Pengikut

05 November 2011

ISU BAHASA : MBMMBI IMBANGI PENGUASAAN DUA BAHASA UTAMA

Teks ucapan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai soft-landing PPSMI Hasil kajian lapangan dapati murid sukar fahami pengajaran Matematik, Sains dalam BI


LAS CA√ĎADAS – TENERIFE, SEPANYOL


Kerajaan pada 2009 mengambil keputusan memansuhkan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan menggantikannya dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dengan pemansuhan PPSMI, murid di sekolah rendah akan mengikuti pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan, bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Manakala di sekolah menengah, bahasa Malaysia akan digunakan sepenuhnya dalam pengajaran Matematik dan Sains. Untuk membolehkan murid menyesuaikan diri dengan perubahan bahasa dalam tempoh peralihan dasar, Mesyuarat Jemaah Menteri pada Julai 2009 juga membenarkan Kementerian Pelajaran melaksanakan pendekatan soft-landing. Berdasarkan keputusan berkenaan, Kementerian Pelajaran pada 2010 menetapkan dasar MBMMBI dimulakan pada 2011 yang mana murid Tahun Satu pada tahun ini mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya.

Sebagai langkah intervensi untuk mempercepatkan proses peralihan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia pada semua peringkat persekolahan, kementerian juga memutuskan bermula 2012, pelajar Tingkatan Satu akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Bagaimanapun, peralihan kepada bahasa Malaysia pada Tingkatan Satu bermula tahun hadapan menimbulkan kerisauan ibu bapa kerana dibimbangi anak mereka yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris selama enam tahun di sekolah rendah tidak dapat menyesuaikan diri dengan peralihan bahasa secara mendadak. Selepas mengambil kira pandangan ibu bapa, Kabinet pada hari ini memutuskan untuk membenarkan murid sekolah rendah kohort PPSMI meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sepenuhnya, bahasa Malaysia sepenuhnya atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka memasuki Tingkatan Satu bermula tahun hadapan.

Ini bermakna semua murid kohort PPSMI yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris sehingga tamat Tingkatan Lima. Perlu diperjelaskan di sini juga, murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam pada 2012 dibenarkan untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau kedua-dua bahasa di sekolah kebangsaan; bahasa Inggeris, bahasa Cina atau kedua-dua bahasa di SJKC; dan bahasa Inggeris, bahasa Tamil atau kedua-dua bahasa di SJKT seperti yang diputuskan jemaah menteri pada Julai 2009. Bagi murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa, mereka dibenar mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia sepenuhnya. Dengan keputusan ini, pemansuhan PPSMI adalah kekal. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti yang dituntut oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun, kerajaan berharap keputusan yang membenarkan murid kohort PPSMI, iaitu murid Tahun Dua hingga Tingkatan Lima tahun ini untuk meneruskan pembelajaran dalam BI sehingga tamat Tingkatan Lima dapat melegakan hati ibu bapa. Kerajaan yakin dengan keputusan ini pencapaian murid kohort PPSMI dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan terjejas. Dengan pendekatan soft-landing ini, pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada 2021. Kajian Kementerian Pelajaran ke atas semua sekolah di bawah kementerian menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah sudah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan, kurang lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.

Manakala pada peringkat sekolah menengah, kurang sembilan peratus daripada jumlah kelas di 2,192 sekolah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Berdasarkan dapatan ini, kebanyakan murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia. Dapatan kajian ini membuktikan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti yang dihasratkan. Hasil kajian lapangan yang dijalankan kementerian dengan mengumpulkan maklumat melalui pemerhatian di dalam kelas, pengalaman guru dan amalan di bilik darjah serta temu bual murid mendapati murid sukar memahami mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Murid mengambil masa lama untuk memahami konsep Matematik dan Sains kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Ini memaksa guru untuk mengajar dalam bahasa Malaysia supaya murid dapat memahami kedua-dua mata pelajaran terbabit. Masalah seperti ini bukan saja dialami sekolah di luar bandar, tetapi juga di bandar. Oleh yang demikian, sekiranya PPSMI diteruskan, sebahagian besar murid di negara kita tidak akan dapat menguasai ilmu Matematik dan Sains dengan baik dan mereka akan terus ketinggalan.

Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris. Di bawah dasar MBMMBI, kementerian sedang melaksanakan pelbagai inisiatif baru yang lebih efektif untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Antara inisiatif terbabit ialah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris di bawah pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), penyediaan guru, pengambilan penutur jati bagi meningkatkan kapasiti pensyarah dan guru bahasa Inggeris, penyediaan bahan sokongan berkualiti seperti bahan bacaan tambahan dan bahan digital bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Kementerian Pelajaran juga sedang mengkaji beberapa inisiatif baru untuk dilaksanakan seperti program Oracy Skills (OPS-ENG) yang bertujuan untuk meningkatkan penguasaan lisan dalam kalangan murid, kelas berdasarkan Sistem Set, peningkatan kualiti dan kepelbagaian bahan pengajaran, pembangunan profesionalisme guru dan kecekapan pengurusan panitia bahasa Inggeris di sekolah. Kerajaan berharap pemansuhan PPSMI dan pelaksanaan dasar MBMMBI dapat meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ilmu Sains dan Matematik di kalangan pelajar serta mendaulatkan bahasa kebangsaan.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 NOVEMBER 2011


Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails