Followers

30 September 2010

KARANGAN BERKAITAN DENGAN SAMSENG JALANAN


Masalah samseng jalanan di negara kita semakin meruncing dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat. Masalah ini tidak pernah lari daripada kamus kehidupan masyarakat dan sering menjadi hamparan majalah atau menghiasi dada surat khabar. Pendedahan demi pendedahan tentang masalah samseng jalanan dijadikan agenda penting untuk diselesaikan. Fenomena tersebut sudah lama bersarang dalam kehidupan masyarakat dan telah memberikan satu persepsi tentang kealpaan masyarakat terhadap tanggungjawab mendidik, mengasuh, dan membimbing generasi muda  kita hari ini. Sekiranya, masalah tersebut masih bermaharajalela di negara kita, nescaya keadaan ini akan meranapkan impian Malaysia menggapai hasrat dan visi kudsi Wawasan 2020.

Jenayah-jenayah yang ditimbulkan oleh masalah samseng jalanan ialah merosakkan harta benda milikan awam dan mengancam keselamatan masyarakat setempat. Samseng jalanan biasanya mereka akan mewujudkan satu kumpulan dalam melakukan aktiviti negatif mereka. Mereka suka menimbulkan kekacauan di sesuatu kawasan dengan merosakkan harta benda dan kemudahan awam yang disediakan bagi memudahkan masyarakat setempat. Kekacauan yang ditimbulkan akan menyusahkan kehidupan masyarakat menyebabkan mereka tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan dan perbuatan samseng jalanan juga mengancam keselamatan masyarakat setempat. Kemudahan awam yang dirosakkan memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk membaiki pulihnya. Perbuatan samseng jalanan hanya setakat mencari keseronokan dan menunjukkan kehebatan mereka sahaja tetapi mereka tidak terfikir tentang nasib buruk yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Selain itu, kegiatan jenayah yang ditimbulkan oleh samseng jalanan juga dapat diperlihatkan melalui kegiatan mengutip wang perlindungan daripada peniaga-peniaga dan orang ramai. Sekiranya mereka yang diminta membayar wang perlindungan tidak membayar tepat pada masanya, maka mereka akan dikacau, diberi amaran malah juga dipukul oleh kumpulan samseng jalanan tersebut. Perbuatan samseng jalanan akan mengganggu perniagaan dan kehidupan seseorang sekiranya mereka tidak mampu membayar wang perlindungan tersebut. Sekiranya peniaga-peniaga tidak mampu membayar maka samseng jalanan tersebut akan mengugat keselamatan mereka dengan mengecat perkataan menggunakan cat merah di dinding kedai mereka. Hal ini akan menjejaskan perniagaan mereka serta meletakkan nyawa mereka di pintu neraka disebabkan takut dengan ancaman daripada samseng jalanan tersebut.

Di samping itu, perebutan kawasan jajahan juga wujud dalam kegiatan jenayah yang dilakukan oleh samseng jalanan. Kumpulan samseng jalanan suka memiliki dan merebut kawasan jajahan dengan kumpulan samseng jalanan lain bagi menunjukkan kehebatan mereka agar mereka ditakuti dan disanjungi oleh kumpulan lain. Biasanya, perebutan kawasan jajahan akan mencetuskan keadaan pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya. Kegiatan tersebut dikatakan mengancam keselamatan masyarakat setempat dan meletakkan nyawa mereka dalam bahaya. Perebutan kawasan oleh samseng jalanan juga akan memusnahkan harta benda disebabkan mereka ingin menakluki kawasan baru dan berlaku pergaduhan antara satu sama lain. Hal ini akan menyebabkan sesebuah kawasan tidak aman didiami dan dianggap sebagai kawasan zon merah kerana tidak selamat dalam anggapan orang ramai disebabkan oleh perbuatan samseng jalanan yang mengancam keselamatan masyarakat.

Oleh itu, siapakah yang harus dipersalah dalam hal ini? Persoalan mengapakah dan bagaimanakah tentulah tidak mudah untuk dijawab. Jadi, masyarakat haruslah berganding bahu dan memainkan peranan yang penting untuk membendung kejadian jenayah. Sekarang, bukanlah masa untuk kita menuding jari pada sesiapa. Oleh hal yang demikian, institusi keluarga haruslah memainkan peranan yang penting bagi menangani senario ini. Ibu bapa haruslah menjadi pendengar setia dan selalu bermusyawarah bersama-sama anak untuk mendengar masalah dan menyedarkan setiap perbuatan yang dilakukan oleh mereka. Ibu bapa mestilah melengkapkan remaja hari ini dengan didikan agama yang secukupnya dan sempurna sejak dari kecil lagi. Hal ini boleh diumpamakan seperti ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Di samping itu, kempen-kempen kesedaran dan program berfaedah juga haruslah dijalankan oleh kerajaan bagi mengelakkan peningkatan kes jenayah yang semakin meruncing. Usaha-usaha ini akan membina motivasi dan membentuk sahsiah yang mementingkan cara hidup yang lebih bererti. Hal ini dapat dibuktikan dengan pelaksanaan Program Rakan Muda melibatkan golongan remaja dalam aktiviti yang sihat. Melalui program ini, sedikit sebanyak kita dapat mencorak keperibadian seseorang remaja memandangkan tingkah laku generasi hari ini amat mengecewakan. Oleh itu kempen seumpama ini haruslah giat dijalankan kerana remaja merupakan satu-satunya tonggak dan harapan negara dalam menerajui kepimpinan negara sesuai dengan ungkapan ‘ pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’.

Media massa juga dapat memainkan peranan dalam usaha membanteras masalah jenayah yang semakin meruncing di negara kita. Media massa sepatutnya menapis segala rancangan televisyen dan bahan cetak sebelum disiarkan. Misalnya Lembaga Penapisan Filem (LPF) perlulah memainkan peranan penting dengan menapis adegan-adegan ganas yang boleh mempengaruhi minda remaja. Sebaliknya, media massa haruslah menayangkan filem-filem yang mempunyai nilai-nilai ketimuran dan berunsur pendidikan yang boleh mendidik para remaja. Selain itu, program bercorak keagamaan juga harus dititikberatkan. Oleh hal yang demikian, undang-undang harus dikuatkuasakan bagi mengawal ‘kebanjiran maklumat’ yang bersifat negatif ini kerana boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara kita.

Konklusinya, remaja sebagai aset penting negara mestilah berjuang untuk membebaskan diri daripada terus dibayangi oleh ‘jenayah’. Natijah daripada senario-senario ini, kerjasama yang erat, dan persefahaman yang wujud adalah penting dalam menentukan kecerahan dan kegelapan masa depan negara. Ingatlah remaja yang bakal memimpin negara ini merupakan tonggak dan harapan negara bagi mencorakkan haluan negara demi menzahirkan Wawasan 2020.

Hasil karya pelajar
Heikal Fahmy
U6A1
2007

No comments:

Related Posts with Thumbnails