Followers

17 May 2010

PENDAPAT CIKGU ZUL : PANDANGAN MASYARAKAT TENTANG PROFESION PERGURUAN

Sebenarnya masyarakat masih menghormati dan menghargai kerjaya perguruan ini. Cuma situasinya berbeza pada masa ini. Kritikan yang datang daripada golongan masyarakat bukan bermakna mereka memandang rendah profesion perguruan tetapi kerana mereka melihat profesion ini merupakan satu-satunya harapan mereka untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka di hari muka. Warga guru merupakan warga yang terbanyak dalam perkhidmatan awam, kalaupun bukan berada ditempat yang pertama, mungkin ditempat yang kedua dan ketiga. Memang tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan kita yang mencemari nama profesion kita sendiri dan masyarakat menjadi saksi kepada setiap kejadian yang kita lakukan. Seorang guru melakukan kesalahan, semua orang yang dipanggil guru akan menerima bahananya bak kata pepatah "seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit". Namun, saya percaya kita masih dihormati dalam masyarakat asalkan kita pandai menjaga diri dan menghiasi peribadi kita dengan segala perlakuan yang indah-indah di mata mereka.

Memang ada yang berpandangan negatif terhadap kerjaya kita, biarkanlah kerana lambat laun akan terimbas juga diingatannya bahawa guru ini jua yang mendidik dia mengenal huruf sehingga berjaya. Kita tak perlu sedarkan masyarakat supaya menghormati kita kerana penghormatan terhadap kita akan datang jua apabila tiba masanya. Dia akan menoleh kenangan di waktu persekolahannya yang lampau dimana wajah guru-gurunya akan tertayang satu persatu, maka pada ketika itu dia akan sedar bahawa keringat, doa dan air mata guru itulah yang banyak berjasa kepadanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails