JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Oktober 2010

ISU SOSIAL : PELAJAR WANITA LEBIH RAMAI DARIPADA PELAJAR LELAKI DI UNIVERSITI


TAJUK KARANGAN:
Kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPTA dan IPTS di negara kita semakin serius. Mengapakan fenomena ini berlaku dan cadangkan usaha-usaha untuk mengatasinya.



Isu pelajar wanita lebih ramai di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sama ada IPTA aatu IPTS semakin membimbangkan banyak pihak.  Hakikatnya, isu itu bukanlah perkara baru. Saban tahun, setiap kali tiba sesi kemasukan pelajar baru ke IPT, isu ketidakseimbangan jantina menjadi antara topik utama yang dibincangkan atau diutarakan. Kebimbangan terhadap trend pelajar wanita yang menguasai IPT pernah disuarakan sebelum apabila nisbah menunjukkan pelajar lelaki dan perempuan ialah 60:40, iaitu 60% bagi pelajar perempuan dan 40% bagi lelaki. Tidak dinafikan bahawa pelbagai punca telah menyebabkan fenomena ini berlaku dan langkah-langkah yang sepatutnya harus diambil untuk mengatasinya.



Pada pendapat saya, kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPT adalah disebabkan oleh masalah kekeluargaan. Pada masa sekarang, kos hidup masyarakat semakin meningkat. Hal ini menyebabkan kebanyakan keluarga kekurangan kemampuan untuk membiayai pengajian anak mereka di universiti. Oleh itu, kebanyakan pelajar lelaki terpaksa berdikari untuk mencari peluang pekerjaan bagi menanggung kos hidup keluarga. Selain itu, ibu bapa yang berfikiran bahawa anak perempuan wajar mempunyai kerjaya yang boleh memperuntukan lebih banyak masa dengan keluarga juga turut menyumbang kepada jurang perbezaan ini. Anak perempuan digalakkan untuk memilih bidang yang bersifat akdemik. Oleh itu, tidak menghairankan apabila jumlah mereka terus meningkat di universiti. Ringkasnya, kekurangan bilangan lelaki di IPT adalah disebabkan oleh masalah kekeluargaan.



Selain itu, sikap pelajar lelaki sendiri juga merupakan salah satu punca yang meyebabkan masalah kekurangan pelajar lelaki di IPT. Kajian awal mendapati bahawa sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan memberi kelebihan kepada pelajar perempuan berbanding dengan lelaki. Hal ini demikian kerana konsep pendidikan tersebut memerlukan ketekunan dan semangat mengulang kaji pelajaran yang tinggi. Lelaki sekarang tidak ramai yang ulat buku, sebaliknya lebih selesa mengembangkan bakat dan kemahiran diri secara praktikal. Mereka lebih gemar belajar di Kolej Komuniti seperti Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Mara(IKM), biarpun sebenarnya berkelayakan melanjutkan pelajaran di IPT. Pendek kata, masalah kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPT adalah disebabkan oleh sikap pelajar lelaki sendiri.



Selain itu, sistem meritokerasi yang diamalkan sejak beberapa tahun lalu juga menjadi punca kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPT. Walaupun ada saranan supaya sistem kuota digunapakai bagi membendung fenomena ini, namun ia bukanlah langkah terbaik. Kebanyakan IPT membenarkan pelajar lelaki masuk ke IPT atas alasan menyempitkan jurang dengan mengorbankan aspek kualiti dan minat. Keadaan ini akan meruntuhkan imej universiti sebagai penjana graduan cemerlang dan berkualiti. Kecemerlangan pelajar perempuan seharusnya menyuntik semangat kepada pelajar lelaki untuk bersaing secara sihat. Pelajar perempuan tidak harus mempertikaikan pemilihan jumlah pelajar perempuan yang ramai di IPT. Tuntasnya, sistem meritokrasi yang dilaksanakan telah menjadi salah satu punca menyebabkan kekurangan pelajar lelaki di IPT.



Di sebaliknya, langkah yang wajar yang perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPT ialah melalui peranan pihak IPT. Mereka harus menawarkan lebih banyak kursus yang digemari oleh pelajar lelaki. Pada masa sekarang, kebanyakan lelaki tadak minat belajar. Oleh itu, pihak IPT harus menawarkan lebih banyak kursus yang istimewa dan dapat menarik minat pelajar lelaki untuk melanjutkan pelajaran ke IPT. Selain itu, pihak IPT tidak harus hanya menerima pelajar perempuan yang lebih mahir daripada pelajar lelaki. Pihak IPT juga harus memberi peluang kepada pelajar lelaki yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPT. Pendek kata, pihak IPT telah memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah kekurangan pelajar lelaki di IPT.



Selain itu, kerajaan juga harus mengadakan kempen dan ceramah kesedaran terhadap pelajar lelaki. Kerajaan harus mengadakan ceramah di sekolah untuk menggalakkan pelajar lelaki melanjutkan pelajaran ke IPT. Melalui cara ini kita dapat memupuk semangat belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh dalam kalangan pelajar lelaki. Dengan ini, pelajar lelaki dapat bersaing secara sihat dengan pelajar perempuan di IPT. Pelajar lelaki harus sedar bahawa mereka akan dipandang rendah apabila taraf pendidikan mereka labih rendah daripada kaum wanita. Oleh itu, dengan mengadakan kempen dan ceramah kita dapat mengatasi masalah ini.



Bukan itu sahaja, penawaran pelbagai ganjaran dan kemudahan  kepada pelajar lelaki juga dapat mengatasi masalah kekurangan bilangan pelajar lelaki di IPT. Tawaran khas seperti membekalkan biasiswa, pinjaman dan tempat tinggal harus ditawarkan khusus kepada pelajar lelaki. Keadaan ini dapat menarik minat pelajar lelaki melanjutkan pelajaran ke IPT. Penawaran biasiswa dan pinjaman kepada keluarga mereka pasti dapat membantu pelajar lelaki tersebut membiayai pengajian semasa belajar di universiti. Mereka tidak perlu risau mengenai masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga mereka. Dengan ini, keadaan kekurangan pelajar di IPT dapat diatasi. Oleh itu, strategi ini merupakan salah satu langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah kekurangan bilangan pelajar di IPT.



Kesimpulannya, masalah kekurangan pelajar lelaki merupakan satu masalah yang serius dan akan membawa kesan buruk terhadap masyarakat pada masa hadapan jika tidak diatasi mulai dari sekarang. Hal ini demikian kerana ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai IPT terus berlaku. Oleh itu, pihak yang berkenaan harus berganding bahu bagi mengatasi masalah ini. Mahu tidak mahu, kita hendaklah terus berhadapan dengan dunia yang penuh persaingan dan mereka yang berpendidikan akan terus maju ke hadapan. Hal ini seterusnya dapat melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang memang diperlukan negara untuk merealisasikan Wawasan 2020.

Tiada ulasan: