28 November 2011

ISU IPT : GELAP MATA TENGOK DUIT ... MASYARAKAT TIDAK BOLEH MENEGUR ... BERBELANJA HAK MEREKA

Oleh Ruhaiza Rusmin


FILEM BUNOHAN 
PEMENANG ANUGERAH NETPAC
FESTIVAL FILEM GOLDEN HORSE TAIPEI 


Seorang  rakan penulis hampir pengsan melihat jumlah pinjaman berjumlah puluhan ribu ringgit yang terpaksa dibayar sepanjang tiga tahun belajar di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan. Dengan nada kesal dia berkata; “Jika aku tahu, pasti duit pinjaman itu dibelanjakan dengan bijak supaya tidak sengsara kemudian hari.” Senario menimpa rakan penulis itu bukanlah luar biasa kerana sebahagian besar mahasiswa gelap mata apabila menerima wang pinjaman setiap semester. Biarpun tujuan utama pinjaman itu untuk meringankan bebanan sepanjang pengajian terutama membayar yuran, penginapan dan makanan, ramai tersasar dengan membeli barangan peribadi. Akibat terlalu boros berbelanja dan mengikut hawa nafsu, ramai yang menderita kerana terpaksa membayar balik pinjaman. Mahasiswa Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Zalikha Ismail, 22, berkata bukan tidak bijak merancang perbelanjaan namun godaan luar menyebabkan mereka hilang pertimbangan.

Menurutnya, sebagai orang muda, mereka tidak dapat menolak keinginan terhadap sesuatu sehingga gelap mata melihat wang. “Sikap ini menyebabkan kami terjerumus kepada sikap boros hingga mengabaikan kepentingan sebagai pelajar. Pada masa sama, terlalu banyak sangat godaan yang menarik untuk berbelanja. “Kami orang muda, sudah tentu mahu kelihatan cantik dan hebat di mata orang lain biarpun terpaksa berhabisan menggunakan pinjaman pendidikan,” katanya. Bukan isu besar apabila mahasiswa mahu membelanjakan wang diterima namun menjadi sebaliknya jika membazir. Antara faktor mengapa mereka boros berbelanja kerana pengaruh rakan dan persekitaran selain iklan yang menggoda di media massa. Disajikan dengan kisah kehebatan, kewajaran dan keistimewaan menyebabkan golongan itu mencuba biarpun kemampuan membeli sangat terbatas. Selain itu, pujukan atau ‘promosi hebat’ rakan juga pasti menggamit keinginan mahu mencuba biarpun terpaksa membelanjakan pinjaman atau meminta bantuan keluarga.

Dia berkata, meskipun ada kesedaran, sukar menepis godaan kerana tarikan lebih hebat daripada berfikir secara wajar. “Setiap hari kami disogokkan dengan pelbagai kisah menarik dari pelbagai arah, bukan saja kami boleh kalah, malah orang lain yang mempunyai pendapatan tetap juga kecundang. “Kekurangannya ialah kerana kami tidak mempunyai pendapatan tetap, itu yang memperlihatkan keburukan lebih ketara berbanding kelompok lain. “Kami dilabelkan boros biarpun apa yang dibeli itu tidak mahal atau mampu dimiliki bersesuaian dengan bajet kewangan,” katanya mengakui kebanyakan mahasiswa juga sering berhabis untuk membeli keperluan belajar. “Biarpun memperoleh pinjaman, ada kalanya ia tidak mencukupi terutama membiayai keperluan kursus tertentu. Itu juga salah satu sebab kewangan tidak mencukupi hingga terpaksa meminta dari ibu bapa. “Namun, adakah masyarakat tahu keperluan kami? Saya percaya hanya sedikit yang memahami sedangkan lain beranggapan kami boros berbelanja dan menghabiskan wang sesuka hati. “Biarpun mengakui ada yang terlebih boros, bukan semuanya untuk keseronokan semata-mata kerana lebih kepada keperluan pengajian,” katanya.

Adakah ini bermakna masyarakat tidak boleh menegur? Katanya, mereka perlu lebih bersikap adil dan tidak terlalu prejudis apabila melihat mahasiswa membelanjakan duit. “Bukanlah masyarakat tidak boleh berbuat demikian namun ada kalanya ia cukup tidak adil dan mengguris hati dengan tanggapan kurang benar. “Adakah membazir membeli pakaian baru sedangkan ia satu keperluan. Percayalah, sebahagian besar kami tidak akan sewenang-wenangnya menghabiskan duit. “Kebanyakan hanya membeli jika ia murah namun ada yang terlebih boros semata-mata untuk kepuasan diri atau tidak pandai menghargai duit,” katanya. Mengenai gender pula, dia mengakui wanita lebih boros berbanding lelaki namun tertumpu pada pembelian tertentu seperti aksesori, tekstil dan kasut. “Semuanya lebih menjurus untuk kelihatan bergaya dan cantik pada pandangan orang lain. Mungkin tidak kena pada masanya namun ini salah satu cara untuk tampil lebih berkeyakinan. “Berbanding lelaki yang sukakan gajet terkini, apa yang dibeli wanita masih berpatutan dan tidak boleh dipersoalkan keterlaluan,” katanya.

Rakannya, Mohd Ilham Ahmad, 23, dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, berkata menyekat kemahuan mahasiswa daripada terus berbelanja pasti tidak berguna kerana mempunyai sikap mahu mencuba dan bersaing. Menurutnya, biarpun teguran masyarakat berniat baik, segelintir mahasiswa pasti tidak selesa dan menganggapnya sebagai hak individu. “Duit diperoleh adalah hak masing-masing, justeru hujah mereka kukuh untuk mempertahankan tindakan itu tidak salah biarpun akibatnya buruk bagi jangka panjang. “Ada kalanya, mentaliti mahasiswa ini dikongkong dengan rasa ego dan beranggapan sudah dewasa untuk mencorakkan kewangan sendiri, jadi tidak mahu masyarakat campur tangan. “Mereka hanya akan tersedar jika akibatnya sudah buruk, pada masa itulah sedar bahawa nasihat diberikan bertujuan baik,” katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
28 NOVEMBER 2011



Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails