JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 November 2010

ISU ICT : MENDEKATKAN JURANG DIGITAL

Bagi masyarakat bandar, capaian kepada perkhidmatan jalur lebar mungkin bukan satu masalah. Selain mempunyai banyak pilihan langganan di kalangan penyedia jalur lebar swasta dengan tawaran harga yang sangat berpatutan, masyarakat bandar juga mampu mengakses Internet dengan percuma di kebanyakan pusat-pusat hot spot. Kerana kemudahan itu juga, negara sehingga Oktober lalu berjaya mengatasi kadar penembusan jalur lebar sebanyak 50 peratus seperti yang disasarkan oleh kerajaan menjelang hujung tahun ini. Begitu pun bagi masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman, capaian jalur lebar masih menjadi masalah kerana tiadanya liputan dan infrastruktur yang bersesuaian. Ini boleh menjadi halangan kepada usaha negara menjadi negara maju yang salah satu kriterianya ialah akses kepada jalur lebar yang meluas di kalangan rakyat.

Di sinilah sebenarnya peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) iaitu sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam memastikan negara mendapat kemudahan perhubungan melalui perkhidmatan komunikasi. Peranan SKMM ini adalah sesuatu yang jarang diketahui umum. Ini memandangkan ramai yang beranggapan agensi itu lebih bertindak sebagai pengawal selia dalam menangani isu-isu atau aduan berkenaan penyalahgunaan atau kesalahan dalam talian. Hakikatnya, SKMM memainkan peranan yang besar dalam mendekatkan jurang digital di kalangan masyarakat luar bandar menerusi program khusus mereka yang dikenali sebagai program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS). Dilaksanakan secara rasmi pada 2002, PPS bermula dengan projek rintis menyediakan infrastruktur telefoni asas dan perkhidmatan kepada penduduk di luar bandar. Projek itu sehingga kini telah memberi manfaat kepada kira-kira 57,500 buah isi rumah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sejak itu, peranan PPS semakin diperluas dan sehingga kini, SKMM telah mengenal pasti 462 kawasan kurang liputan di seluruh negara untuk perlaksanaan projek-projek telefoni asas, selular dan jalur lebar. Begitu pun sejak 2008, fokus PPS mula berubah seiring dengan kemajuan teknologi dan permintaan para pengguna. PPS kini mula beralih kepada peranan menangani isu-isu kandungan, capaian dan aplikasi serta kemampuan terhadap perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Antara program di bawah PPS yang mendapat sambutan menggalakkan ialah projek Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) dan Perpustakaan Jalur Lebar (PJL). Dijalankan dengan kerjasama syarikat penyedia rangkaian terkemuka negara, PJK dan PJL memberi peluang kepada masyarakat pedalaman untuk mendekati teknologi maklumat (ICT).

Latihan kemahiran ICT asas dan pembangunan kandungan itu disediakan secara percuma oleh pengendali yang dilantik di kalangan masyarakat setempat. Menurut Pemangku Pengarah Kanan Jabatan PPS, Zulkarnain Mohd. Yassin, sehingga kini, terdapat kira-kira 246 buah PJK dan 100 buah PJL yang dibuka di seluruh negara sejak 2007 dengan keahlian seramai 80,799 orang. Kebanyakan ahli PJK dan PJL itu terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki komputer atau capaian Internet sendiri. Keahlian PJK dan PJL dijangka akan meningkat sehingga 100,000 orang apabila satu lagi projek PPS iaitu Komputer Riba 1Malaysia diperluaskan. Projek pengagihan komputer riba berserta talian Internet itu menyaksikan sebanyak 123,000 unit komputer yang berharga kira-kira RM850 telah diagihkan kepada mereka yang berkelayakan.

''Untuk edaran fasa pertama itu, para penerima terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah daripada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan. "Penerima juga terdiri daripada mereka yang tinggal berhampiran dengan PJK bagi memudahkan urusan pemantauan dan pengajaran daripada pelatih di pusat tersebut," ujar Zulkarnain. Sepanjang fasa kedua pula, sebanyak 300,000 unit komputer riba lagi akan diagihkan bermula Disember ini. Kumpulan sasar bagi fasa kedua ini membabitkan 65 peratus pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT), manakala selebihnya kepada keluarga yang kurang berkemampuan. Projek itu dijangka menyumbang sebanyak sembilan peratus kepada sasaran 50 peratusan penembusan jalur lebar negara menjelang 2010. Dalam memperkukuhkan peranan PJK dan PJL tambah Zulkarnain, PPS turut membuka pusat yang dikenali sebagai Mini PJK atau Pusat Internet Rakyat (PIR).

Projek yang digerakkan dalam tiga fasa itu merupakan transformasi jabatan-jabatan Penerangan di seluruh negara kepada pusat jalur lebar kecil. Ketika ini, sebanyak 121 buah tapak sudah dikenalpasti bagi projek tersebut. ''Setiap pusat penerangan itu pula akan menempatkan sebanyak lima buah komputer dan dijangka akan memanfaatkan seramai kira-kira 400,000 orang terdiri daripada masyarakat setempat," kata beliau. Pada Julai lalu pula, PPS melangkah setapak lagi menerusi perlaksanaan projek rangkaian jalur lebar berkumpulan atau juga disebut sebagai Kg. Wifi. Menerusi projek itu, sebanyak 400 buah kampung atau komuniti di seluruh negara telah dikenalpasti untuk disediakan dengan rangkaian jalur lebar. Sebahagian daripada projek-projek di bawah PPS ini masih berada pada fasa dua dan dijangka sempurna sepenuhnya menjelang tahun depan. Begitu pun projek ini menunjukkan lonjakan kadar penembusan jalur lebar terutama di kalangan masyarakat luar bandar yang begitu ketara.

Dengan beberapa projek lain bakal digerakkan sehingga fasa ketiga, tidak mustahil PPS dapat membantu negara merealisasikan salah satu kriteria negara maju iaitu kadar penembusan yang tinggi di kalangan rakyat. Setidak-tidaknya, PPS boleh memastikan kadar penembusan jalur lebar negara mencapai 75 peratus seperti yang disasarkan pada 2015.

Oleh 
MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
Utusan Malaysia
9 November 2010