JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN BERASASKAN SEKOLAH ATASI KECICIRAN MURID


Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap masalah keciciran murid dalam pembelajaran dapat diatasi dengan pelaksanaan sistem Pengurusan dan Pengendalian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terutama dalam menguasai kemahiran 4M, iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.  Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, berkata ini kerana usaha memperkenalkan PBS dalam proses menilai dan mentaksir pencapaian murid adalah langkah penting untuk menentukan tahap penguasaan murid secara bersistematik pada setiap peringkat pengajaran dan pembelajaran. PBS penambahbaikan kepada sistem pentaksiran untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilaksanakan mulai Tahun 1 pada tahun ini dan Tingkatan 1 pada 2012. Langkah ini bersesuaian dengan konsep tiada seorang pun kanak-kanak tercicir seperti diamalkan di Amerika Syarikat.

Berucap pada majlis pelancaran Buku PSP di Bandar Baru Bangi, di sini semalam, beliau berkata, maklumat yang dikumpul dalam pentaksiran yang dijalankan ketika proses pengajaran dan pembelajaran membolehkan guru atau pihak sekolah memberi maklumat balas konstruktif.  Ia juga, katanya, membolehkan guru dan pihak sekolah mengambil langkah susulan yang bersesuaian bagi memastikan kelemahan setiap murid dapat diatasi agar tidak ketinggalan dalam pembelajaran.  Beliau berharap PBS akan menjadi satu daripada instrumen un-tuk menilai pencapaian murid dalam bidang lain selain akademik seperti sukan dan kokurikulum kerana dasar baru yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran seperti Dasar 1Murid 1Sukan akan membantu pihak sekolah mengenal pasti dan mengasah potensi setiap individu dalam pelbagai bidang.  Pencapaian melalui ujian saringan dilaksanakan tahun lalu menunjukkan 85 peratus murid Tahun 1 berjaya dalam aspek membaca, manakala 91 peratus berjaya melepasi saringan dalam mengira. Saya amat berharap murid boleh membaca, menulis dan mengira menjelang 2012 akan mencapai 100 peratus.

SUMBER
BERITA HARIAN
9 JULAI 2011

Tiada ulasan: