JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Ogos 2011

ISU KENEGARAAN : TATANEGARA DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

DATUK RUHANIE AHMAD
Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor


Perlembagaan  Persekutuan mengandungi pelbagai peruntukan mengenai susunan sosial, atau adat-susila dan amalan ketatanegaraan, untuk menjamin keharmonian, perpaduan, kemakmuran, keselamatan serta kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk. Susunan ini merangkumi aneka cabang kehidupan, termasuk mengenai Islam dan lain- lain agama; kesamarataan; kebebasan; kewarganegaraan; keselamatan negara, keistimewaan bangsa Melayu dan bumiputera, serta kepentingan-kepentingan sah rakyat bukan Melayu. Peruntukan ketatanegaraan ini penting untuk dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana warganegara Malaysia berbilang bangsa, daripada lingkungan sosio- budaya dan agama yang berlainan, dan memiliki warisan serta sejarah yang berbeza. Ia juga penting kerana menurut Martin Marger (2003:6), konflik etnik adalah ciri-ciri asas dalam sesuatu negara majmuk; dan menurut Stuart Kaufman (2008:201), konflik inilah yang menyebabkan keadaan tidak selamat atau insecurity sejak berzaman lamanya. Menyedari hakikat inilah maka antara aspek penting yang dititikberatkan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perlindungan kepada kedudukan istimewa bangsa Melayu dan bumiputera serta perlindungan kepada kepentingan-kepentingan sah bukan Melayu.

Perlindungan ini, menurut Zelman Cowen (1958:52), adalah kesinambungan kepada peruntukan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang telah dipersetujui oleh wakil seluruh bangsa di era sebelum merdeka. Pemberian perlindungan ini mencerminkan keprihatinan Raja-Raja Melayu dan kepimpinan Perikatan (mutakhir ini Barisan Nasional) terhadap perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan survival negara. Oleh sebab itulah Tunku Abdul Rahman Putra (1987:18) menyifatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai lambang semangat muhibah dan kebijaksanaan yang dimeteraikan secara erat dan penuh takzim oleh semua bangsa di Malaysia. Datuk Prof. Shad Saleem Faruqi (22 September 2010) menegaskan, perlembagaan ini mencerminkan kesederhanaan, keikhlasan serta persefahaman yang berlandaskan semangat tolak-ansur orang Melayu dan bukan Melayu terhadap keistimewaan serta kepentingan masing-masing. Tan Chee Beng (1987:245) pula berpendapat, perlembagaan tersebut memaktubkan pelbagai elemen yang menseimbangkan kepentingan-kepentingan pelbagai etnik sebagai panduan kepada proses pembangunan negara.

Berasaskan keseimbangan kepentingan inilah majoriti warganegara Malaysia memilih hidup penuh muafakat, rukun dan damai, walaupun di era penjajah mereka diasingkan secara terancang oleh pihak British. Tindakan positif ini selaras dengan pendapat Birte Siim dan Judith Squires (2008:2) bahawa kewarganegaraan adalah status yang dianugerahkan dengan hak-hak dan tanggungjawab seseorang untuk menyuburkan perasaan cintakan negara. Bagaimanapun, permuafakatan, kedamaian dan keharmonian ini terjejas apabila mulai 1964 muncul seorang individu yang meniupkan propaganda Malaysian Malaysia yang kemudiannya diumumkan secara rasmi di Singapura pada 6 Jun 1965 oleh enam parti politik, lima daripadanya penentang pembentukan Malaysia. Intipati propaganda ini, kata Ghazali Ismail (1990:11), ialah "seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, budaya dan agama, berhak memperolehi layanan yang sama, berhak menuntut hak yang sama, berhak menikmati apa jua keistimewaan yang sudah diberikan kepada orang-orang Melayu." Sama ada disengajakan atau sebaliknya, propaganda ini menggugat susunan sosio- ekonomi, agama dan siasah yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan sejak tahun 1957.

Menurut Ooi Kee Beng (2006:157), propaganda ini menyebabkan hubungan kaum di Singapura jadi tegang. Patrick Keith (2005: 187) pula menegaskan, Tunku Abdul Rahman pun mengeluarkan kata dua bahawa Singapura mesti disingkirkan daripada Malaysia. Singapura dipisahkan daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 untuk mengelakkan susunan sosio-ekonomi, agama dan siasah dalam Perlembagaan Persekutuan seperti dihuraikan di atas terus terancam. Tetapi, ancaman ini terus menyemarak apabila sebuah parti baru yang diwujudkan pada ketika itu mewarisi propaganda Malaysia Malaysia setelah pemisahan Singapura. Deklarasi Setapak 29 Julai 1967 membuktikan hakikat ini. Maka, inilah sebabnya Majlis Gerakan Negara (1969:xi) menegaskan, tindakan mempolitikkan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Perkara 153 mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera, menjadi salah satu punca tragedi 13 Mei 1969. Tetapi, walaupun tragedi ini adalah titik hitam dalam sejarah yang perlu dijadikan iktibar ke arah pengukuhan survival negara, mutakhir ini wujud warganegara yang bertindak menggugat susunan sosial Malaysia.

Mereka mencabar susunan ketatanegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi tuntutan dan tindakan yang berasaskan prinsip kebebasan dan kesamarataan sejagat - termasuk atas tajaan asing - serta dengan mengenepikan kemajmukan negara. Antara contoh mutakhir termasuklah sokongan kepada kes murtad Lina Joy, perbuatan mempersendakan Perlembagaan Persekutuan kononnya sebagai undang-undang menindas kaum tertentu, dan mengeksploitasikan kebebasan berpersatuan untuk menggugat kerajaan dan ketenteraman awam. Segolongan rakyat Malaysia yang tidak memahami hakikat susunan sosial dalam Perlembagaan Persekutuan dikelirukan untuk menyokong gerakan dan tindakan seperti ini. Perkembangan ini berbahaya dan perlu diatasi segera. Rumusannya, Perlembagaan Persekutuan adalah sumber susunan sosial bagi menjamin keharmonian, perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan survival Malaysia sebagai negara majmuk. Peruntukan ketatanegaraan dalam perlembagaan ini boleh mencetuskan konflik jika dipolitikkan dan ditakrifkan berasaskan konsep kebebasan dan kesamarataan sejagat tanpa mengira kemajmukan negara. Namun Malaysia boleh jadi negara mantap, kukuh, harmoni, selamat dan maju jika peruntukan ketatanegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan ini diterima sepenuhnya sebagai realiti di negara majmuk sejak 1957.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 OGOS 2011

Tiada ulasan: