JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Oktober 2010

ISU ALAM SEKITAR : PUNCA-PUNCA PENCEMARAN SUNGAI

Sukar mendapat kerjasama daripada pemilik tanah untuk membina kolam kumbahan menjadi antara masalah yang perlu ditangani oleh penyelenggara sistem pembetungan. Kebanyakan pemilik tanah enggan menjual atau menyewakan tanah mereka menyebabkan beberapa perancangan oleh syarikat gagal dilaksanakan.  Pada masa sama, kerajaan sudah membelanjakan RM1.64 juta untuk tujuan pengambilan balik tanah untuk projek pembetungan di Semenanjung. Itu adalah sebahagian daripada peruntukan 2006 dan proses ini memakan masa dan kos kian meningkat saban tahun. Menyedari pentingnya perkhidmatan pembetungan diswastakan, kerajaan menyerahkan pengurusannya kepada Indah Water Konsortium (IWK) pada 1993. Tugas utama syarikat ini ialah merancang, mereka bentuk, membina dan menyelenggara perkhidmatan pembetungan di kawasan setempat dengan kebenaran mengenakan tarif kepada pengguna.
 
Penswastaan sistem pembetungan negara hampir mengalami kegagalan kerana kebanyakan pengguna enggan membayar bil yang dianggap sebagai satu perkhidmatan yang mereka tidak boleh lihat mahupun rasa. Pada dasarnya, sistem pembetungan seharusnya disatukan dengan kitaran perkhidmatan air. Memisahkan pengurusan merumitkan urusan pentadbiran dan ini adalah antara tugas kerajaan di bawah rejim baru pengurusan air demi memastikan pengguna bakal membayar hanya satu bil saja pada masa depan. Setakat ini, projek Perkhidmatan Pembetungan di bawah RMKe-9 membabitkan 11 projek baru dan 47 projek sambungan dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.012 bilion. Pada 2006, sebanyak RM754 juta dibelanjakan daripada peruntukan 2006 yang berjumlah RM759.4 juta iaitu 99 peratus untuk projek pembetungan negara.

Chin Yoong Kheong dalam bukunya, The Water Tablet Malaysian Water Reforms, mendedahkan setakat ini, 65 peratus daripada lima juta meter padu kumbahan yang dihasilkan sehari di Malaysia dihumban ke dalam sungai. Akibatnya 70 peratus daripada pencemaran sungai adalah najis manusia. Menjadi tugas IWK untuk memastikan perkara ini tidak berlaku. Namun kelemahan sistem pentadbirannya jelas apabila timbul tiga masalah utama yang dilihat mengancam kelancaran pengurusan dalam perkhidmatan itu.

Pertama, kegagalan menyedarkan pengguna mengenai pentingnya mereka memahami perkhidmatan pembetungan adalah satu bentuk perkhidmatan yang tidak boleh dilihat atau dirasai. Kedua, kebanyakan pengguna tidak mahu membayar bil perkhidmatan pembetungan hanya kerana mereka berasakan tidak terbabit secara langsung dengan perkhidmatan itu. Kebanyakan pengguna tidak menyedari sistem saluran paip air bawah tanah di rumah mereka sebenarnya berhubung terus ke loji rawatan air. Pengasingan dilakukan antara sisa utama tetapi cecair tetap dialirkan ke loji rawatan air untuk dirawat. Ketiga, tunggakan bil perkhidmatan yang tidak dijelaskan oleh pengguna mengakibatkan IWK berdepan dengan masalah kewangan dan ini membantutkan usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, baru-baru ini, berkata IWK sedang menangani masalah itu dan berusaha untuk memulihkan kedudukan kewangan syarikat. Katanya, rakyat sebagai pengguna mempunyai peranan besar dalam memastikan sistem pembetungan ditingkatkan dan menjelaskan bil pembetungan adalah satu kerjasama terbaik, demi memastikan alam sekitar negara tidak tercemar hanya kerana kita gagal mengurus sisa kumbahan sendiri.


Sumber
Berita Harian
26 Oktober 2010





Tiada ulasan: