JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 November 2010

ISU SOSIAL : MEMAHAMI STATISTIK PERCERAIAN

Dalam buku Darrell Huff (1913-2001) bertajuk How to Lie with Statistics pertama kali terbit dalam tahun 1954 tetapi terkenal hingga hari ini. Huff menghuraikan bagaimana seseorang boleh menggunakan statistik untuk meyakinkan orang lain tentang sesuatu perkara sedangkan orang itu tidak mempunyai alasan atau hanya mempunyai hujah yang lemah. Novelis dan penulis satira lucu Mark Twain (meninggal 1910) dan sasterawan Charles Wentworth Dilke (meninggal 1911) pula terkenal dengan frasa 'terdapat tiga jenis pembohongan, iaitu bohong, betul-betul bohong dan statistik' yang bermaksud kalau kena tekniknya, statistik boleh digunakan untuk berbohong dan orang ramai masih percaya. Kata mereka, ilmu statistik begitu istimewa dan licik hinggakan kalau digunakan atau disalahgunakan dengan berkesan, tarafnya lebih hina daripada pembohongan.

Kajian dalam tahun 2007 mendapati 32.2 peratus perkahwinan penduduk Islam di negara ini untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Terdapat orang ramai yang mentafsirkan statistik ini sebagai satu per tiga daripada perkahwinan pasangan Islam pada tahun 2007 berakhir dengan perceraian. Tanpa melihat angka-angka yang lain, mereka menyatakan kebimbangan yang amat sangat terhadap data ini dan sesuatu yang drastik perlu dilakukan. Adakah kerisauan mereka berasas? Adakah ini bermakna pada tahun 2007, bagi setiap 100 pasangan berkahwin, 32 pasangan bercerai? Apakah benar perkahwinan dalam masyarakat Islam di negara ini sedang mengalami krisis dengan setiap pasangan yang mendirikan masjid hari ini akan berhadapan dengan 0.32 kebarangkalian perceraian tidak lama lagi? Jawabnya tentulah belum dapat dipastikan, sehinggalah kita dapat statistik yang lebih terperinci. Kita tidak perlu tergesa-gesa dan melompat kepada sesuatu kesimpulan terlalu awal. 

Pertama, maklumat itu tidak menceritakan berkenaan dengan kadar perceraian. Maksud data itu juga tidak bererti setiap 1,000 pasangan berkahwin, 322 pasangan bercerai. Kadar ini tentulah terlalu tinggi, seolah-olah pasangan Islam yang berkahwin berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk bercerai, sesuatu yang dipanggil kadar krisis. Kedua, maklumat itu hanya mengatakan 32.2 peratus daripada perceraian berlaku dalam tempoh 5 tahun atau kurang selepas berkahwin. Sebagai contoh, andaikan pada tahun 2007 di sebuah negara terdapat 5 juta pasangan suami isteri, 0.5 juta (500,000) daripada pasangan itu pernah mengalami perceraian. Ini bermakna 4.5 juta pasangan yang selebihnya tidak pernah mengalami perceraian dan hidup aman damai setelah berkahwin yang mungkin baru atau lama. Andaikan juga pada tahun 2007 itu satu kajian menemu bual 1,000 pasangan yang pernah mengalami perceraian daripada 0.5 juta pasangan itu dan mendapati 320 daripada mereka mengatakan mereka bercerai setelah berkahwin kurang daripada 5 tahun. Ini tidak bermakna kadar perceraian di negara itu ialah 32.2 peratus. 

Ia hanya memberitahu kita bahawa banyak kes perceraian, sekiranya berlaku, terjadi dalam tempoh yang tidak lama selepas berkahwin. Ketiga, kita tidak tahu saiz sampel kajian ini, teknik mendapatkan responden, dan lokasi serta taraf sosio-ekonomi responden yang terlibat dalam kajian ini. Kembali semula kepada data kajian itu, sebenarnya data itu tidak memberi tahu banyak maklumat tentang kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di negara ini. Kita hanya diberitahu bahawa bagi mereka yang pernah mengalami perceraian, 32.2 peratus mengatakan perceraian mereka berlaku dalam tempoh 5 tahun atau kurang selepas berkahwin. Itu saja. Kita perlukan lebih banyak data untuk membuat penghakiman sama ada kadar perceraian orang Islam di negara ini tinggi, sederhana atau rendah. Data rasmi itu juga memberitahu "sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan." Terdapat pihak yang memahami data ini sebagai 20 peratus daripada pasangan yang berkahwin dalam tahun 2009 telah bercerai.

Ini juga adalah satu tafsiran yang salah, kerana data itu tidak mengatakan bahawa perceraian itu berlaku di kalangan pasangan yang direkodkan sebagai berkahwin pada tahun itu. Pasangan yang bercerai pada tahun 2009 itu boleh jadi daripada kalangan pasangan yang berkahwin tahun 2009 itu juga atau pasangan-pasangan lain yang telah berkahwin dalam tahun-tahun sebelumnya, mungkin mereka telah berkahwin 5, 10 atau 15 tahun dulu tetapi bercerai dalam tahun 2009. Sehingga data yang lebih lengkap diperoleh, kita tidak dapat berbuat apa-apa, kecuali berspekulasi. Kalau benarlah kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di negara ini sedang meningkat, kita bukan sahaja sedih tetapi keliru. Pasangan bercerai kerana tidak faham zon tanggungjawab masing-masing, sebagai suami atau isteri. Mereka berpisah kerana wang yang tidak cukup untuk memuaskan hati pasangan masing-masing, sedangkan kos hidup semakin meningkat, terutama mereka yang tinggal di Lembah Klang. 

Kebahagiaan yang mereka angan-angankan ketika bertunang dan bercengkerama dengan gambaran rumah yang selesa, pakaian bergaya, kereta, makan enak di restoran dan melancong, tidak menjelma menjadi realiti setelah berkahwin. Terdapat orang yang bercerai kerana tiada kemahiran seks dalam membelai pasangan masing-masing hingga saat-saat yang dijangkakan menyeronokkan muncul sebagai detik-detik yang membosankan dan menyakitkan. Akhlak yang tidak baik seperti pengotor, berbohong, balik lewat malam, mengutamakan kawan lebih daripada pasangan juga menyebabkan perceraian. Campur tangan pihak ketiga sebagai penghasut, khususnya ahli keluarga terdekat, juga mendorong orang berpisah. Apakah ini bermakna usaha yang dilakukan oleh pelbagai agensi pembangunan insaniah Islam yang ditubuhkan oleh kerajaan masih belum berkesan dalam memberi bimbingan kepada umat Islam untuk menyediakan diri masuk ke dalam gerbang perkahwinan.

Apakah pelbagai usaha ceramah tentang Islam yang dianjurkan oleh pelbagai media kerajaan dan swasta, termasuk saluran kabel berbayar, masih tidak dapat membantu pasangan orang Islam mengurangkan risiko perceraian. Apakah mungkin perunding motivasi itu sendiri yang perlu dimotivasikan, kerana nampaknya ceramah mereka semakin kerap, tetapi masalah sosial juga semakin meningkat, iaitu semacam korelasi terselindung yang tidak dapat dijelaskan. Kita mahu mereka nyatakan betul-betul, apakah faktor yang mendorong kepada keruntuhan moral ini. Untuk orang ramai lebih memahami statistik perceraian, saya mencadangkan kajian kohort perceraian iaitu kajian kumpulan pasangan berkahwin mengikut masa. Misalnya, dalam tahun 2007 terdapat 100,000 pasangan orang Islam berkahwin. Pada setiap tahun selepas 2007 itu, kajian dilakukan terhadap 100,000 pasangan ini untuk mengetahui apakah yang telah terjadi kepada perkahwinan mereka, sama ada mereka masih kekal atau telah bercerai. Pada tahun 2008 pula terdapat 120,000 lagi pasangan berkahwin. 

Pada setiap tahun selepas 2008, kajian dilakukan terhadap 120,000 pasangan ini untuk mengetahui apakah yang telah terjadi kepada perkahwinan mereka, sama ada mereka masih kekal atau telah bercerai. Begitulah seterusnya, untuk perkahwinan yang berlaku dalam tahun-tahun 2009, 2010 dan seterusnya, di mana rekod tentang apa yang terjadi kepada perkahwinan mereka bagi setiap kohort itu diperoleh. Perbandingan peratus pasangan yang bercerai di kalangan kohort yang berlainan itu membolehkan kita mengetahui sama ada kadar perceraian sedang meningkat atau menurun bagi sesuatu tempoh tertentu, misalnya untuk satu dekad. Hanya dengan meneliti data siri masa jangka panjang, seperti kajian kohort itu, dapat kita membuat penghakiman sama ada perceraian semakin meningkat atau sebaliknya.

Dr. Abd. Rahim Md. Nor
Profesor di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Utusan Malaysia
17 November 2010