JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Januari 2011

ISU SOSIAL : KERJASAMA DALAM MENANGANI MASALAH SOSIAL


Agama memainkan peranan yang penting dalam masyarakat dan tidak boleh diabaikan khususnya dalam konteks Malaysia kerana masyarakatnya sudah terbentuk berdasarkan penerapan Islam sebagai asas sejak dulu lagi. Agama mempunyai dua dimensi utama iaitu keimanan yang mengatur hubungan kita dengan Tuhan dan dimensi sosial yang mengkehendaki kita mengaplikasikan ajaran agama dalam kehidupan agar dapat hidup harmoni dalam masyarakat. Masalah sosial seperti perjudian, pembuangan bayi, pelacuran, ketagihan dadah, arak dan perzinaan yang banyak berlaku hari ini adalah disebabkan kelekaan mengamalkan ajaran-ajaran atau nilai-nilai murni yang dituntut oleh agama. Dalam konteks negara kita, hidup beragama begitu sinonim dengan hidup bermasyarakat. Setiap dasar kerajaan berkaitan kehidupan setiap lapisan masyarakat mengambil kira sensitiviti penganut agama. Namun tidak semuanya sempurna. Dalam usaha kerajaan menjaga sensitiviti dan kemahuan semua penganut agama, tercetus juga insiden melibatkan isu-isu kontroversi yang menggugat sensitiviti agama dan penganut Islam. Bagi orang-orang yang beriman dan berpengetahuan tinggi, isu-isu sensitif dan kontroversi dapat ditangani melalui dialog dan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik. Isu-isu kontroversi hanya tercetus apabila 'orang-orang yang kurang ilmu dan imannya' mentafsir sesuatu perkara itu tanpa landasan ilmu yang betul serta ikut emosi sehingga sesuatu perkara yang begitu remeh menjadi kontroversi dan menyebabkan ketegangan. Isu kontroversi yang tercetus bukanlah disebabkan agama itu tetapi penganut agama tersebut yang jahil.

Di sinilah letaknya tanggungjawab orang berilmu dalam kalangan pemimpin ataupun ketua agama untuk ke hadapan mendampingi 'golongan yang jahil' ini agar memahami ajaran sebenar agama yang menyuruh kita mengelakkan prasangka, pergaduhan dan pembunuhan. Allah SWT melarang umatnya berprasangka buruk, sering mencari kesalahan orang lain, mengaibkan orang, mencaci, mencerca dan mengumpat seperti mana dijelaskan dalam Surah Al-Hujurat ayat 12. Ayat ini juga menggambarkan betapa perlakuan jijik menyamai dengan memakan daging saudara mara kita yang telah mati. Dalam segala hal untuk mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah, jalan terbaik adalah merujuk ia kepada agama. Ini kerana hanya Allah SWT Yang Maha Mengetahui baik buruk untuk kita. Oleh itu, hanya berpegang kepada ajaran agama, jalan terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah dapat dicapai. Agama adalah jalan penyelesaian kepada semua permasalahan. Umat Islam dituntut bekerjasama menangani gejala sosial. Dalam konteks ini, Allah SWT menyeru umatnya bekerjasama dalam melakukan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan, kebajikan dan ketakwaan. Pada masa yang sama, melarang umatnya bekerjasama ke arah melakukan perkara-perkara yang berkaitan dosa, kerosakan dan pergaduhan.

Kerjasama menangani masalah sosial juga boleh berlaku dalam kalangan penganut agama lain dengan mengambil kira nilai-nilai sejagat sebagai asasnya. Kerjasama antara penganut agama menangani masalah sosial adalah landasan kerjasama yang amat baik bagi menyatukan kita dalam banyak hal, sekali gus mengukuhkan hubungan silaturahim di antara pelbagai latar belakang agama. Sebagai orang yang beriman dan berilmu, kita sepatutnya lebih cenderung melaksanakan tanggungjawab yang telah diwajibkan oleh agama kita lebih daripada soal-soal tuntutan 'hak'. Menunaikan 'tanggungjawab' yang dituntut agama kita adalah lebih afdal, kerana masyarakat kita pada hari ini sangat memerlukan 'pertanggungjawaban' ini lebih daripada tuntutan-tuntutan hak. Kita harus lebih fokus kepada tanggungjawab agama yang perlu dilaksanakan bagi membendung gejala sosial. Ini lebih penting kerana kesannya kepada masyarakat adalah lebih besar berbanding dengan tuntutan-tuntutan yang tiada kesudahannya. Agama Islam melarang umatnya melakukan kerosakan dan kejahatan. Dalam al-Quran diperjelaskan larangan-larangan yang ditegah sekeras-kerasnya dan apabila dilakukan, ia membawa kepada hukuman Hadd dan Qisas. Contohnya, umat Islam dilarang mencuri, merompak, berzina, memfitnah, meminum arak, murtad dan membunuh.

Dalam konteks kepelbagaian agama di negara ini, umumnya semua agama melarang penganutnya melakukan jenayah dan terlibat dalam gejala sosial. Hakikat ini dinyatakan sendiri oleh setiap wakil agama dari agama Islam, Buddha, Kristian, Sikh dan Hindu yang telah mengutarakan pandangan mereka dalam seminar 'Peranan Agama dalam Menangani Masalah Sosial' anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini. Seminar ini berjaya mengumpul beberapa saranan penting yang diberikan oleh para pemimpin agama untuk menangani masalah sosial di negara ini. Antara saranan-saranan penting yang wajar diambil tindakan adalah seperti berikut: Mendesak kerajaan tidak menyokong industri-industri yang membuka ruang kepada berlakunya masalah sosial seperti mengharamkan pengeluaran lesen perjudian dan penjualan arak serta pusat-pusat kemaksiatan, mendesak kerajaan mengharamkan pengiklanan arak dan perjudian di dalam akhbar-akhbar tempatan. Mencadangkan kepada kerajaan agar mengkaji semula dan menggubal undang-undang yang lebih mesra agama. Contohnya, apabila penangkapan dibuat terhadap peminum arak ataupun penzina, hukuman juga harus dikenakan kepada yang bukan beragama Islam. Seminar ini telah memperlihatkan dekatnya peranan agama dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Hakikatnya, peranan agama dalam masyarakat tidak dapat dinafikan sekiranya kita semua inginkan sebuah negara yang aman damai dan makmur. Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan bagi memastikan negara ini aman dan mendapat restu Ilahi.

BERITA HARIAN
28 JANUARI 2011

Tiada ulasan: