20 November 2011

KARANGAN STPM

ISU ALAM SEKITAR
Fokus : Kepentingan dan usaha memelihara terumbu karang


DEFINISI

Terumbu karang merupakan salah satu ekosistem yang wujud di lautan. Ia terbina dengan jutaan organisma kecil yang berkoloni (hidup berkumpulan) di habitat laut sekitar suhu 20 hingga 28 darjah celcius. Hidupan di terumbu karang terdiri daripada karang laut yang kebanyakkannya datang dari famili Cnidari serta subkelas yang bernama Octocorallia, Zoantharia dan juga Tabulata.

KEPENTINGAN

Pada pendapat saya terumbu karang merupakan habitat penting untuk hidupan laut yang lain seperti ikan kerana di sinilah kawasan makanan paling banyak di lautan. Kawasan terumbu karang mampu menghasilkan makanan melalui proses fotosintesis dan sebab itulah kawasan terumbu karang mudah dijumpai di kawasan lautan yang kedalamannya antara 40 hingga 70 meter di dasar laut yang membolehkan cahaya matahari menembusi dasar laut. Selain sebagai tempat hidupan laut mendapatkan makanan, terumbu karang juga berfungsi sebagai benteng perlindungan pantai terhadap ombak kuat. Maksudnya terumbu karang bertindak sebagai pemecah ombak besar. 

Selain itu, terumbu karang juga penting sebagai sumber perikanan. Kawasan ini sesuai untuk pembiakan dan nurseri kerana terdapat banyak tempat perlindungan dan makanan. Hampir 30% ikan komersil bergantung kepada kawasan ini untuk membesar dan matang. Hidupan yang terdapat pada terumbu karang merupakan sumber protein, bahan binaan dan perubatan. Terumbu  karang juga dipercayai dapat dijadikan ubat untuk melawan penyakit barah. Satu per lima protein negara adalah dari laut. Di samping itu, terumbu karang berperanan sebagai perlindungan persisir pantai untuk mengurangkan halaju ombak dan menghalang kejadian hakisan. Dengan ini kita dapat mengurangkan masalah tanah runtuh di persisiran pantai dan mengekalkan landskap sedia ada.

Pada zaman ini, terumbu karang merupakan tarikan untuk pelancong. Tahun 1998, pantai merupakan destinasi popular untuk pelancongan. Dengan ini kita dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat melalui aktiviti pelancongan di kawasan terumbu karang. Terumbu karang juga menyediakan kawasan yang selamat dan penuh dengan makanan untuk tumbesaran anak-anak ikan. Terumbu karang juga merupakan kawasan yang kaya dengan makanan dan perlindungan kepada pelbagai spesies hidupan marin. Sehubungan itu, adalah penting bagi kita memelihara kawasan perairan dan hidupan akuatik.

USAHA MEMELIHARA

Di Malaysia, kawasan terumbu karang digazetkan sebagai Taman Marin untuk memastikan ianya sentiasa dipelihara. Salah satu contoh Taman Marin yang ada ialah Taman Marin Tunku Abdul Rahman di Kota Kinabalu Sabah. Terumbu karang terbesar di dunia terletak di Queensland, Australia.

Seterusnya, usaha memelihara terumbu karang yang boleh dilaksanakan ialah mewujudkan taman laut. Taman laut membolehkan usaha pemuliharaan sumber-sumber laut yang telah mengalami ancaman kepupusan atau kecacatan. Dengan ini, karang yang terdapat di taman laut boleh mencapai tahap kematangan tanpa dirosakan atau diganggu pertumbuhannya.

Pada tahun 1995, kerajaan telah mewartakan 38 buah pulau di Malaysia sebagai Taman Laut. Tujuannya adalah bagi memastikan tahap penjagaan dan pemulihan yang rapi dan teratur di samping melarang aktiviti-aktiviti yang boleh merosakkan terumbu karang di kawasan tersebut. Kita tidak boleh mengharapkan pihak kerajaan semata-mata untuk menjaga dan memulihara terumbu karang. Kita sendiri boleh memainkan peranan untuk memulihara terumbu karang dengan cara yang mudah.

Elakkan membuang sampah ataupun sisa ke dalam sungai dan laut. Gunakan tempat membuang sampah yang sesuai. Di samping itu, amalkan mengitar semula bahan-bahan tidak terpakai seperti botol dan tin. Elakkan daripada membeli perhiasan atau permainan yang diperbuat daripada batu karang. Apabila kita pergi berkelah di tepi pantai, jangan mengutip batu karang, siput ataupun hidupan yang lain yang terdapat di tepi pantai. Elakkan mengguna sabun secara berlebihan kerana air yang mempunyai campuran air sabun yang tinggi boleh mencemar air laut dan akhirnya mengancam terumbu karang.

Jika kita pergi berkelah di tepi pantai patuhilah petua "jangan mengambil apa-apa pun kecuali mengambil gambar dan jangan tinggalkan apa-apa pun kecuali bekas tapak kaki" Sempana Tahun Terumbu Karang Sedunia 1997 (International Year of the Reef 1997, marilah kita bersama-sama meningkatkan pengetahuan tentang terumbu karang dan usaha kita untuk mengekalkan keaslian, kecantikan dan keunikan terumbu karang.

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails