21 November 2011

ISU UMUM : DIMANAKAH SEMANGAT KESUKANAN RAKYAT INDONESIA?

Oleh Saharudin Musthafa


Tidak terlalu sukar bagi sesiapa sahaja untuk mendasari perasaan rakyat Indonesia berhubung sentimen mereka terhadap Malaysia. Kenyataan yang amat jelas, rasa anti mereka kepada negara jiran yang selama ini dianggap sebagai teman serumpun sekadar di bibir semata-mata. Sehinggakan gelanggang bola sepak terus menjadi medan untuk menterjemahkan rasa benci yang sukar dibendung terhadap Malaysia – sebuah negara kecil yang hanya didiami 28 juta orang berbanding Indonesia yang dihuni 240 juta orang. Apa sebetulnya salah Malaysia? Bukankah gelanggang sukan yang sewajarnya diiringi semangat kesukanan dan bukannya ejekan serta kata nista? Kenapa terlalu sukar untuk mereka menghormati lagu kebangsaan Malaysia ketika dimainkan sebelum perlawanan bola sepak di padang Gelora Bung Karno, Jakarta? Puas saya cuba memahami hal itu ketika berada dalam kelompok besar 100,000 penonton tempatan di gelanggang itu pada 17 November 2011 lalu. Rasa sedih sukar digambarkan kerana rasa hormat tiada lagi terhadap jiran yang berkongsi banyak hal yang serupa.

Saya bersendirian ketika itu. Teman-teman media dari Malaysia yang lain sudah berpecah kerana penonton terlalu sesak. Tempat duduk yang dikhususkan untuk media juga sudah diserbu oleh penonton biasa. Bahkan, rasa gembira kerana kejayaan pemain pasukan bola sepak Malaysia, Syahrul Azwari menjaring gol tunggal negara membenamkan Indonesia untuk melangkah ke separuh akhir bola sepak selaku juara Kumpulan A sempena Sukan SEA Khamis lalu juga diraikan saya sendirian. Sekalipun perlawanan itu berlangsung cukup adil namun, penonton Indonesia tetap memilih untuk menolak keputusan itu. Lantaran itu, tercetus suasana yang kurang sihat dengan pelbagai provokasi termasuk perkataan Maling! Maling! (pencuri) ditujukan kepada Malaysia. Apakah menjadi kesalahan skuad kebangsaan bawah 23 tahun seandainya mereka cemerlang di padang bola? Wahai teman-teman Indonesiaku, apakah salah kami? Di mana semangat kesukanan kalian? Malam ini, 21 November 2011, satu lagi perlawanan penting yang akan sekali lagi menyaksikan pasukan Malaysia bakal berdepan dengan Indonesia.

Kedua-dua pasukan akan berentap untuk memburu pingat emas bagi acara yang sentiasa menjadi tumpuan segenap pencinta sukan. Kami rakyat Malaysia akan sentiasa bersedia menerima apa sahaja keputusan perlawanan itu. Yang pasti Harimau Muda tidak akan gentar dengan keegoan Garuda Muda. Doa rakyat Malaysia juga pastinya akan mengiringi wira-wira kami untuk berhadapan dengan provokasi melampau dan kebiadapan penonton tempatan. Benar, anda mempunyai hak untuk memberi sokongan kepada pasukan anda. Kalau rakyat Malaysia berada di tempat anda sekalipun, mereka akan pasti melakukan hal yang serupa. Namun, terlupakah anda bahawa stadium kebanggaan anda itu menerima kehadiran tetamu dari negara luar. Kalau sekalipun terlalu menyampah dengan kami, sekurang-kurangnya berilah rasa hormat kepada tetamu anda. Sejarah hubungan kasih dan benci antara Malaysia dengan Indonesia bukan baru. Kedua-dua negara berjiran yang akrab ini melalui sejarah yang panjang.

Dan gelanggang sukan sering menjadi platform untuk rakyat Indonesia (barangkali bukan semua) meluahkan rasa anti terhadap Malaysia. Sepanjang Sukan SEA ke-26 yang ketika ini sedang berlangsung di Jakarta dan Palembang juga, terjemahan rasa kurang senang itu terus diperlihatkan mereka. Sekalipun, Indonesia sebagai tuan rumah telah mendahului negara-negara lain untuk berada di kedudukan teratas, namun entah sihir apa yang merasuk mereka untuk tetap berdendam dengan Malaysia. Yang lebih menjelikkan lagi ialah, keegoan itu bukan hanya datang daripada penonton atau penyokong sukan negara itu. Sebaliknya, pelatih, pegawai sukan dan individu-individu lain yang terlibat dalam kejohanan sukan terbesar Asia Tenggara itu turut membawa sama ego mereka untuk merendah-rendahkan kemampuan Malaysia. Ketika mengadakan liputan pertandingan bola sepak Piala Suzuki hujung tahun lalu juga, suasana yang sama turut dirasakan. Itu belum lagi mengambil kira perlawanan-perlawanan lain yang mungkin tidak mampu untuk ditulis semuanya di ruangan kecil ini.

Gangguan-gangguan kebiadapan segelintir penonton dengan aksi yang memualkan membuatkan sekelompok kecil rakyat Malaysia yang berada di gelanggang untuk memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan tertanya-tanya di mana semangat kesukanan rakyat Indonesia? Lebih mencetuskan rasa sedih, kebencian itu akan tetap ditunjukkan biarpun pasukan Malaysia berlawan dengan pasukan negara-negara lain dalam pelbagai acara sukan lain yang dipertandingkan. Sebagai tuan rumah kepada kejohanan sukan itu, rakyat Indonesia berhak untuk menyokong sesiapa. Kita tidak berniat untuk memaksa mereka menyokong Malaysia. Jika ada yang menghulurkan sokongan, salam terima kasih buat mereka. Yang seharusnya dipupuk masyarakat yang sentiasa mendakwa Malaysia gemar ‘mencuri’ semua hak mereka di muka bumi ini ialah menghormati tetamu yang berkunjung ke rumah anda. Saya kurang senang dengan sikap segelintir rakyat Indonesia yang tidak mahu menghormati bendera negara kita, Jalur Gemilang, lagu kebangsaan Negaraku dan juga tidak pernah sensitif dengan hati dan perasaan rakyat Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 NOVEMBER 2011

Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails