15 November 2011

PETUA CIKGU ZUL : PANDUAN MENULIS KARANGAN CEMERLANG


PETUA 1
Baca soalan karangan dengan teliti. Ingat, baca semua soalan

PETUA 2
Kenal pasti isu utama dalam setiap soalan.

Contohnya :

Masalah pembuangan bayi semakin membimbangkan di negara kita. Kebanyakan mereka yang terlibat ialah golongan remaja. Pada pendapat anda, apakah punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi.

ISU UTAMA : Masalah pembuangan bayi

PETUA 3
Kenal pasti kehendak soalan.

Contohnya :

Masalah pembuangan bayi semakin membimbangkan di negara kita. Kebanyakan mereka yang terlibat ialah golongan remaja. Pada pendapat anda, apakah punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi.

KEHENDAK SOALAN 1 : Punca-punca masalah pembuangan bayi
KEHENDAK SOALAN 2 : Langkah-langkah mengatasi masalah pembuangan bayi

PETUA 4
Buat rangka untuk pendahuluan. Anda hendaklah membincangkan sekurang-kurangnya lima hingga enam perkara yang berkaitan dengan isu utama dalam perenggan pendahuluan.

CONTOH RANGKA PENDAHULUAN

·                     Masalah yang semakin membimbangkan
·                     Dilakukan oleh golongan yang tidak berperikemanusiaan
·                     Bayi dibuang ke dalam longkang, tong sampah, di tepi pagar rumah orang, 
             di  tangga masjid, dan sebagainya
·                     Melibatkan golongan remaja
·                     Punca-punca dan langkah-langkah akan dibincangkan.

Selepas membina rangka tersebut barulah tulis perenggan pendahuluan dengan menggunakan ayat yang gramatis. Jangan tulis pendahuluan terlalu panjang, memadailah dalam lingkungan 85 hingga 90 patah perkataan sahaja.

PETUA 5
Fikirkan lima atau enam isi utama. Jika kehendak soalan ada 2, anda boleh pemberian isi hendaklah seimbang. Anda boleh menggunakan formula 1:4, 2:3, 3:3, yang penting kedua-dua kehendak soalan ada dibincangkan dalam jawapan anda. Jangan fokus kepada 1 kehendak soalan sahaja.

CONTOHNYA :

KEHENDAK SOALAN 1 : Punca-punca

1.      Keruntuhan institusi kekeluargaan
2.      Pengaruh media massa
3.      Pegangan agama yang rapuh

KEHENDAK SOALAN 2 : Langkah-langkah

4.      Memperkukuh peranan institusi keluarga
5.      Mempergiat aktiviti bimbingan dan kaunseling
6.      Mengkaji semula penguatkuasaan undang-undang

PETUA 6
Buat rangka terlebih dahulu untuk setiap isi yang dinyatakan. Tulis lima hingga enam perkara yang hendak dihuraikan untuk menyokong isi utama tersebut secara ringkas supaya huraian anda nampak tersusun dan tidak lari daripada isi yang hendak dibincangkan.

CONTOHNYA :

Isi Utama 1 : Keruntuhan institusi kekeluargaan

Huraian

·                     Ibu bapa gagal memainkan peranan – ketua keluarga
·                     Sibuk bekerja – materalistik
·                     Anak-anak terabai – kurang perhatian dan kasih sayang
·                     Anak –anak mencari keseronokan di luar rumah
·                     Terpengaruh gaya hidup bebas – seks bebas
·                     Mengandungkan anak luar nikah

Selepas itu, tulis huraian isi utama 1 dengan ayat yang gramatis dalam lingkungan 85 hingga 95 patah perkataan sahaja.

Buat proses ini berulang-ulang hingga isi utama yang terakhir.

PETUA 7
Akhir sekali, tulis perenggan penutup.

LIMA PERKARA YANG UTAMA :

1.            Penegasan pendirian anda terhadap isu utama yang dibincangkan
2.            Cadangan kepada individu / masyarakat
3.            Cadangan kepada pihak kerajaan / swasta / NGO dan lain-lain
4.            Harapan
5.            Harapan

PETUA 8
Anda boleh memasukkan peribahasa, statistik, pendapat tokoh, kata-kata hikmat dan sebagainya bagi memantapkan lagi karangan anda. Walau bagaimanapun, penggunaannya harus betul dan sesuai.

PETUA 9
Pada peringkat STPM, aspek sintaksis amatlah penting. Pastikan ayat yang anda buat adalah gramatis, mudah difahami, dan logik serta bersinonim dengan isi utama yang anda nyatakan. 

PETUA 10 
Banyakkan membaca pelbagai isu-isu semasa dan rencana untuk menambahkan pengetahuan. Pembacaan yang meluas dapat membantu anda menghasilkan karangan yang mantap dan hebat dari segi isi utama dan huraian.



SELAMAT BERJAYA 
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails