Followers

18 October 2009

TEKS UCAPAN OLEH TPM SEMPENA PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009 PERINGKAT KEBANGSAAN 6 OKTOBER 2009, STADIUM PERPADUAN PETRA JAYA, SARAWAK

Bahasa Jiwa Bangsa

4. Tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini ialah “Bahasa Jiwa Bangsa”. Tema ini mengajak kita warga Malaysia untuk menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan sebagai jiwa bangsa kita dan cerminan jatidiri kita. Sesungguhnya jiwa sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada bahasanya. Pada bahasa itulah tergambar etos atau semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan tanah air yang dipunyai secara bersama.

5. Ini bermakna, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan membentuk jiwa kita sebagai satu bangsa. Sekiranya bahasa yang kita martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang akan terpancar daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa memandang tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah jiwa kebangsaan kita, dan berjayalah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa yang bermaruah.

1Bahasa, 1Malaysia

6. Di negara kita, Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan terhadap kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Kedudukan istimewa ini kemudiannya diterjemahkan pula melalui penggubalan dan pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan yang memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Dasar Bahasa Kebangsaan misalnya mengiktiraf Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang mesti digunakan dalam setiap urusan rasmi kerajaan. Dasar pendidikan kita juga menetapkan bahawa Bahasa Kebangsaan adalah bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Dengan melaksanakan dasar-dasar ini, kita dapat memastikan bahawa kedudukan istimewa Bahasa Kebangsaan tidak hanya termaktub dalam Perlembagaan, tetapi dapat dihayati dan diamalkan secara meluas oleh rakyat.

7. Selain dari itu, tidak kurang pentingnya juga ialah hakikat bahawa Bahasa Kebangsaan adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya dan bahasa ibunda. Ini menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai wahana perpaduan yang penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Dengan menggunakan satu bahasa, kita akan dapat memupuk dan menyuburkan perasaan kebersamaan antara kita dan sekaligus melupakan perbezaan. Sekiranya ini dapat kita lakukan secara bersama dan bersungguh-sungguh, gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kita YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak boleh kita jayakan melalui penghayatan dan penggunaan satu bahasa.

Memartabatkan Bahasa Kebangsaan

8. Dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan pelaksanaan dasar baru dalam sistem pendidikan kita iaitu dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dasar ini bertujuan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan pada masa yang sama memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar melalui penambahbaikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Dasar ini adalah seiring dengan matamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kita yang menjadikan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai teras pertama program membina negara bangsa. Ia juga selari dengan hasrat Penyata Razak 1956 yang bercita-cita untuk menyatupadukan rakyat Malaysia melalui sistem pelajaran kebangsaan dengan menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

9. Selain daripada itu, komitmen kita untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, baik dalam bidang pendidikan atau dalam bidang-bidang yang lain, adalah berdasarkan kepada keyakinan kita terhadap keupayaan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Keyakinan ini berasaskan kepada bukti bahawa keluaran sistem pendidikan kita yang berteraskan pendidikan bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara selama ini. Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset. Pemartabatan sesuatu bahasa sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, bukanlah semata-mata bergantung kepada sistem bahasa itu, tetapi turut berkait dengan faktor peradaban dalam kalangan pengguna bahasa itu sendiri.

10. Persoalannya, apakah sejarah peradaban berbahasa Malaysia itu sangat kerdil sehingga tidak mengizinkannya mencipta ilmu? Jika kita mengimbas sejarah, tradisi keilmuan dan persuratan bangsa kita cukup gemilang. Kalau di Barat ada Chaucer, di Alam Melayu ada Hamzah Fansuri dan kalau di Barat pada kurun ke 14 ada Canterbury Tales, di Alam Melayu ada Hikayat Raja-Raja Pasai. Ini menunjukkan bahasa kita pada ketika itu bukan sekadar digunakan sebagai alat pertuturan sahaja, tetapi telah berjaya mengungkapkan falsafah dan budaya tinggi yang menggambarkan tahap intelektual bangsa kita sejak zaman-berzaman. Hukum Kanun Melaka dan Hikayat Hang Tuah adalah antara contoh karya agung bangsa kita yang diungkapkan dalam bahasa Kebangsaan. Ini sekaligus membuktikan bahawa bahasa Kebangsaan kita telah mencapai tahap bahasa ilmu tinggi.

Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Imu

11. Maka, tanggungjawab kita sekarang ini ialah untuk mempertingkatkan fungsi bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Kita tidak perlu terus bernostalgia tentang kegemilangan masa lampau, tanpa melakukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat ini. Kita perlu sedar bahawa jika bahasa kebangsaan kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama kelamaan bahasa kita akan hilang kepentingannya, tidak lagi releven dengan keperluan semasa, dan akhirnya akan pupus.Tidak guna lagi kita bernostalgia dengan keagungan dan kehebatan lampau bahasa kita, jika ianya sudah tidak sesuai lagi dengan kemajuan zaman.

12. Justeru, usaha-usaha yang lebih agresif dan tersusun perlu dilakukan untuk meningkatkan fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Ini termasuklah dengan menghasilkan lebih banyak karya-karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan, terutama sekali dalam bidang sains dan teknologi. Institusi-institusi pengajian tinggi, agensi-agensi pelaksana dasar bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), serta para ilmuwan perlu mewujudkan sinergi bagi menghasilkan karya-karya ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa kebangsaan. Bagi saya inilah cabaran paling besar dalam usaha kita untuk memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

13. Di samping itu, usahasama strategik dengan masyarakat penutur bahasa Melayu di Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura boleh diwujudkan untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu. Dengan kedudukan bahasa Melayu pada tempat kelima sebagai bahasa utama dunia dengan bilangan penutur seramai 300 juta orang, kita mempunyai peluang yang baik untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan kita dalam lingkungan yang lebih luas.

Kesedaran

14. Sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan pada hari ini, suka saya mengingatkan bahawa segala usaha kita untuk memartabat dan memperkasakan bahasa kebangsaan tidak akan berhasil sekiranya tiada kesedaran yang tinggi di kalangan rakyat untuk menghormati dan menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian. Segala usaha kita akan menjadi sia-sia jika kita tidak menanamkan kesedaran yang tinggi di dalam hati sanubari kita dan meyakini tentang kepentingan dan keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu yang utama.

15. Justeru, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan, kerajaan telah membuat keputusan untuk mengisytiharkan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. Sehubungan itu, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan bermula pada tahun 2010 akan melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan pada peringkat masing-masing sepanjang bulan Oktober. Kegiatan-kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dipertingkatkan sepanjang bulan ini untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat kita.

16. Saya juga ingin mengumumkan bahawa mulai tahun 2010 kerajaan akan memperkenalkan Anugerah Tokoh ilmuwan Negara. Anugerah ini akan disampaikan kepada penerima yang layak sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan. Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada ilmuwan negara yang memberikan komitmen dalam usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan bahasa budaya tinggi.

17. Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 ini, khususnya kepada Jawatankuasa Penyelenggara di peringkat urusetia pusat, kementerian-kementerian, kerajaan-kerajaan negeri dan wilayah. Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebagai tuan rumah pada kali ini, Dewan Bahasa dan Pustaka dan semua pihak yang telah berpadu tenaga dan daya usaha untuk menganjurkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Kebangsaan ini. Mudah-mudahan dengan adanya usaha-usaha seperti ini, kita akan lebih menghargai keindahan dan ketinggian nilai bahasa kita.

Yang kurik itu kendi, Yang merah itu saga,
Yang elok itu budi, Yang indah itu bahasa.

No comments:

Related Posts with Thumbnails