JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 November 2010

ISU WANITA : PERSEKITARAN LINDUNGI WANITA


Keganasan terhadap wanita merupakan satu bentuk pencabulan ke atas hak asasi manusia. Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, seorang daripada setiap tiga orang wanita pernah mengalami atau berhadapan dengan apa-apa bentuk keganasan sepanjang hidupnya. Di Malaysia, kerajaan menguatkuasakan undang-undang bagi melindungi hak dan kepentingan wanita. Antara akta-akta yang digubal bagi menangani keganasan terhadap wanita adalah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, Kanun Keseksaan dan Akta Antipemerdagangan Orang 2007. Pelbagai program dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu ini. Sejak tahun 2004 sehingga kini JPW sudah melaksanakan lebih 1,000 program menangani keganasan yang melibatkan lebih kurang 150,000 peserta.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 25 November setiap tahun sebagai Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita. Setiap tahun apabila tiba tarikh berkenaan, pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan bagi membuktikan komitmen kerajaan dalam menghentikan keganasan terhadap wanita. Pada tahun ini, program sempena Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita berlangsung selama tiga hari bermula dengan aktiviti pengedaran 1,000 risalah kempen menangani keganasan terhadap wanita di Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Duta. Risalah yang diedarkan mengandungi informasi mengenai langkah-langkah pencegahan keganasan terhadap wanita seperti kaedah mempertahankan diri dan peranan serta perkara yang perlu diingati jika berada di rumah, luar rumah, memandu dan menggunakan tandas awam.

Satu lagi risalah yang diedarkan ialah risalah mengenai Keganasan Rumahtangga mengikut Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521) yang memberikan penjelasan terperinci mengenai apa itu keganasan rumah tangga, adakah ia melindungi pasangan yang bersekedudukan dan tindakan yang perlu diambil mangsa sekiranya keganasan rumah tangga berlaku. Objektif penyebaran risalah berkenaan adalah untuk menyampaikan maklumat mengenai keganasan terhadap wanita kepada masyarakat umum. Sejumlah 10 gerai pameran dan informasi mengenai isu keganasan terhadap wanita dibuka Aras Dua, KL Sentral, Kuala Lumpur mulai 25 November hingga 27 November. Gerai ini melibatkan penyertaan agensi kerajaan dan NGO. Orang ramai boleh berinteraksi dengan pegawai bertugas bagi mendapatkan maklumat yang berkaitan.

Antara agensi kerajaan yang mengambil bahagian adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, Yayasan Pencegahan Jenayah dan Biro Bantuan Guaman. Pada 27 November, satu sesi perkongsian maklumat mengenai keganasan terhadap wanita akan diadakan di Aras Dua, KL Sentral. Isu yang akan dibincangkan termasuk punca berlaku keganasan, perlindungan terhadap wanita mengikut peruntukan undang-undang, kesan psikologi dan fizikal terhadap mangsa keganasan dan tindakan bagi membantu mangsa keganasan. Pada hari yang sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan melancarkan kempen Say No - Unite to end violence against women (Katakan tidak - bersatu untuk hentikan keganasan ke atas wanita). Pelancaran kempen tersebut dijangka dihadiri oleh 1,000 orang.

Ketua Pengarah JPW, Wan Hasmah Wan Mohd. dalam satu wawancara sempena program berkenaan berkata, pada tahun ini fokus JPW adalah untuk menggembleng komitmen semua pihak iaitu golongan wanita dan lelaki, sektor awam dan swasta serta NGO bagi menyediakan persekitaran yang selamat untuk wanita. ''Walaupun sudah banyak usaha dilakukan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai isu keganasan terhadap wanita, masih ramai yang beranggapan bahawa mereka tidak terlibat dan tidak mempunyai sebarang peranan dalam memerangi isu ini. ''Isu keganasan terhadap wanita perlu dibincangkan secara terbuka dan bukannya terhad di kalangan aktivis wanita sahaja. Justeru, kempen Say No - Unite to End Violence Against Women dilancarkan bagi mendapatkan sokongan padu serta menyatukan semua pihak dalam usaha menghapuskan keganasan terhadap wanita," katanya. 

Jelas Wan Hasmah, mesej yang disampaikan melalui program yang diatur sepanjang tiga hari itu bertujuan mengingatkan masyarakat bahawa usaha menghapuskan keganasan terhadap wanita merupakan tanggungjawab semua. ''Setiap daripada kita tidak kira keturunan, latar belakang, taraf ekonomi atau tempat tinggal perlu berganding bahu dan bersatu demi mewujudkan persekitaran yang selamat, harmoni dan bebas daripada sebarang bentuk diskriminasi dan penganiayaan," katanya.

Tiada ulasan: