Pengikut

05 Februari 2011

ISU SEJARAH : KEJATUHAN KESULTANAN MELAYU - ISLAM MELAKA HARUS DIJADIKAN IKHTIBAR


Barangkali ramai tidak menyedari iaitu Kesultanan Melayu Melaka jatuh daripada putaran kekuasaan peradaban selama 500 tahun, pada tahun ini. Menurut catatan sejarah, penjajah Portugis menewaskan Melaka pada 1511 dan terus menguasai empayar ini 100 tahun kemudian. cBaru-baru ini, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menganjurkan konvensyen memperingati 500 tahun kejatuhan Melaka di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan saya antara ahli panel majlis itu.cAntara pembentang utama ialah Datuk Dr Hassan Ahmad. Beliau tidak asing lagi di negara kita dari segi kedalaman ilmu berkaitan susur galur peradaban Melayu dan Islam di rantau ini. Kertas kerja beliau ‘Kejatuhan Melaka Sebagai Pelajaran Penting Untuk Bangsa Melayu-Islam Hari Ini’ mustahak untuk dikongsi. Sebagai umat Melayu, kita harus menyedari Kesultanan Melayu-Islam Melaka sebelum kejatuhannya ialah peradaban besar dan kuat.

Ketika itu Melaka bersama kesultanan Melayu-Islam seperti Samudera-Pasai, Aceh Darussalam dan kerajaan di timur Selat Melaka meliputi kepulauan Maluku, Ternate dan Mengkasar. Semua kesultanan ini tonggak yang membangunkan peradaban Melayu-Islam di Nusantara menjadi empayar yang amat kuat.  Kedudukan dan peranan Melaka ketika itu amat penting sekali. Dalam tulisan pencatat diari bangsa Portugis, Tome Pires, menyatakan: “Siapa menguasai pelabuhan Melaka, mereka dapat mencekik leher Venice.” Gambaran yang meletakkan kepentingan Melaka sejajar dengan Venice, kota perdagangan di Eropah menjelaskan dengan pengaruh dan peranannya di dalam dunia antarabangsa pada waktu itu dan kekuasaan peradabannya.  Menurut Hassan: “Melaka tidak saja sebagai pusat perdagangan dan pusat kuasa politik Melayu di seluruh rantau ini, tetapi juga pusat perkembangan Islam dan bahasa Melayu yang berpengaruh dan digeruni oleh kerajaan Melayu yang lain, termasuk juga kerajaan Majapahit Jawa.”

Kisah kekuasaan peradaban Melayu-Islam Melaka bukan direka. Ramai pengkaji dan penulis mencatatkan keadaan sama apabila menggambarkan keadaan kesultanan ini. Apakah faktor atau ciri kesultanan ini sehingga menjadikannya peradaban yang kuat? Ini antara aspek dan persoalan menarik yang perlu ditelusuri.  Dalam beberapa bacaan, saya menemui beberapa ciri berikut yang membawa kepada kemajuan peradaban Melaka. Ciri ini boleh juga dianggap antara jati diri utama umat Melayu-Islam ketika era kesultanan Melaka.  Ciri pertama ialah kesultanan Melaka dianggotai masyarakat perdagangan yang kebanyakan tertumpu pada aktiviti kelautan. Pedagang dari Timur dan Barat menjadikan Melaka pangkalan perniagaan sehingga pelabuhan Melaka begitu rancak dan strategik. Keadaan ini tentu menyumbang kepada sumber pendapatan kesultanan dan menggiatkan import dan eksport serta pembangunan ekonomi tempatan.

Jati diri keperdagangan masyarakat Melayu Melaka pada waktu itu terserlah seperti tergambar di dalam Undang-undang Laut Melaka. Dalam kata lain, satu peraturan khusus diwujudkan kesultanan bagi memastikan urus niaga dan perdagangan ini terus berkembang sejajar aturan yang telus dan adil.  Ciri kedua Kesultanan Melaka sifat majmuk masyarakatnya. Dalam satu catatan dinyatakan iaitu ada 84 bahasa asing digunakan ketika keagungan kerajaan Melaka. Namun, bahasa Melayu adalah bahasa pengantara utama. Dikatakan juga penduduk Melaka terdiri daripada orang Gujerat, Benggali, Tamil, Arab dan Parsi.  Keadaan masyarakat majmuk ini adalah gambaran jiwa dan minda masyarakat Melayu-Islam Melaka pada waktu itu yang bersifat terbuka atau berminda sejagat. Sekiranya masyarakat Melayu-Islam Melaka pada waktu berwatak tertutup, tentu sekali Melaka tidak mampu menjadi sebuah peradaban yang bersifat global dan terkenal.

Ciri terpenting lain ialah masyarakat Melayu-Islam Melaka hidup bersendikan hukum. Hal ini tergambar dalam penggubalan Undang-undang Melaka yang mengandungi segala peraturan dan perundangan mengawal pergerakan masyarakat.  Jika kita telusuri Undang-undang Melaka, ia meliputi hukum perlembagaan, jenayah, pertanian, laut, sosial dan bahasa.  Ciri ini memainkan peranan yang amat bermakna di dalam mewujudkan ketenteraman di dalam masyarakat dan menimbulkan keyakinan seluruh masyarakat sama ada pada peringkat tempatan atau luar negara untuk menjadikan Melaka sebagai pusat segala urusan kehidupan. Keyakinan terhadap sistem perundangan yang telus, adil dan bebas mengundang kedatangan pelaburan yang meluas ke Melaka dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi pula.

Oleh Muhamad Razak Idris
muhdrazak@abim.org.my
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

SUMBER :
BERITA HARIAN
05 FEBRUARI 2011

2 ulasan:

yana berkata...

mohon copy utk buat assgmnt,,,,,
thanx,,,=)

pegaga78 berkata...

terima kasih.. bagus info yg di kongsikan di sini... kalau boleh nanti cikgu zul detailkan lagi.. termasuk cerita2 pejuang nyemah mulya..

Related Posts with Thumbnails