Pengikut

12 Februari 2011

ISU PENGGUNA : MENGATASI KENAIKAN HARGA BAHAN MAKANAN


Fenomena pemanasan global yang menyebabkan perubahan cuaca luar biasa. Akibatnya, banyak negara termasuk di negara pengeluar makanan, dilanda bencana alam sama ada kemarau panjang, banjir besar atau ribut salji.  Dari sini, elok juga kita huraikan kesan bencana alam ini terhadap pengeluaran makanan dunia. Apatah lagi isu kenaikan harga barang makanan kini semakin meresahkan rakyat. Kebanyakan kita mendakwa harga barang makanan naik disebabkan kerajaan mengurangkan subsidi. Hakikatnya, cuma empat makanan utama dikawal harganya dan mendapat subsidi, iaitu beras, gula, gandum dan minyak masak, tetapi mereka memberi gambaran seolah-olah harga semua barang makanan naik mendadak disebabkan kerajaan mengurangkan subsidi.  Berdasarkan kajian ABN Amro, cuaca buruk dan bencana alam menyebabkan dunia kini menghadapi krisis makanan yang menyaksikan peningkatan harga secara mendadak sejak musim panas tahun lalu, walaupun permintaan dan penawaran berada dalam keadaan baik.

Kenaikan harga bahan bakar dunia juga dikenal pasti menyebabkan kos pengeluaran meningkat hingga melonjakkan lagi harga makanan. Malah, di Brazil, China dan Russia kenaikan mendadak harga makanan turut menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi secara keseluruhannya. Isu ini turut dijelaskan dalam satu artikel yang disiarkan laman web KonsumerKINI. Antara lain, artikel bertarikh 12 Januari lalu itu menjelaskan mengikut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, krisis makanan sekali lagi akan menyelubungi dunia tahun ini.  Berdasarkan laporan FAO, harga tanaman bagi makanan utama akan meningkat seperti yang berlaku pada 2008. Bil import makanan global dijangka melonjak kepada AS$1 bilion (RM3.13 bilion), sementara peningkatan harga komoditi berlaku secara mendadak buat kali kedua (yang pertama berlaku pada 2008).

Peningkatan ini juga dikatakan berlaku lebih pantas berbanding pada 2007 dan 2008. FAO meramalkan bil import makanan bagi dunia ‘negara termiskin’ akan naik 11 peratus pada 2010, sementara untuk negara pengeluar makanan akan naik 20 peratus. Ini bermakna, dengan melewatkan satu trilion dolar, bil import makanan global kemungkinan akan naik ke tahap yang tidak diduga sejak harga makanan mencapai kemuncaknya pada tahap rekod pada 2008.  Menurut artikel itu lagi, John Stephenson, penulis buku The Little Book of Commodity Investing juga bersetuju inflasi makanan akan menjadi isu utama pada 2011. Beliau berkata, perubahan diet makanan dengan pertambahan penduduk dunia serta penurunan stok bijirin global pada 15 tahun terakhir akan meningkatkan harga gandum, jagung dan kacang soya.  Harga yang tinggi di negara Barat mendorong wujudnya spekulasi menyebabkan harga makanan di negara ini turut menjadi mahal.

Malaysia adalah pengimport makanan bersih dengan jumlah import sebanyak RM15.8 bilion pada 2009. Itulah latar belakang sebab kenaikan harga barang makanan yang bukan saja dirasai di negara kita, malah di seluruh dunia. Jadi, apakah ini salah kerajaan? Hakikatnya, kerajaan tidak boleh mengawal harga pasaran sekiranya harga pada peringkat global meningkat disebabkan pengeluar utama dunia juga mengalami masalah yang sangat meruncing. Misalnya, banjir luar biasa yang melanda Australia, Januari lalu, menyebabkan harga daging lembu meningkat kerana kebanyakan penggunaan untuk negara ini diimport dari Australia. Mungkin ada pula yang bertanya kenapa tidak kita usahakan sendiri tanaman atau ternakan dalam negara bagi mengelak penggantungan bekalan dari luar? Memang sebaik-baiknya itulah yang sepatutnya dilakukan, tetapi negara kita juga tidak kebal cuaca.  Contohnya, banjir besar di utara Semenanjung, akhir tahun lalu, menyebabkan ribuan hektar padi di Kedah dan Perlis musnah. Musim tengkujuh di Pantai Timur pula boleh menyebabkan harga ikan melambung tinggi.

Inilah hakikat yang perlu kita hadapi. Tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh melakukan sesuatu untuk mengurangkan kesan kenaikan harga barang makanan. Bagi pihak kerajaan, tentunya rakyat mengharapkan agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya, misalnya, dari segi penguatkuasaan. Pemantauan hendaklah dipertingkatkan dan tindakan tegas mesti diambil terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang makanan dengan sewenang-wenangnya.  Pengguna pula mestilah bijak berbelanja dan jika perlu, ubahlah cara pemakanan kita dengan mengurangkan penggunaan gula atau minyak masak, misalnya. Ini juga dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan kita.  Mungkin kita juga boleh menanam sayur-sayuran di halaman rumah untuk kegunaan sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan. Kempen mengusahakan tanaman menggunakan sistem hidroponik yang tidak memerlukan kawasan besar pernah dilaksanakan sebelum ini, tetapi biasalah kita mudah lupa bila keadaan kembali selesa.

Oleh : Mahfar Ali
SUMBER : BERITA HARIAN, 12 FEBRUARI 2011

Tiada ulasan:

Related Posts with Thumbnails