata, sedangkan urusan rakyat yang lain perlu diberi perhatian juga. Dalam situasi ozon hiburan genre filem semakin menipis dan terhakis, pengarah dan penerbit filem memerlukan garis panduan yang terperinci dari segala segi merangkumi aspek agama, moral, budaya, undang-undang dan sensitiviti pihak tertentu agar kebebasan berkarya tidak disalah tafsir hingga mewujudkan banyak lompong dalam ketelusan kerajaan memberi kebebasan untuk karyawan filem meluahkan idea mereka. Justeru, pihak berwajib perlu segera memastikan garis panduan tersebut dapat diwujudkan agar tiada penerbit akan berkata, no sex no taxes (tak ada seks tak dapat mereka membayar cukai kepada kerajaan).

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 DISEMBER 2011

Tiada ulasan: