JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 Februari 2011

ISU ALAM SEKITAR : MENGURANGKAN RISIKO BENCANA

Semua pihak mesti 
peka pemuliharaan alam sekitar


Cuaca  sekarang semakin tidak menentu. Hari ini panas, esok hujan. Ada kalanya mendung sepanjang hari, tapi tak juga hujan. Bila panas, keadaannya terik sangat dan bila hujan pula lebat hingga mengakibatkan banjir termasuk di kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air. Fenomena ini bukan saja berlaku di negara kita, tetapi di seluruh dunia. Misalnya, beberapa negara Eropah dan Amerika, dilanda salji luar biasa pada Disember lalu dan baru-baru ini pula banjir besar berlaku di beberapa kawasan di Australia. Bencana ini berlaku berikutan pemanasan global akibat kesan rumah hijau sehingga menyebabkan perubahan cuaca luar biasa berbanding pada masa lalu. Kita percaya ramai juga tahu sebab perubahan cuaca itu berlaku kerana fenomena ini bukan baru. Tetapi, adakah kita membantu mengurangkan risiko bencana ini? Apakah bencana demi bencana masih tidak cukup menyedarkan kita mengenai pentingnya memelihara dan memulihara alam sekitar?

Sudah banyak kempen membersihkan sungai diadakan, tetapi masih banyak sungai kita terus dicemari sampah dan sisa buangan kilang hingga menjadikannya sempit dan cetek. Program pembangunan lestari juga diperkenalkan, tetapi masih ada pemaju yang tidak mengambil berat aspek pemuliharaan alam sekitar. Pokok ditebang sesuka hati dan bukit ditarah manakala pembakaran terbuka terus berlaku.  Baru-baru ini pula kempen mengurangkan penggunaan plastik dilancarkan, tetapi ada yang mengeluh apabila kedai dan pasar raya tidak menyediakan beg plastik. Penggunaan bahan api mesra alam juga sudah lama diperkenalkan, tetapi banyak kenderaan ter-utama lori dan bas didapati masih mengeluarkan asap hitam.  Begitu juga dengan kilang, masih banyak yang mengeluarkan asap secara tidak terkawal. Penggunaan penghawa dingin di rumah dan pejabat secara berlebihan turut memberi kesan terhadap rumah hijau.

Semua ini memburukkan keadaan alam sekitar dan memberi kesan terhadap perubahan cuaca hingga membawa musibah bencana. Banjir luar biasa di beberapa negeri terutama di Johor seminggu lalu ini pun dilaporkan akibat perubahan iklim yang menyebabkan hujan dalam tempoh 24 jam menyamai kadar selama dua bulan. Malah, banjir di Johor kali ini dikatakan lebih buruk daripada bencana sama pada 2006 dan berlaku secara meluas di seluruh negeri itu.  Namun, kali ini kita bernasib baik kerana banjir luar biasa itu pulih dalam beberapa hari berikutan hujan tidak lama dan air surut cepat. Tetapi, bencana ini boleh berlaku lagi dan tidak mustahil kalau kita masih bersikap alpa, keadaan yang lebih buruk mungkin terjadi pada masa akan datang.  Dari sini, tentunya kita mengharapkan agensi terbabit meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai punca dan kesan bencana alam seperti banjir serta kemarau akibat perubahan iklim.

Tindakan lebih tegas juga wajar diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang berkaitan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar. Pada masa sama, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar perlulah mempercepatkan projek mendalam dan meluruskan sungai, terutama di kawasan yang dikenal pasti sering dilanda banjir. Projek itu sudah pun dirancang selepas banjir besar pada 2006 membabitkan kos keseluruhan lebih RM4 bilion, tetapi masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Barangkali kementerian juga boleh menimbang membina terusan banjir di kawasan yang dikenal pasti paling teruk mengalami banjir. Dalam pada itu, kita lega kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilaporkan akan menggunakan model baru ramalan dan amaran banjir berdasarkan kombinasi model atmosfera serta radar yang dikatakan dapat mengesan taburan hujan serta lokasinya tiga hari lebih awal sebelum hujan.

Ini tentunya dapat membantu pihak berkuasa dan penduduk membuat persiapan awal bagi mengurangkan risiko kehilangan jiwa, kemusnahan harta benda serta mempercepatkan gerakan menyelamat, berbanding kaedah sekarang yang hanya menggunakan taburan hujan di stesen kaji cuaca serta pemantauan paras air di sungai utama selepas berlaku hujan. Model baru itu dibangunkan sejak Januari tahun lalu dan dijangka siap Jun depan, tetapi dalam keadaan cuaca sekarang yang semakin tidak menentu, kita berharap JPS dapat menyiapkannya lebih awal kerana kerugian yang ditanggung mangsa banjir cukup besar. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan mangsa tertekan dan trauma, apa lagi terpaksa tinggal berhari-hari di pusat pemindahan banjir. Dalam hubungan ini, kita juga bersyukur kerana masih ramai rakyat negara ini bersikap pemurah dan sedia membantu golongan yang dalam kesusahan.

Sebab itu apabila berlaku bencana, kita tidak sukar mencari sukarelawan untuk membantu mangsa. Banyak juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat yang sudi memberi bantuan sama ada dari segi tenaga, barangan keperluan, makanan atau kewangan bagi meringankan beban mangsa. Pemimpin pula tidak putus-putus mengunjungi mangsa banjir dan menghulurkan sumbangan. Kunjungan pemimpin dan pembesar negeri, apatah lagi Sultan sedikit sebanyak dapatlah mengurangkan tekanan dihadapi mangsa. Sebab itu, kita tengok mangsa banjir gembira bila dapat bertemu pemimpin dan sesetengahnya mengambil kesempatan bergambar setiap kali ada pemimpin melawat pusat pemindahan banjir. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebaik pulang ke tanah air daripada lawatan rasmi ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Selasa lalu. terus membuat tinjauan udara sekitar kawasan banjir di Segamat dan Labis, Johor serta melawat mangsa.

Selaras dengan konsep kepimpinannya, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, menteri Kabinet dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) turut turun padang dan mengagihkan bantuan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri hampir setiap hari meninjau kawasan banjir dan melawat mangsa. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim, pula tanpa membuang masa terus bergegas melawat mangsa banjir, kira-kira setengah jam selepas diumumkan memenangi kerusi DUN itu pada malam Ahad lalu. Taklah macam sesetengah orang, melawat mangsa banjir pada masa kempen pilihan raya saja. Kita bukanlah hendak menuduh, tapi siapa makan cili, dia terasa pedasnya.

OLEH :
Oleh Mahfar Ali

SUMBER :
BERITA HARIAN
05 FEBRUARI 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

thank you~ur article very helpful for me...thanks