21 Disember 2011

ISU EKONOMI : TANGANI JENAYAH EKONOMI YANG MERUGIKAN NEGARA KITA

ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah


Boleh dikatakan setiap hari terpampang berita mengenai jenayah ekonomi melibatkan penipuan, rasuah dan penyelewengan. Kes-kes jenayah ini ada yang merentasi negara. Jenayah ekonomi tidak melibatkan kecederaan fizikal mahupun kematian. Pada era 1970-an, jumlah jenayah ini tidaklah sebegitu banyak berbanding sekarang. Ketika itu, penipuan tidak melibatkan ramai pihak. Jenayah ini semakin berkembang dengan rancaknya pada era 1990-an apabila adanya sindiket penipuan seperti penipuan kad kredit. Dengan penggunaan teknologi maklumat dalam era globalisasi yang serba canggih dan terkini, penjenayah juga semakin sukar dikesan. Mereka ini terlalu licik bagi mengelak diri daripada ditangkap. Dan, penipuan bukan setakat melibatkan ribuan mahupun ratusan ribu ringgit Malaysia, tetapi melepasi angka jutaan ringgit Malaysia. Media sosial seperti Facebook menjadi pangkalan atau hab utama mereka. Mereka ini mengetahui selok-belok penipuan Internet dengan melakukan penyamaran di samping hebat mengungkap kata-kata indah bagi memujuk mangsanya. Mangsanya sudah tentu golongan kaya-raya tetapi amat kesunyian dalam hidup.

Kebanyakan daripada mangsa ialah wanita. Akibat dibuai kata-kata indah, akhirnya mangsa kehilangan berjuta-juta ringgit Malaysia yang mana wang tersebut telah berjaya dikumpul oleh mangsa sejak bertahun-tahun lamanya. Malaysia seolah-olah menjadi lubuk atau "syurga" penjenayah ekonomi. Penjenayah ini hidup mewah dan ada di antaranya mampu membina banglo dan hotel 5 bintang yang berharga RM400 juta di negara asal mereka. Persoalan di sini adakah benar rakyat Malaysia memang mudah ditipu, baik lelaki mahupun wanita? Mudah "cair" dengan kata-kata indah si penjenayah siber? Kalau melihat kes-kes yang berlaku hampir setiap hari, sesiapa sahaja akan mengakuinya. Jangan terkejut jika ada yang mempercayai kenalan Internet dengan memberi pelbagai maklumat peribadi seperti nombor akaun bank kepada kenalan Internet yang baru dikenali tidak sampai seminggu. Apa yang menyebabkan rakyat Malaysia mudah terpedaya dengan kata-kata indah sedangkan mangsa-mangsa ini ada di antaranya golongan profesional yang berpendidikan tinggi?

Adakah kerana masyarakat Malaysia yang semakin longgar dari segi institusi kekeluargaan dek kerana mengejar kekayaan materialistik yang kononnya menjadi kayu pengukur utama kemajuan rakyat Malaysia menyebabkan ramai yang beralih dan mempercayai kenalan Internet dan akhirnya terjebak dengan perangkap penjenayah siber? Perkara ini perlu dikaji sedalam-dalamnya agar kes-kes penipuan jenayah ekonomi dapat dikurangkan. Perlu diingat, jenayah ini bukan sahaja merugikan mangsa tetapi memberi kesan sosial dan ekonomi pada negara. Sebagai contoh, seorang mangsa yang profesional dan pakar dalam bidang-bidang tertentu kehilangan jutaan ringgit Malaysia dek kerana ditipu oleh kenalan Internet. Apakah akan terjadi kepada pakar ini? Beliau sudah tentu tidak dapat bekerja dengan baik akibat tekanan kehilangan wang yang terlalu banyak. Hasil kerjanya pula memberi kesan negatif kepada organisasi beliau bekerja. Impaknya, negara akan rugi dari segi ilmu dan kemahiran beliau yang tidak dapat disumbang sebaik mungkin. Negara juga akan rugi akibat prestasi organisasi tersebut semakin merudum.
Bayangkan, jika ada 100 orang profesional yang hebat ilmu dan kepakarannya tetapi mudah ditipu oleh penjenayah siber. Implikasinya terhadap negara akan lebih besar lagi. Kalau diteliti sejak akhir-akhir ini, jenayah siber banyak dilakukan oleh warganegara Afrika. Maka, sudah sampai masanya, kerajaan mengetatkan syarat kemasukan mereka ke negara kita sama ada sebagai pelancong mahupun sebagai pelajar. Apa yang perlu dibuat adalah memeriksa latar belakang mereka sepenuhnya agar mereka ini merupakan pelancong dan pelajar yang benar-benar berkualiti. Bukan setakat tangkap muat dek kerana mahu meningkatkan statistik, kononnya ini adalah satu kejayaan besar. Jika kita tidak memeriksa secara teliti, tidak mustahil, semakin ramai penjenayah warga asing datang ke Malaysia. Apalah gunanya angka-angka tersebut berjaya ditingkatkan jika sekiranya rakyat Malaysia sendiri sengsara dan menjadi mangsa warga asing sedangkan kita berada di negara kita sendiri. Lainlah, jika kita ditipu di negara mereka. Dengan kata lain, kuasa berada di tangan kita untuk menangani jenayah sebegini. Peluang yang terbuka luas kepada penjenayah menyebabkan mereka bermaharajalela. Peluang-peluang ini wajib ditutup rapi dan ini merupakan langkah terbaik berbanding menghukum mereka setelah ditangkap.

Jangan ditunggu lagi sehingga penjenayah tidak langsung gentar dengan pihak berkuasa. Ketika itu, penjenayah-penjenayah ini semakin sombong dan tidak langsung menghormati undang-undang kita. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada merawat? Justeru, ambillah tindakan segera dan tegas tanpa rasa khuatir ia bakal menjejaskan sektor pelancongan kita. Keselamatan warga negara Malaysia lebih penting berbanding "kejayaan" membawa masuk penjenayah ke Malaysia. Mereka ini tidak kisah apa yang berlaku terhadap Malaysia mahupun warga negaranya. Apa yang mereka kisah ialah menjayakan modus operandi bagi memperdayakan rakyat Malaysia. Akhirnya, mereka bersenang-lenang menikmati "kejayaan" tersebut di negara asal mereka sedangkan yang menderita tidak lain tidak bukan rakyat Malaysia itu sendiri.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 DISEMBER 2011

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails