JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Februari 2011

ISU SOSIAL : MEMBENTUK JATI DIRI MENGHARUNGI GLOBALISASI, KRISIS IDENTITI


Jati diri akan membentuk ketahanan diri bagi membolehkan seseorang berhadapan hidup yang semakin mencabar dan membentuk ketrampilan diri yang memberi gambaran mengenai sesuatu bangsa atau negara asal mereka. Malangnya, jati diri terutama generasi muda kini semakin terpinggir menyebabkan mereka dilihat tidak memiliki keyakinan diri hingga ada sesetengahnya terjebak dalam krisis identiti. Ketua Dua Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berkata globalisasi yang bercanggah dengan jati diri menggugat usaha membina negara bangsa hingga berlaku kecelaruan dalam menetapkan identiti sesuatu bangsa.

Justeru, kefahaman mengenai maksud jati diri perlu supaya perkataan besar yang membawa maksud pelbagai itu dapat difahami seterusnya diterjemahkan dalam setiap aspek kehidupan rakyat pelbagai bangsa di negara ini untuk membina negara bangsa Malaysia.  “Banyak tafsiran jati diri kerana ada kata jati diri ialah identiti seperti kad pengenalan. Jati diri sebenarnya untuk menjadi insan berdisiplin dan memiliki daya ketrampilan,” katanya pada Forum Jati Diri yang membincangkan tajuk ‘Jati Diri Pelajar Dalam Konteks Gagasan 1Malaysia’.  Oleh itu, katanya, gagasan 1Malaysia bukan mainan politik, sebaliknya usaha membina kekuatan jati diri melalui semangat patriotisme, kasih sayang dan mentaati undang-undang negara seperti termaktub dalam Perlembagaan serta Rukun Negara.  Forum Jati Diri anjuran bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JPN), Berita Harian, GAPENA, Persatuan Sarjana Komunikasi Malaysia (PERSKOM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ahli panel yang turut menjayakan forum kali ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr Ahmad Faiz Abdul Hamid. Sesi forum dipengerusikan Ketua Pengarah JPN, Datuk Abdullah Morad.  Abdul Latif berkata, jati diri boleh dibahagikan kepada perwatakan yang nampak seperti pakaian dan perwatakan tidak nampak membabitkan emosi atau karakter seseorang hasil dan terbentuk daripada latar belakang keluarga serta persekitaran.  Katanya, perwatakan nampak dan tidak nampak itu menentukan ketrampilan individu yang mewakili bangsa, budaya, etnik seterusnya diperkenalkan sebagai jati diri Malaysia.  “Contohnya, baju kebangsaan tidak dikaitkan dengan emosi dan perwatakan kerana semua rakyat negara ini tidak kira bangsa memakai baju kebangsaan. Ini menunjukkan hidup yang sopan santun melalui pakaian saja,” katanya.

Katanya, mahasiswa perlu menguatkan jati diri dengan mengamalkan cara hidup bangsa Malaysia antaranya bertutur secara halus dan bersopan terutama ketika berinteraksi dengan pensyarah dan sesama rakan mahasiswa.  Beliau berkata, jika di kampung pelajar boleh mengamalkan gaya hidup bersopan santun, perlakuan itu sepatutnya terus kekal ketika berada di universiti, bukan mengubah gaya hidup yang bercanggah dengan jati diri sebagai pelajar.  Justeru beliau menyarankan mahasiswa menganjurkan aktiviti untuk memastikan jati diri dan semangat patriotisme terus tumbuh segar dalam diri setiap individu seperti mengadakan program memakai baju kebangsaan di institusi pengajian tinggi (IPT).  “Kita jangan jadi orang putih yang menunjukkan kasih sayang dengan cara menendang atau bantai kepala. Ini bukan jati diri kita. Kerajaan ingin kita bersatu padu dengan membentuk satu jati diri rakyat Malaysia berlandaskan kepada Perlembagaan.

“Ini termasuk menghormati pucuk pimpinan, terutama institusi Raja Melayu kerana Raja bukan untuk orang Melayu semata-mata, tetapi Raja kepada rakyat. Sekarang ada segelintir rakyat tidak menghormati Raja dan ini bercanggah dengan jati diri kita,” katanya.  Katanya, dalam konteks 1Malaysia ada nilai aspirasi patut dimiliki mahasiswa seperti komitmen untuk meningkatkan prestasi tinggi yang relevan dengan keperluan mahasiswa semasa.  Ahmad Faiz berkata, mahasiswa perlu mempunyai komitmen tinggi terhadap pengajian kerana kebanyakan universiti di negara ini masih belum mampu melahirkan pelajar berprestasi tinggi dalam skala besar, walaupun mempunyai jumlah besar pelajar yang cemerlang.  “Apabila bercakap mengenai jati diri 1Malaysia, kita mesti memastikan kita adalah yang terbaik kerana mengamalkan budaya kecemerlangan. Jangan hanya ada budaya lebih kurang, jangan hanya hendak masuk universiti atau hendak dapat ijazah saja.

“Sudah tiba masanya, mahasiswa mempunyai budaya berprestasi tinggi untuk memastikan kelangsungan di universiti,” katanya yang tidak menolak berdasarkan kajian, pelajar Melayu gagal mempertahankan kedudukan teratas dalam bidang akademik.  Selain itu, beliau menekankan budaya ketepatan masa dalam kehidupan seharian mahasiswa, terutama kalangan mahasiswa Melayu yang masih gagal menguasai kemahiran pengurusan masa.  “Oleh itu, kita perlu kembali kepada jati diri kerana pepatah Melayu ada mengatakan masa itu emas. Nenek moyang kita yang dulu tidak mempunyai jam pun tahu menghargai masa. Janganlah mahasiswa membuang masa,” katanya. Katanya, mahasiswa juga perlu menguasai setiap ilmu yang mereka pelajari demi memastikan ilmu itu bukan sekadar dipelajari untuk lulus peperiksaan sebaliknya dimanfaatkan demi membangun diri, bangsa dan negara.

Ahmad Faiz berkata, semangat patriotisme perlu diterapkan dalam jiwa setiap mahasiswa untuk memupuk sifat sayangkan negara kerana seseorang individu yang patriotik menjadi ikon kepada bangsanya sendiri.  Sementara itu, pengerusi forum, ketika merumuskan perbincangan forum itu mengakui banyak lagi nilai yang perlu diterapkan kepada mahasiswa untuk membina jati diri bangsa Malaysia yang berketrampilan.  Abdullah berkata, selain tumpuan kepada jurusan bidang pengajian, mahasiswa juga bertanggungjawab pastikan keperibadian mencerminkan semangat serta jiwa bangsa negara ini diperlihatkan dalam kehidupan seharian mereka. Katanya, semangat perpaduan yang menjadi antara nilai terkandung dalam gagasan 1Malaysia yang sudah tertanam dalam hubungan antara mahasiswa berbilang bangsa yang menjadi warga IPT perlu dibaja supaya terus semarak.

“Memahami konsep jati diri bangsa Malaysia bukan boleh dicapai dalam tempoh singkat. Banyak yang perlu dipelajari dan semua pihak perlu mengambil inisiatif supaya jati diri bangsa Malaysia menjadi amalan yang diterjemahkan dalam semua aspek kehidupan rakyat negara ini,” katanya.

OLEH :
Oleh Hasliza Hassan dan Ratinawati Rasidi
BERITA HARIAN
01 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan: