JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Disember 2011

ISU ANTARABANGSA : UGANDA SEMAKIN MELARAT


Seperti kebanyakan ibu-ibu lain yang tinggal di sebuah kejiranan daif, terdapat satu hari yang membuatkan Rose Awino, 23, berasa takut berbanding hari-hari lain dalam bulan itu. Ia adalah pada hari apabila dia perlu membayar AS$20 (RM62.90) untuk sewa rumah satu bilik yang diduduki bersama keluarganya. Seiring kenaikan kos sara hidup di Uganda, daripada makanan hingga harga minyak, Awino bukan sahaja resah dengan kunjungan tuan rumah, malah terhadap rutin membeli barangan keperluan dua kali seminggu di pasar. Protes telah tercetus di Kampala sejak April 2011 yang lalu apabila ketua pembangkang, Kizza Besigye melancarkan demonstrasi terhadap kenaikan kos sara hidup. Ia mencetuskan tindakan ganas polis yang membunuh sekurang-kurangnya 10 orang. Besigye kini ditahan di rumahnya. "Semuanya di sini menjadi semakin mahal, tetapi kehidupan menjadi semakin susah sepanjang masa," kata Awino yang tinggal di daerah Konge di pinggir ibu negara Uganda. Inflasi keseluruhan di Uganda bulan lalu meningkat kepada 30 peratus, kadar tertinggi dalam masa dua dekad. Dalam bulan yang sama, inflasi tahun ke tahun ke atas makanan meningkat sebanyak 45 peratus. "Ini menyebabkan kenaikan mendadak ke atas kos barangan asas. Standard gaya hidup penduduk Uganda telah menurun, terutama bagi penduduk lebih miskin di dalam masyarakat," kata felo sains politik dari Universiti Makerere, Frederick Golooba-Mutebi.

KEDAI TIADA PELANGGAN

Masyarakat biasa Uganda sedang berusaha mengatasi situasi itu. Awino memberitahu, dia pernah menjual tomato dan bawang kepada suri rumah tempatan melalui sebuah gerai kecil tetapi sejak harga barangan meningkat, pelanggannya semakin berkurang. Kini keluarganya bekerja keras meneruskan kehidupan dengan pendapatan kira-kira AS$40 (RM125.60) sebulan yang diperoleh dengan bekerja sebagai pencuci separuh masa. Dengan pendapatan itu, sebahagian besarnya sebenarnya digunakan untuk membayar sewa rumah. Protes jalanan antara lain tercetus akibat persepsi bahawa pemerintah elit tidak melakukan apa-apa untuk menangani inflasi. Mereka sebaliknya dikatakan mensia-siakan sumber berharga bagi memenangi semula pilihan raya yang akan diadakan pada bulan Februari tahun depan. Kerajaan gagal bertindak. Mereka menolak untuk mengurangkan tarif petrol, diesel dan beberapa komoditi asas dan ini menyebabkan kebencian awam.  Begitupun, protes awam semakin berkurangan apabila kumpulan pejuang hak memberitahu bahawa kerajaan telah mengambil langkah-langkah represif atau bersifat menindas termasuk mengenakan perintah tahanan rumah bagi ketua pembangkang.

FAKTOR LUARAN

Kerajaan memberitahu sedikit sahaja yang dapat dilakukan bagi mengatasi inflasi dengan menyalahkan faktor luaran seperti harga petrol yang tinggi dan peningkatan permintaan makanan dari negara-negara jiran Uganda yang sedang dilanda kemarau. Jelas, kerajaan berkata benar. Sejak beberapa tahun lalu, ekonomi global berada dalam keadaan tidak stabil sekali gus turut menjejaskan Uganda, kata pengerusi parti pemerintah Jawatankuasa Ekonomi Kebangsaan di Parlimen. "Tetapi, kita masih perlu membuat banyak perkara termasuk polisi bagi menangani isu kepenggunaan dan cuba untuk meningkatkan pengeluaran," tambahnya. Bank pusat negara berkenaan baru-baru ini meningkatkan kadar faedah untuk menyokong mata wang tempatan iaitu shiling Uganda yang semakin lemah. Shiling mencecah nilai terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) September lalu. Tetapi ketika pakar ekonomi mengalu-alukan tindakan itu, mereka berkata bahawa ia tidak memberi kesan ke atas harga pengguna dalam masa terdekat. "Terdapat kesan sampingan dalam mana-mana polisi kewangan, jadi ia mengambil masa tiga bulan, enam bulan, atau mungkin setahun," kata ketua pasaran kewangan di Bank Standard Chartered di Uganda, Grace Makako yang memberi amaran mengenai waktu sukar pada tahun 2012. Bagi Awino, dia tidak tahu bagaimana dia harus terus menanggung ahli keluarganya sekiranya tiada perubahan dalam masa terdekat. "Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tidak lama lagi saya perlu membayar yuran persekolahan. Saya tidak tahu sama ada saya mampu atau tidak. Mungkin kami perlu mengikat perut lagi," keluhnya.

SUMBER
HARIAN KOSMO



Tiada ulasan: