Pengikut

01 Oktober 2011

ISU SOSIAL : MENCARI POTENSI WARGA EMAS

Oleh OPAT RATTANACHOT


DATARAN RIBUAN PAGODA, 
DI PAGAN, MYANMAR

Di negara kita, orang tua sering dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti warga emas atau golongan veteran. Namun, 'warga emas' merupakan istilah yang paling popular diguna pakai sama ada dalam perbualan harian, urusan kerajaan mahupun media massa. Warga emas secara amnya ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Istilah tersebut turut ditujukan kepada mereka yang telah bersara daripada perkhidmatan iaitu pada umur 58 tahun. Statistik rasmi Banci Penduduk dan Perumahan Negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai lalu mendapati seramai 2,251,216 daripada 28,334,135 penduduk negara kini merupakan mereka yang dikategorikan sebagai warga emas. Ini bermakna, hampir lapan peratus daripada populasi negara ini merupakan golongan sudah berusia. Jumlah berkenaan diunjurkan terus meningkat kepada 12 hingga 15 peratus menjelang tahun 2020 dan 2030. Pada usia tersebut, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat atau menjaga anak cucu di rumah. Tidak kurang mengatakan, mereka tidak perlu bersusah payah untuk turut serta dalam pembangunan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Walaupun dalam usia itu, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.

Melihat kepada kelebihan yang ada pada jumlah warga emas ini, kita harus akui bahawa segala proses pembangunan dan kemajuan negara, tidak dapat tidak, 'suara' golongan berkenaan perlu diambil kira. Mereka bukan sahaja golongan berpengalaman, tetapi yang lebih penting adalah nasihat dan panduan yang berguna kepada generasi lebih muda agar dapat mengharungi cabaran lebih getir. Dalam konteks kerajaan, biarpun peningkatan populasi warga emas belum mendatangkan kesan yang ketara kepada masyarakat secara keseluruhannya, Kabinet sejak tahun 1955 lagi dilihat telah bersiap sedia menghadapi cabaran tersebut. Pelbagai usaha yang diambil seperti pengenalan polisi khusus seperti Dasar Warga Tua Negara (DWTN), Dasar Kesihatan Warga Emas Negara (DKWEN), Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara dan usaha menambah baik Dasar Warga Emas Negara (DWEN). Pengenalan dasar tersebut mempunyai tujuan murni iaitu mahu mewujudkan masyarakat warga emas yang sejahtera, bermaruah dan mempunyai martabat diri yang tinggi. Di samping itu, kerajaan berharap dapat mengoptimumkan potensi diri warga emas dan menentukan mereka menikmati semua peluang malah mendapat perlindungan sebagai salah satu entiti penting dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Pada masa sama, usaha memajukan potensi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan itu dilihat penting bagi memastikan mereka tidak terlalu bergantung kepada anak-anak atau waris lain untuk meneruskan kehidupan. Langkah berkenaan dilihat mampu mengatasi masalah warga emas hidup bersendirian atau merempat tanpa hala tuju. Tidak hairanlah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil baru-baru ini mengambil langkah berani dengan meminta dipercepatkan penggubalan akta untuk melanjutkan umur persaraan petugas swasta dari 55 tahun ke 64 tahun, yang mana turut melibatkan golongan warga emas. Kata beliau, terlalu muda bagi rakyat Malaysia untuk bersara dan sesetengah organisasi memerlukan kakitangan berpengalaman untuk memimpin. "Sektor swasta perlu memanfaatkan peluang ini dengan mengekalkan kakitangan lebih senior dalam organisasi, mereka yang berpengalaman luas untuk mentadbir dan adalah satu kerugian jika orang yang mampu meningkatkan prestasi organisasi itu dilepaskan sebelum waktunya," katanya. Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi agensinya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil langkah prihatin dalam memastikan penjagaan dan perlindungan warga emas terpelihara melalui kewujudan Pusat Penjagaan Harian Warga Emas (PJHWE).

Sehingga kini, terdapat 22 pusat seumpama itu di seluruh negara bagi memberi kemudahan jagaan harian terutama individu yang tinggal berseorangan ketika keluarga atau penjaga keluar bekerja. Dari segi peruntukan pula, kerajaan saban tahun menyalurkan dana untuk merangka program berkesan di samping membantu memastikan taraf hidup warga emas terjamin. Contohnya, dalam program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, lebih 30 peratus daripada peruntukan RM1.4 bilion disalurkan membantu golongan warga emas. Pada 1 Oktober setiap tahun pula, sambutan Hari Warga Emas peringkat kebangsaan diadakan. Sambutan ini merupakan pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. Untuk tujuan itu, kita sebagai anggota masyarakat perlu memberikan sokongan moral kepada warga emas agar terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti supaya dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 OKTOBER 2011


Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails