17 Disember 2011

ISU EKONOMI : SEKTOR KETIGA LENGKAPI TRANSFORMASI EKONOMI

MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
Unit Ekonomi Islam dan Kajian Polisi,
Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan,
Universiti Islam Antarabangsa


Krisis kewangan dan hutang global menjadikan usaha untuk memacu ekonomi negara menjadi semakin mencabar. Formula baru untuk menjana pertumbuhan ekonomi perlu dicari. Selama ini, ekonomi Malaysia banyak bergantung dengan peranan aktif yang dimainkan oleh sektor awam dan swasta. Tekanan kewangan dan hutang yang dihadapi kedua-dua sektor ini, terutama daripada tempias krisis kewangan dan hutang global menuntut kepada suatu transformasi baru dalam model pertumbuhan sosio ekonomi negara. Penglibatan menyeluruh masyarakat dalam menggerakkan kegiatan sosio ekonomi perlu dirangka. Untuk tujuan ini, sektor ketiga dilihat penting untuk lebih diberi perhatian dan diaktifkan. Sektor ketiga merupakan sektor voluntari atau sukarela di mana objektif utamanya tidak bersifat mencari keuntungan tetapi lebih kepada membela dan menjaga kebajikan dalam masyarakat. Sektor ketiga adalah unik kerana keberkesanannya berkait rapat dengan tahap sukarelawan dalam masyarakat. Semakin tinggi penglibatan orang ramai dalam kegiatan sukarela, semakin besar peranan sektor ketiga dalam membina sosio ekonomi sesebuah negara. Sektor ini biasanya melibatkan kegiatan sukarela seperti dalam penyediaan khidmat sosial, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, pendidikan dan pelbagai kegiatan lain yang lazimnya terlepas pandang oleh sektor awam dan swasta. Di negara-negara maju, sektor ketiga aktif melengkapi sektor awam dan swasta.

Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, peranan sektor ketiga menyumbang kepada 10 peratus daripada Keluaran Negara Kasar. Agensi yang terlibat dalam sektor ketiga biasanya merupakan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti kebajikan. Berikutan banyaknya organisasi bukan kerajaan seperti ini dengan pelbagai objektif kebajikan yang berbeza, impak sektor ini di Malaysia kurang dirasai meskipun diakui peranannya. Bagi negara Islam seperti Malaysia, peranan sektor ketiga turut digerakkan dengan elemen-elemen kebajikan yang sentiasa digalakkan dalam Islam. Antaranya, institusi wakaf yang sekarang ini semakin diberi perhatian dalam memastikan kebajikan umat Islam. Wakaf yang selama ini sering dikaitkan dengan pembinaan masjid dan wakaf tanah untuk kawasan perkuburan adalah sempit. Wakaf dalam bentuk tunai yang dikumpulkan dan kemudian digunakan untuk membina perniagaan yang dapat menjana keuntungan dan aliran tunai yang baik, dapat memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi dan memelihara kebajikan. Usaha transformasi ekonomi negara perlu memastikan peranan sektor ketiga mendapat lebih galakan. Usaha seperti menjalin kesefahaman antara sektor awam, swasta dan sektor ketiga dapat menjadikan ekonomi Malaysia lebih dinamik di mana setiap sektor saling melengkapi.


Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 DISEMBER 2011



Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails