JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 November 2010

ISU SOSIAL : EMPAT LANGKAH TANGANI MASALAH BULI DI SEKOLAH


Dari semasa ke semasa, terdapat kes buli fizikal ekstrem yang berlaku di kalangan pelajar sekolah yang mendapat perhatian media.Kes ekstrem ini menyebabkan percubaan membunuh diri, kecederaan parah dan juga kematian. Contoh-contoh buli fizikal ialah menolak, menampar, memukul atau memeras ugut. Dalam beberapa kes yang pernah dilaporkan, ia bukan sahaja melibatkan pelajar lelaki tetapi juga pelajar perempuan. Dalam kajian yang pernah penulis lakukan ke atas 2,600 orang pelajar dari 26 sekolah menengah dari dua buah negeri, didapati mereka yang melaporkan terlibat dengan kegiatan membuli (fizikal dan psikologi) adalah tinggi. Menurut Profesor Olweus dari Bergen University, Norway iaitu pelopor dalam kajian buli di dunia, sekiranya kes buli berlaku dalam lingkungan 10-15 peratus ia dianggap serius. 

Terdapat pelbagai sebab kenapa pelajar membuli. Sebahagian besar daripada pembuli mengatakan mereka membuli pelajar lain kerana seronok-seronok. Malah ada pembuli yang bangga menyatakan dia ketua buli di sekolahnya! Ada pembuli menyatakan mangsa memang patut dibuli dan yang lain pula menyatakan mereka bosan dengan sekolah dan membuli pelajar lain merupakan satu cara untuk menghilangkan perasaan bosan. Sebab mereka membuli ialah kerana marah atau benci kepada mangsa. Pelajar baru di sekolah adalah individu yang selalu menjadi mangsa buli. Pelajar yang disayangi guru tidak akan digemari rakan. Bagi kes buli fizikal, mereka yang berbadan kecil menjadi mangsa. Tidak mahu berkongsi alat tulis atau memberi idea untuk membuat kerja rumah turut menjadi sebab membuli.

Bagi pelajar asrama pula, bentuk buli juga berlaku dengan meminta mangsa membasuh baju mereka, mencuci tandas atau mengambil makanan dari kantin. Mereka yang lebih gemar bercakap dalam bahasa Inggeris turut tidak disenangi. Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah mereka yang menjadi mangsa ialah pelajar yang tidak disukai kerana mereka berlainan daripada pelajar majoriti. Apabila ditanya kepada pihak sekolah seperti guru kaunseling, guru disiplin atau pengetua, pelajar yang menjadi pembuli tidak berminat dengan pelajaran, nakal, dan mempunyai masalah disiplin. Dari segi latar belakang keluarga, pembuli dikatakan datang dari keluarga yang bermasalah, tidak mendapat perhatian sepenuhnya daripada ibu bapa atau terlalu dimanja. Pihak sekolah juga menyedari pelajar baru turut menjadi sasaran. Untuk menangani masalah buli, sekolah perlu mengakui bahawa masalah ini wujud dan ia menyakitkan pelajar. Mangsa tidak akan mengadu kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya mereka tahu cerita mereka tidak akan dipercayai dan mereka tidak dijamin perlindungan.

Terdapat empat peringkat untuk menangani masalah buli. 

Peringkat pertama ialah tahap sekolah, kedua tahap kelas dan ketiga tahap individu. Bagi peringkat sekolah, langkah pertama ialah sekolah perlu mendapatkan maklumat tentang kes buli yang berlaku di sekolah masing-masing, sama ada bentuk psikologi atau fizikal. Ini boleh dilakukan dengan meminta pelajar mengisi borang soal selidik berkaitan dengan buli. Pelajar boleh juga menulis kes-kes buli yang telah mereka alami. Untuk mendapat respons yang lebih tinggi tentang perkara ini, identiti pelajar hendaklah rahsia.

Kedua, sekolah perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan buli. Ini bukan sahaja dilakukan dengan menampal poster antibuli di sekolah, tetapi juga mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa. Maklumat yang terkandung dalam risalah ini merangkumi konsep buli, beberapa petua mudah untuk menangani insiden buli, siapa yang boleh dihubungi apabila berlaku kes buli dan talian telefon atau alamat e-mel untuk melaporkan insiden buli. Mereka yang boleh membuat laporan bukan sahaja mangsa tetapi juga saksi. 

Ketiga, satu jawatankuasa penyelaras antibuli peringkat sekolah perlu dibentuk. Antara ahli dalam jawatankuasa ini terdiri daripada pengetua, guru kaunseling, guru disiplin, wakil ibu bapa dan wakil pelajar. Mereka berperanan mengurus program antibuli dan menilai keberkesanannya. 

Keempat, perbincangan tentang buli hendaklah dimasukkan dalam agenda mesyuarat PIBG. Bagi peringkat kelas pula, satu peraturan kelas berkaitan dengan toleransi sifar tentang buli perlu dibentuk. Peraturan tersebut hendaklah menyenaraikan semua tingkah laku yang disifatkan sebagai tingkah laku buli (psikologi dan fizikal), dan apa pula hukuman yang akan diterima jika ditangkap atau dilapor melakukannya. Setiap pelajar diberikan senarai peraturan tersebut dan mereka hendaklah menandatangani dokumen tersebut dan satu salinan disimpan dalam fail pelajar. Sebelum itu, pihak ibu bapa juga turut menandatangani peraturan berkenaan. Ini merupakan satu perjanjian tingkah laku antara pelajar dan ibu bapa atau penjaga dengan sekolah. Dari semasa ke semasa, guru hendaklah membincang tentang isu buli dengan pelajar.

Bagi peringkat individu, ia melibatkan pembuli dan mangsa. Jawatankuasa penyelaras antibuli hendaklah mengadakan perbincangan menyelesaikan masalah tersebut bukan sahaja dengan pembuli dan mangsa, tetapi juga ibu bapa atau penjaga mereka. Seterusnya, guru kaunseling boleh mengadakan sesi main peranan tingkah laku empatik atau tidak agresif dengan pembuli. Latihan asertif pula perlu diadakan dengan mangsa. Sudah sampai masanya pihak yang bertanggungjawab perlu memikirkan dengan serius tentang masalah buli dan cuba melaksanakan bagaimana hendak mengatasinya atau menghalangnya daripada berlaku. Kita tidak perlu menunggu kes ekstrem yang lain untuk berlaku sebelum kita berbuat sesuatu untuk memastikan kawasan sekolah selamat (psikologi dan fizikal) untuk anak-anak kita. 


Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub 
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia.
Utusan Malaysia
08 Jun 2005

Tiada ulasan: