Pengikut

16 Mac 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : TELEFON BIMBIT BOLEH ROSAKKAN SPERMA LELAKI


Golongan lelaki mungkin perlu berhati-hati apabila menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar selepas ini berikutan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa tindakan itu boleh membawa kesan kepada sistem reproduktif mereka. CAP mendakwa perbuatan menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar yang sering dilakukan kaum lelaki menyebabkan mereka berdepan risiko kerosakan sperma serta mati pucuk. Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, keputusan itu berdasarkan hasil kajian pihaknya tahun lalu yang menunjukkan kaitan di antara sperma yang berkualiti rendah dengan tempoh penggunaan telefon bimbit dalam sehari. Jelas beliau, hasil kajian itu menunjukkan pengguna yang membuat panggilan lebih daripada empat jam sehari mempunyai bilangan sperma yang paling kurang dan paling rendah kualitinya. 

Penemuan itu menyarankan bahawa berjuta-juta lelaki di dunia kemungkinan menghadapi kesukaran untuk menjadi bapa kerana penggunaan telefon bimbit yang meluas. Oleh itu, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan menjadi satu faktor yang menyumbang kepada penurunan bilangan sperma selain obesiti, merokok, stres, pencemaran dan bahan kimia yang mengganggu hormon. S.M. Mohamed berkata, lelaki yang membawa telefon bimbit yang diletakkan di bahagian tali pinggang atau dalam poket dengan 'keypad' mengarah ke luar pula akan menghadapi kesan yang tinggi kerana antena berada di belakang dan lebih hampir dengan tubuh. Katanya, wanita yang sering meletakkan telefon bimbit di dalam beg sandang yang tergantung di sebelah payu dara turut mendapat kesan terhadap kesihatan dalamannya. Beliau mendakwa pihak pengeluar alat komunikasi itu sendiri telah mengeluarkan peringatan mengenai risiko penggunaannya terhadap kesihatan pengguna. 

Misalnya, syarikat Apple dalam buku panduannya telah memberi amaran kepada pengguna agar menjauhkan Iphone dalam jarak sekurang-kurangnya 15 milimeter daripada tubuh. Syarikat Blackberry pula menasihatkan pelanggannya supaya menggunakan telefon bimbit bebas wayar atau menjarakkannya seinci dari tubuh wanita hamil dan bahagian bawah perut remaja. Bagaimanapun, pengguna masih tidak mempedulikan kesan yang akan mereka tanggung itu. Justeru, S.M. Mohamed menggesa para pengguna supaya tidak menggunakan telefon bimbit kecuali dalam kes-kes kecemasan dan sekiranya perlu gunakan pembesar suara pada jarak 20 sentimeter dari kepala.

1 ulasan:

bijewrit berkata...

Thanks for an idea, you sparked at thought from a angle I hadn’t given thoguht to yet. Now lets see if I can do something with it.

clomid

Related Posts with Thumbnails