Pengikut

23 November 2011

ISU SUKAN : MEMPERKASA PROFESIONALISME SUKAN NEGARA

Oleh KHAIRUDDIN MOHD ZAIN
PENULIS ialah pemerhati sosial.


KUARTET 4 X 400 METER
 S. Kannathasan, P. Yuvaraaj, Schezuan Ahmad Rosely dan Mohd Yunus Lasaleh

Sukan SEA akan melabuhkan tirai di Palembang-Jakarta pada hari ini, 22 November 2011. Sesetengah atlet yang sudah menamatkan acara masing-masing, sudah pun kembali ke tanah air. Apa yang berlaku kepada kuartet 4 X 400m negara sememangnya satu 'tragedi kecil' dalam usaha kita meletakkan martabat sukan di tahapnya yang tertinggi. Ketidakhadiran keempat-empat wira negara tersebut untuk menerima kilauan emas, membayangkan kelemahan pengurusan yang sangat nyata. Benar, mereka mungkin tidak menganggap insiden tersebut sebagai sesuatu yang besar, namun apakah kita mahu kelemahan- kelemahan pengurusan sukan seperti ini terus berlaku dalam senario sukan negara. Demikianlah juga rintihan Noraseela Khalid (pemenang 4 kali acara 400m berpagar) Sukan SEA dengan kelemahan badan sukan berkenaan dalam mengurus kebajikan para atlet. Apa yang disampaikan oleh Noraseela tidak boleh dipandang sepi - apatah lagi dianggap sebagai 'kurang ajar' dan tidak patuh kepada arahan persatuan sukan.

Noraseela harus percaya bahawa majoriti rakyat juga semakin muak dan mual dengan sikap sesetengah pimpinan badan sukan yang menganggap jawatan sebagai 'platform' mereka mendapat pengaruh dan kepercayaan. 'Jiwa sukan' mereka sangat-sangat diragui. Malahan, ramai juga yang menganggap mereka ini hanya menggunakan badan sukan untuk mencapai kepuasan peribadi. Kelompok politikus khususnya yang menggunakan badan sukan sebagai magnet pengaruh dan tempat melampias dahaga liputan media sudah tidak patut ada lagi dalam rentak 'transformasi' yang sering diungkap oleh pimpinan negara. Mungkin ada benarnya, pengaruh dan kedudukan ini penting dalam memastikan tajaan yang tidak pernah surut kepada badan-badan sukan tertentu. Namun, tajaan tidak semestinya menjanjikan pengurusan sukan yang tinggi tahap profesionalisme dan tata kelolanya. Malahan, nama-nama yang rosak dengan isu-isu rasuah dan sebagainya, akan hanya merosakkan 'imej' sukan yang sewajarnya bersih dan bebas daripada bayang gelap rasuah dan sebagainya.

'Jiwa dan semangat kesukanan' ini bukannya boleh dijual beli. Ia mestilah dizahirkan dengan kesungguhan, komitmen, iltizam dan jiwa besar untuk melihat sukan tersebut mencapai tahap yang tertinggi. Ini tidak, sesetengah wajah pemimpin badan sukan hanya akan muncul ketika pasukan/individu tertentu mencapai kemenangan. Rakyat amat mengharapkan, pasca Sukan SEA nanti akan menyaksikan kesungguhan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menilai kembali bukan sahaja prestasi atlet, namun juga meliputi kesungguhan kepimpinan badan sukan. Badan-badan sukan, khususnya di peringkat negeri dan kebangsaan sewajarnyalah diinduki oleh mereka yang benar-benar komited dengan sukan yang berkenaan. Bukannya mereka yang hanya menggunakan badan sukan untuk tujuan yang lain. Profesionalisme pengurusan sukan perlulah menjadi sebahagian daripada budaya 'kesukanan' masyarakat Malaysia. Sudah sampai masanya, badan-badan sukan menjadi lebih selektif dan tidak melantik kepimpinan badan sukan atas dasar 'persahabatan' dan 'komitmen kewangan' yang dijanjikan semata-mata.

Apatah lagi, jika setelah beberapa tahun menjawat jawatan yang berkenaan, kita gagal melihat sebarang usaha 'pembangunan' dilakukan di peringkat yang lebih muda. Satu contoh klasik adalah sebuah skuad yang bukan sahaja gagal menepati sasaran, malahan tewas lebih awal kepada pasukan yang tidak pun terkenal dengan sukan terbabit - mudah menyalahkan penonton dan penganjuran tuan rumah. Apakah sukan tersebut sahaja yang diejek-ejek oleh penonton tuan rumah? Apakah mereka lupa bahawa skuad bola sepak kita pernah berjaya; walaupun berdepan dengan intimidasi dan provokasi yang maha hebat oleh penyokong tuan rumah? Alasan-alasan yang murah seperti ini hanya menunjukkan semangat melawan yang lemah, bukan sahaja di kalangan pemain, malahan pimpinan dan pengurusan badan sukan. Peranan pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dirasakan perlu diberikan perluasan amanah, agar tidak semata-mata mengendalikan soal pendaftaran badan sukan; malahan diberikan autoriti untuk menilai kepimpinan badan sukan secara menyeluruh.

Ini termasuk soal pemerolehan penajaan, pembangunan sukan di peringkat umur tertentu, tata kelola kewangan yang telus, imej badan sukan dan pencapaian yang diperolehi oleh badan-badan sukan tertentu. Amat malang sekali, sekiranya badan sukan tertentu hanya wujud pada nama, tetapi tidak pada program pembangunan di peringkat akar umbi. Dalam memastikan tahap profesionalisme badan sukan berada di tahapnya yang tertinggi, kita tidak boleh sama sekali berkompromi dalam soal-soal melibatkan tata kelola dan tadbir urus yang cemerlang. Setakat tahun 2011 sahaja, hampir 25 badan sukan pelbagai peringkat (daerah, negeri dan kebangsaan) diberikan arahan pembatalan oleh Pesuruhjaya Sukan. Langkah ini bolehlah disifatkan sebagai baik dan wajar. Dalam pada kita menuju tahap profesionalisme sukan yang tinggi; kalangan yang mengamalkan tadbir urus yang sub-standard wajar diberikan hukuman. Statistik pembatalan badan sukan sepanjang tiga tahun yang lalu menunjukkan trend yang semakin menurun.

Ini sekali gus memberi makna, bahawa tindakan yang diambil oleh pejabat Pesuruhjaya Sukan ini sedikit sebanyak mendatangkan kesan yang baik. Bersesuaian dengan semangat pelaksanaan Akta Pembangunan Sukan 1997, kita mahu melihat peranan Pesuruhjaya Sukan yang lebih proaktif dalam memastikan 'sukan' tidak lagi menjadi tempat berlonggoknya kepimpinan yang tidak mempunyai jiwa dan semangat kesukanan yang sebenar. Jika perlu diwujudkan kaedah 'audit yang menyeluruh', ia wajar diberikan pertimbangan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Hati dan perasaan rakyat berasa amat bangga dengan 'wajah-wajah generasi baru' sukan yang mempunyai semangat melawan dan kesungguhan luar biasa. Kemenangan pasukan hoki remaja sewaktu merebut Piala Sultan Johor baru-baru ini boleh dijadikan contoh. Peminat akan dengan sendirinya hadir di gelanggang jika semangat kesukanan yang ditunjukkan adalah tinggi dan tidak mudah mengalah. Kalah menang adat bertanding; namun biarlah ia dilakukan dengan bermaruah dan bersemangat waja.

Cerita-cerita ketidakpuasan hati, kelemahan-kelemahan yang ada sepanjang Sukan SEA perlu dijadikan asas untuk KBS menyusun pelan tindakan susulan yang lebih berkesan. Strategi paling baik adalah mewujudkan kerjasama jangka panjang antara KBS-Kementerian Pelajaran; KBS-Kementerian Pengajian Tinggi; dalam memastikan sukan akan menjadi suatu budaya yang berpanjangan. Pelan khas 'Transformasi Kepimpinan Sukan' wajarlah dijadikan modul yang khusus selepas ini. Mereka yang sudah jelas tidak inovatif dan selesa dengan budaya kerja lama; perlu memberi ruang kepada mereka yang lebih wibawa dan komited dengan sukan yang terbabit. Mereka yang punya pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa, pernah mewakili negara juga wajar diberikan 'ruang' untuk mengetengahkan cadangan dan pelan bertindak yang lebih konsisten.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails