23 November 2011

ISU SUKAN : MELETAK KEYAKINAN TINGGI BOLA SEPAK MALAYSIA

Azman Anuar



Barisan Harimau Muda yang merentap keegoan pasukan 
bola sepak Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, 
Jakarta, 21 November 2011

“Mereka tidak menghormati kamu, mereka tak hormat bendera kita, mereka tak hormat Raja kita dan mereka tak hormat ibu bapa kita. Kalau kamu benarkan ini terjadi, maka kamu adalah pengecut. Kamu sebagai rakyat Malaysia mesti ajar mereka. “Kita berjaya tewaskan mereka bukan sekali tapi dua kali di hadapan penyokong fanatik mereka. Kita tunjukkan pada mereka macam mana nak lakukannya.” Itulah ungkapan kata-kata pembakar semangat Ong Kim Swee kepada skuad Harimau Muda kita untuk berdepan dengan pemain Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dalam final bola sepak Sukan SEA Ke-26 kelmarin. Pemain muda kita diasak begitu hebat oleh 100,000 penyokong Indonesia. Sebelum perlawanan lagi, mental pemain Harimau Muda kita didera teruk oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Negaraku dimainkan. Dalam mengharungi suasana tegang begitu, kata-kata pembimbing skuad bawah 23 tahun kita itulah menjadi api yang sentiasa membakar semangat untuk pemain bermain bermati-matian hingga ke babak masa tambahan dan penentuan tendangan penalti.

Syukur alhamdulillah, akhirnya Harimau Muda Malaysia berjaya menewaskan Garuda Muda Indonesia 4-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1. Kata-kata Kim Swee itu telah mengiringi api perjuangan dan semangat kental anak muda kita melawan pemain Indonesia dan lautan gema suara penyokongnya. Mungkin penyokong fanatik di sana masih tidak dapat melupakan apabila di Stadium Gelora Bung Karno jugalah tempat pasukan Indonesia ditewaskan oleh skuad Harimau Malaya yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, Disember tahun lepas. Ketika itu anak-anak didik K. Rajagobal berjaya menundukkan ‘sang garuda’ di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia apabila Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan Piala Suzuki edisi kelapan melalui kemenangan agregat 4-2. Kini giliran Kim Swee pula memaksa penyokong Indonesia menelan kepahitan apabila ditewaskan lagi di stadium keramat mereka sendiri. Barisan Harimau Muda telah beraksi cemerlang bagi menghalang hajat Indonesia untuk merangkul pingat emas bola sepak yang dianggap ‘ibu segala pingat emas’ Sukan SEA.

Tiada emas bola sepak, kurang bermakna walau dinobat menjadi juara keseluruhan Sukan SEA Ke-26. Rakyat Malaysia pasti berasa puas dan bangga. Kejayaan merangkul emas bola sepak Sukan SEA sekurang-kurangnya dapat menutup mulut media dan peminat Indonesia yang rakus melancarkan provokasi ke atas skuad kita. Apa pun, pencapaian pasukan Harimau kita wajar dibanggakan. Dalam tempoh tiga tahun kita sudah pegang tiga kejuaraan – juara bola sepak Sukan SEA Laos 2009, juara Piala Suzuki AFF 2010, dan terbaru juara bola sepak Sukan SEA Jakarta 2011. Kita telah membuktikan kejayaan besar dicapai dalam bola sepak Asia Tenggara ini bukanlah kerana nasib semata-mata. Ini adalah kemenangan mutlak. Semua ini adalah hasil perancangan sistematik dan gigih di kalangan pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Ia tidak datang dengan sendiri. Setelah mengharungi tahun-tahun malap, dikutuk dan dikritik pelbagai penjuru, tibalah masa untuk Harimau menunjukkan taringnya di pentas antarabangsa yang lain. Mulai hari ini juga kita tak usah lagi malu-malu untuk katakan Malaysia adalah ‘Raja Bola Sepak ASEAN.’

Kalau tiap-tiap tahun skuad Harimau Muda atau Harimau Malaya dapat menjuarai sesuatu kejohanan, alangkah bagus. Kalau boleh, biarlah kejayaan Malaysia berterusan hingga muncul semula menjadi kuasa bola sepak di rantau Asia dan antarabangsa. Cabaran dan tumpuan kita selepas ini ialah membentuk sebuah pasukan yang ‘serba menjadi’ sepanjang 2012 untuk mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 dan persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2015 bermula awal 2013. Semua orang tahu, bola sepak ialah sukan nombor satu Malaysia dan rakyat amat menanti-nantikan sebarang perkembangan mengenai sukan ini. Rakyat kita tidak boleh menerima alasan jika skuad Harimau negara tidak mampu menewaskan negara kerdil bola sepak sedangkan kita mempunyai kemudahan bertaraf dunia dan terbaik di rantau ini. Apatah lagi mengalah tanpa melawan. Harapan peminat bola sepak Malaysia cukup tinggi. Rakyat menaruh keyakinan pada skuad Harimau untuk memulih maruah sukan nombor satu negara. Sebab itu dapat dilihat semakin ramai anak muda berasa bangga memakai jersey Malaysia yang berwana ’kuning hitam’ atau ‘merah biru dan putih’.

Sekali lagi, syabas Harimau Muda!

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
23 NOVEMBER 2011

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails