JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Oktober 2010

ISU SOSIAL : PERLU TELUS UNTUK MENGATASI MASALAH DISIPLIN PELAJAR


Pelajar bermasalah disiplin tegar merupakan duri dalam daging yang terus menjadi beban di atas batu jemala kita. Masalahnya ialah, setiap kali ada pendedahan berhubung gejala gangsterisme, kita gemar menggunakan alat sukat kuantitatif untuk mengukur tahap atau status salah laku para pelajar itu dan bukan dari pertimbangan kualitatif. Jika kuantitinya sedikit, ia masih dianggap 'selamat' dan terkawal. Jadi seolah-olah, bolehlah berlaku jenayah kerana masih terkawal. Jika sudah banyak dan sudah tidak boleh dikawal, barulah tergesa-gesa hendak menubuhkan jawatankuasa itu dan ini. Kita tidak menyedari bahawa 'kualiti' jenayah yang dilakukan oleh remaja kita sekarang agak serius dan memalukan. Semua jenis jenayah, sekecil-kecil anak sehingga sebesar-besar bapak, telah dilakukan oleh pelajar kita.

Malangnya, kebanyakan salah laku itu selalunya disembunyikan di bawah permaidani sahaja. Sekolah-sekolah pula tidak bersikap telus dan suka menyembunyikan sahaja perlakuan jenayah pelajar daripada pengetahuan awam. Natijahnya, ada pelajar yang tergamak menganiaya fizikal atau harta benda guru. Kereta guru disimbah dengan asid, dicalarkan, cermin kereta dipecahkan, disimbah najis, dan tayar kereta atau motosikal guru dikelar dengan pisau. Botol-botol minuman keras, ubat batuk, batang betik, kotak-kotak rokok serta pelbagai lagi 'aksesori' yang menjadi permainan kaki ganja dijumpai dalam tandas-tandas sekolah. Nota-nota berbau amaran atau ancaman daripada pelajar kepada guru, kadang kala lebih menggerunkan daripada pekeliling amaran yang diterima daripada pihak atasan. Cara kita menyelesaikan masalah disiplin pelajar masih samar-samar kerana beberapa saranan seperti memberi kuasa polis tambahan kepada guru-guru, atau merotan pelajar di khalayak, banyak bergantung kepada mendapat pelbagai reaksi.

Akhirnya ia berkubur begitu sahaja. Malah kita sendiri tidak tahu, di mana kita hendak bermula, kerana dalam soal istilah pun kita masih bercanggah pendapat, sama ada istilah gangsterisme itu sesuai diguna pakai untuk kegiatan samseng di peringkat sekolah. Kononnya, ia memberi konotasi yang menggerunkan. Kita bersetuju soal istilah bahasa memang penting kerana klasifikasi indeks untuk merekod sesuatu jenis jenayah akan memberi implikasi perundangan. Gangsterisme dikatakan lebih sesuai sebagai istilah untuk satu kegiatan terancang dalam sesebuah organisasi. Malah, menurut Kementerian Pendidikan sukar untuk menentukan sama ada seseorang pelajar itu ahli kumpulan gangster kecuali disahkan oleh polis.

Akibat titik bengik itu, kini jenayah tegar dikalangan remaja masih gagal dibanteras sepenuhnya. Malah, ia menjadi seperti parasit yang telah berjaya bermandiri dengan segala jenis ubat dan racun sehingga akhirnya sukar dibendung dan melarat. Kajian gangsterisme di sekolah menengah harian telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan pada Disember 1998 hingga Oktober tahun lepas di 329 buah sekolah peningkatan bilangan kumpulan samseng ala gangster dan pelajar-pelajar samseng. Kejadian itu paling banyak dikesan di sekolah-sekolah yang mempunyai bilangan pelajar melebihi 1,500 orang. Kajian ke atas tahap pengaruh kegiatan gangsterisme pula mendapati kawasan kediaman sesat mempunyai pengaruh yang besar ke atas pelajar, diikuti oleh kawasan kediaman satu kaum dan rumah pangsa.

Bilangan mereka memang sedikit, tetapi jenayah mereka adalah jenayah dominan dan hebat kesannya kepada rakan-rakan sebaya yang lain. Dalam setandan kelapa, pasti ada buah yang busuk kerana serangan ulat gonggok, tetapi ia boleh menular ke buah-buah kelapa yang lain, dan seterusnya ke tandan-tandan lain, menular pula ke bahagian batang kelapa, dan terus menyerang akarnya, sehingga tumbang sebatang pokok kerana akar yang menjadi asas kekuatannya tidak mampu menahan serangan ulat. Jalan penyelesaian masih ada dalam bentuk kertas seminar atau persidangan kerana tidak dilaksanakan dalam sistem persekolahan. Masalah ini boleh diatasi kalau ada tindakan yang menyeluruh daripada semua pihak. Cara kita menangani gejala lepak di kalangan remaja pada satu ketika dahulu boleh diterapkan untuk menangani masalah salah laku pelajar.

Kita masih ingat ketika kecohnya isu remaja melepak sehingga menggerakkan kerajaan untuk mengatur pelbagai langkah yang cukup komprehensif untuk mengatasi masalah itu. Antara buah tangan daripada isu itu ialah program Rakan Muda, dengan pecahan-pecahannya seperti Rakan Sukan, Rakan Waja Diri dan sebagainya. Ketika itu, kempen menggalakkan aktiviti Rakan Muda ke sekolah-sekolah diperhebat, sehinggakan setiap aktiviti di sekolah atau di universiti perlu meletakkan label Rakan Muda untuk meraih penyertaan, dan ia terbukti berhasil dengan penglibatan menyeluruh. Di kampung-kampung, ia menarik sekali penyertaan para pemimpin di peringkat akar umbi seperti tok sidang, penghulu, penggawa serta ahli-ahli jawatankuasa surau. Langkah yang komprehensif seperti ini telah dibuktikan cukup berkesan kerana ia melibatkan semua pihak, daripada rakyat biasa sehinggalah kepada ahli politik. Tidak guna kita menuding jari menyalahkan sesiapa. Yang penting, pada laporan yang sama pada tahun 2000 nanti kita telah sifar gejala gangsterisme - sebagaimana kita berjaya membebaskan diri daripada gejala pepijat alaf.


Oleh : Wahid Hashim
Utusan Malaysia
01 April 2000

Tiada ulasan: