JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 November 2010

ISU ICT : BENTERAS PRONOGRAFI LAMAN WEB

Pengaruh pornografi di Internet harus dipandang serius oleh semua pihak di negara ini. Hal ini pernah dibangkitkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di persada antarabangsa baru-baru ini. Sejak perkhidmatan Internet diperkenalkan di negara ini pada 1987 dan peningkatan pengedaran dan penjualan VCD serta DVD lucah yang berleluasa, didapati kes-kes jenayah seksual turut meningkat. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulisnya kepada Dewan Rakyat, berkata, bilangan jenayah seksual termasuk liwat dan sumbang mahram meningkat hampir 50 peratus dalam tempoh lima tahun sejak 2005. Tahun lalu sahaja, terdapat 4,238 kes jenayah seksual berbanding 3,986 kes (2008), 3,689 kes (2007), 2,943 kes (2006) dan 2,427 kes (2005). Daripada perangkaan ini, kes-kes rogol menduduki tempat teratas.

Pada tahun lalu, sejumlah 3,626 kes rogol telah dilaporkan oleh mangsa kepada pihak polis berbanding 3,409 kes (2008), 3,098 kes (2007), 2,431 kes (2006) dan 1,931 kes (2005). Bagi kes-kes sumbang mahram pula, jumlah kes pada tahun lalu meningkat kepada 385 kes daripada 334 kes pada tahun sebelumnya. Pada tahun 2007, kes yang dicatatkan ialah 360 kes, 332 kes (2006) dan 294 kes (2005). Perangkaan-perangkaan ini cukup membimbangkan. Apatah lagi, banyak kes yang tidak dilaporkan. Ini kerana lebih 80 peratus daripada pesalah seksual mempunyai hubungan ataupun mengenali mangsa seperti ahli keluarga, saudara mara dan jiran mereka. Trend sebegini jelas menunjukkan keruntuhan moral semakin gawat di kalangan anggota masyarakat di negara ini. Bukan itu sahaja, sekiranya gejala negatif ini tidak dikekang segera, maka ia akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju pada 2020. Ini kerana sesetengah kakitangan pejabat terutamanya di sektor swasta menggunakan masa pejabat untuk melayari laman-laman sesawang pornografi.

Mereka bukan sahaja menyalahguna kemudahan pejabat dan meningkatkan kos operasi syarikat tempat mereka bekerja, malah daya produktiviti mereka turut terjejas. Mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada tugas dan pemikiran mereka menjadi celaru kerana imej-imej lucah sentiasa terpampang di dalam minda mereka. Mereka ketagih menonton gambar-gambar lucah. Gejala yang tidak sihat ini juga merupakan antara punca berlakunya gangguan seksual di tempat kerja. Antara negara yang telah melaksanakan dasar menapis dan menyekat bahan-bahan pornografi di Internet ialah China, negara-negara Kesatuan Eropah (yang melakukan penapisan ke atas pornografi kanak-kanak), Arab Saudi, Korea Selatan, Australia, Kanada dan India. Bagaimanapun, untuk menyekat dan mengekang pornografi siber bukanlah mudah seperti yang difikirkan. Ini disebabkan aktiviti-aktiviti 'penjualan tubuh' merupakan aktiviti-aktiviti komersial utama di Internet dan paling banyak di laman sesawang tertentu. Adalah dianggarkan terdapat lebih daripada 1.5 juta laman sesawang pornografi di Internet dan 74 peratus daripada laman sesawang pornografi itu memaparkan diri sebagai laman selamat serta mudah dilayari.

Justeru itu, tindakan Malaysia membangkitkan isu keselamatan Internet termasuk keperluan membendung pornografi kanak-kanak, serta kesan teknologi maklumat dan komunikasi terhadap nilai budaya di persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) ke-18 di Guadalajara, Mexico pada 8 Oktober lalu, disambut baik oleh pelbagai pihak terutama pemimpin dan badan telekomunikasi dunia. Menurut Rais, beliau akan mengusulkannya dengan mengutus surat kepada Setiausaha Agung ITU, Dr. Hamadoun Toure untuk memastikan cadangan yang dikemukakan Malaysia diambil tindakan sewajarnya. Selain itu, disyorkan supaya semua kerajaan di dunia mengkehendaki dan mensyaratkan semua laman sesawang pornografi wajib dibayar. Mereka boleh mengusul dan membahaskan syor ini di Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Penetapan sebegini dapat mengurangkan dengan banyak jumlah penonton laman itu. Selain itu, ditetapkan juga agar laman-laman sesawang pornografi menggunakan kata tambahan seperti .sex atau .xxx dan bukan .com. Cadangan ini harus dipertimbangkan. Syarat ini akan memudahkan pihak berkuasa untuk menapis bahan-bahan pornografi.
Selain itu, pendidikan seks yang holistik dan dilaksanakan secara berperingkat amat diperlukan di sekolah. Menurut kajian yang dilakukan oleh Durex, hanya 36 peratus masyarakat negara ini menerima pendidikan seks di sekolah. Majoritinya memperoleh pengetahuan seks daripada Internet iaitu sebanyak 75 peratus dan majalah (76 peratus). Justeru, kerajaan tempatan melalui majlis-majlis daerah atau perbandaran harus mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat terhadap kedai perkhidmatan Internet dan kafe siber. Antara syaratnya ialah bilik Internet haruslah diterangi dan cermin dinding tidak boleh gelap. Skrin monitor komputer harus dihala ke arah yang dapat dipandang orang. Ini akan menyebabkan pengguna menjadi segan, malu dan takut untuk melayari laman-laman sesawang pornografi.

Pihak berkuasa pula hendaklah selalu melakukan pemeriksaan ke atas premis-premis yang menawarkan perkhidmatan Internet. Masyarakat terutamanya golongan ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam mengekang dan melindungi anak-anak mereka daripada terdedah kepada laman-laman sesawang pornografi. Oleh kerana kanak-kanak dan remaja memerlukan bimbingan dan kawalan dalam penggunaan perkhidmatan Internet, maka ibu bapa atau penjaga harus lebih prihatin dan mengambil tahu tentang cara penggunaan perkhidmatan Internet oleh anak-anak mereka. Ibu bapa boleh mengawal selia penggunaan perkhidmatan Internet dengan menggunakan perisian penapisan kandungan yang dapat dimuat turun secara percuma dari Internet. Mereka juga dapat membelinya di kedai-kedai komputer. Antara perisian penapisan Internet yang terdapat di pasaran ialah Net Nanny Parental Controls, Safe Eyes, CYBERsitter, Puree Sight PC, Cyber Patrol, Mc Afee Parental Controls, Filter Park, Im View dan Parental Controls. Selain itu, hubungan keluarga yang baik dan harmoni juga dapat menjauhkan ahli-ahli keluarga daripada melakukan sesuatu yang mengaibkan nama baik keluarga mereka.

Begitu juga, pembangunan kerohanian, pegangan agama yang kuat dan takut kepada Tuhan dapat menjauhkan seseorang daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah menitikberatkan aspek pembangunan kerohanian anak masing-masing. Pengaruh daripada laman-laman sesawang pornografi harus ditangani segera oleh semua pihak. Ia amat perlu dalam usaha kita mewujudkan satu masyarakat terutama generasi muda Malaysia yang mempunyai jati diri dan keperibadian yang baik.

Oleh : Lee Fook On
Pengkaji dan Penganalisis 
Politik, Ekonomi, Sosial dan Budaya Masyarakat. 

Utusan Malaysia
11. 10. 2010

Tiada ulasan: