JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 November 2011

ISU UMUM : MALAYSIA TIDAK PERLU SERTAI INISIATIF KESELAMATAN PENULARAN SENJATA

PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara


SEPILOK ORANGUTAN SANCTUARY

Sememangnya usaha Washington untuk memujuk Kuala Lumpur menyertai Inisiatif Keselamatan Penularan Senjata (PSI) tidak pernah padam kerana berbagai usaha telah dilakukan dengan harapan Malaysia walaupun negara kuasa kecil dan tidak mempunyai kemampuan senjata nuklear menyertai gagasan yang diasaskan oleh Amerika Syarikat (AS) itu. Setiap pemimpin tertinggi AS yang melawat Malaysia sudah pasti tidak akan melepaskan peluang berbincang serta memujuk supaya Kuala Lumpur mengubah fikiran. Ketika Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton melawat Malaysia pada November tahun lepas, sudah pasti isu PSI mungkin merupakan agenda perbincangan. Begitu juga Robert Gates pada ketika itu adalah Setiausaha Pertahanan AS yang membuat lawatan selepas Hillary sudah pasti menggunakan peluang untuk menimbulkan isu yang serupa. Tetapi apa yang pasti adalah apabila Penasihat Khas AS Mengenai Penularan Senjata Nuklear Robert Einhorn yang melakukan lawatan ke Malaysia pada Februari lepas, isu PSI adalah antara agenda utama beliau.

Paling terkini usaha memujuk dilakukan sendiri oleh Presiden Barack Obama ketika mesyuarat dua hala Malaysia-AS sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 yang diadakan di Nusa Dua, Bali beberapa hari lepas. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa walaupun Malaysia bukan sebahagian daripada PSI tetapi sama sekali tidak akan membenarkan pihak lain menjadikan Malaysia sebagai pusat transit barangan terlarang senjata pemusnah besar-besaran (WMD). Tambah Najib, Malaysia mempunyai perundangan yang agak mantap untuk menangani isu penularan WMD terutama sekali yang melibatkan isu dwi-penggunaan, iaitu teknologinya boleh digunakan sama ada untuk membangunkan WMD atau tujuan komersial. Undang-undang Perdagangan Strategik yang diluluskan oleh Parlimen pada April 2010 adalah bukti jelas hasrat Kuala Lumpur selari dengan matlamat PSI. Tetapi amat menarik apabila Najib berkata: "Obama meminta kemungkinan Malaysia menyertai Proliferation Security Initiative (PSI) dan Malaysia menegaskan sedang mengkaji implikasinya".

Hal ini menarik perhatian kerana ada sebabnya mengapa Kuala Lumpur sehingga hari ini masih tidak menyertai PSI setelah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada tahun 2003. Pada ketika ia mula diperkenalkan hanya 11 negara menyertai PSI yang kesemuanya adalah sekutu kuat AS. Tetapi hari ini terdapat 97 negara menyertai gagasan ini kerana pada asasnya hasrat menyekat penularan WMD yang menjadi matlamat PSI sepatutnya disokong. Negara ASEAN seperti Singapura, Brunei dan Filipina menyertai PSI tetapi Thailand dan Indonesia adalah bersama-sama dengan Malaysia berada di luar gagasan tersebut. Isu utama mengapa Kuala Lumpur berat hati adalah kerana PSI tidak berada dalam naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Walaupun prinsip asas PSI menekankan bahawa aktiviti hanya dilaksanakan jika ia tidak bertentangan dengan undang-undang negara masing-masing, tetapi wujud beberapa perkara yang bertentangan dengan peruntukan sedia ada PBB.

Contoh paling ketara adalah aktiviti utama PSI iaitu memberi mandat kepada negara ahli untuk menahan kapal yang disyaki membawa bahan WMD di perairan antarabangsa adalah bertentangan dengan Konvensyen PBB Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) yang memberi jaminan laluan selamat dan bebas kepada semua pihak. Masalah mengenai penahanan kapal yang disyaki timbul kerana maklumat perisikan lazimnya disalurkan oleh AS dan timbul tuduhan bahawa Washington mengambil pendekatan berat sebelah dengan hanya menyasarkan negara tertentu sahaja. Jika diteliti sejarah penahanan kapal oleh negara PSI tuduhan berat sebelah tidak jauh lari daripada kebenarannya. Begitu juga dengan isu dwi-penggunaan akan timbul kerana sukar untuk membuktikan peralatan atau bahan yang dibawa akan digunakan untuk membangunkan WMD. Ini adalah kerana peralatan atau bahan untuk membuat WMD banyak digunakan oleh industri minyak dan gas. Penahanan oleh negara ahli PSI sudah pasti akan menimbulkan masalah kerana melanggar kehendak UNCLOS.

Malaysia adalah sebahagian dan penyokong kuat konvensyen PBB tersebut manakala AS menolak kewujudan UNCLOS. Agak aneh juga apabila Washington memberi jaminan bahawa Laut China Selatan akan dijadikan laluan selamat dan bebas sebagai amaran tersirat kepada pengaruh China tetapi tidak pula menyertai UNCLOS. Begitu jelas sekali tindakan Najib mengenai PSI adalah manifestasi kepada pendirian Kuala Lumpur yang tidak akan menggadaikan prinsip serta pendirian yang dipegang selama ini meskipun terdapat usaha untuk meningkatkan hubungan yang lebih rapat dengan AS di era pentadbiran beliau. Jika diungkit kembali, pendirian Kuala Lumpur yang berani menongkah kehendak Washington telah banyak kali berlaku demi peruntukan undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara. Pada 2004 umpamanya AS mahu memperkenalkan Inisiatif Serantau Keselamatan Maritim (RMSI) yang antara lain membenarkan penggunaan tentera Marin AS sebagai usaha untuk menghapuskan kegiatan lanun di Selat Melaka. Inisiatif tersebut gagal dilaksanakan ekoran bantahan dari negara pesisir iaitu Malaysia dan Indonesia walaupun disokong kuat oleh Singapura. 


Begitu jelas pendirian Kuala Lumpur bahawa perkara yang melibatkan kedaulatan negara sama sekali tidak akan dikompromi. Maka tuduhan bahawa Malaysia sanggup berbuat apa sahaja semata-mata untuk berbaik dengan AS adalah tidak benar sama sekali dan isu PSI adalah manifestasi terkini. Tetapi Kuala Lumpur akur hubungan baik ini boleh digunakan untuk mempengaruhi Washington supaya lebih bersikap adil dan telus lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan dunia Islam.


SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 NOVEMBER 2011



Tiada ulasan: